17 Disember 2012

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)



Melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), murid dan pelajar dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan serta tidak terikat dengan keperluan peperiksaan semata-mata.

Melalui sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.

Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.


Ia bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.

Ia merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.

Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.

PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Bagi PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan.

Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

Sumber: Utusan

0 comments: