01 Januari 2013
Dapatkah Personaliti Diubah?
KITA sedang berada di ambang tahun 2013. Setiap kali menjelangnya tahun baharu, kita semua cuba untuk menetapkan azam baharu dan menjadi manusia yang lebih baik daripada apa yang sedang kita lalui hari ini.
Ada perkara yang mungkin mampu kita ubah dengan mudah, manakala ada yang tidak. Ada kelakuan atau tabiat tertentu yang dapat kita elakkan, tetapi sebahagiannya kekal sepanjang hayat.
Antara isu yang selalu didebatkan dalam kalangan ahli psikologi ialah adakah manusia mampu mengubah personalitinya? Adakah orang yang panas baran, misalnya, mampu menjadi manusia penyabar dengan semakin meningkatnya usia?
Ada antara individu yang sering cemas apabila dilanda musibah cuba untuk bersifat tenang, tetapi malangnya mereka tidak berupaya untuk melakukannya.
Sebab itulah, personaliti dikatakan sebagai the child is father of the man atau dalam bahasa mudahnya, sifat manusia ini sebenarnya tetap kekal sejak kanak-kanak.
Mereka yang periang di alam kanak-kanaknya, tidak mungkin menjadi mereka yang pendiam apabila berubah dewasa. Anak-anak yang suka mengawal orang lain ketika bermain, adalah mustahil untuk menjadi mereka yang dikawal oleh orang lain ketika dewasa.
PENINGKATAN usia atau impak sesuatu peristiwa mampu memberi kesan dalam diri dan personaliti seseorang.
Secara umumnya, manusia dikatakan dilahirkan dengan personaliti tertentu. Antara teori yang masyhur membincangkan personaliti manusia ialah Big Five Personality.
Kita semua sebagai manusia dikatakan mempunyai salah satu daripada personaliti ini atau gabungan beberapa daripadanya.
* Neuroticism: Orang yang tinggi dengan personaliti jenis ini biasanya mempunyai emosi yang tidak stabil, bimbang, rasa tidak selamat, celaru dan seumpamanya.
* Extraversion: Orang yang suka bersosial, suka bercakap, mementingkan manusia dan optimis.
* Openess: Suka meneroka, kreatif, berimaginasi, minat yang pelbagai dan tidak tertutup.
* Agreeableness: Orang jenis ini lebih berhati lembut, suka memaafkan, menolong, lebih dipercayai dan berterus-terang.
* Conscientiousness: Manusia yang berorganisasi, kuat bekerja, disiplin diri yang kuat dan bercita-cita tinggi.
Bagaimana dengan sifat yang ada pada diri anda? Hanya kita yang tahu hakikat diri kita sendiri.
Walaupun dikatakan bahawa personaliti utama yang ada dalam diri manusia tidak mudah berubah, namun kajian-kajian menunjukkan bahawa personaliti ini boleh berubah juga dalam tempoh yang panjang.
Malah, dikatakan personaliti juga kelihatannya lebih stabil apabila kita semakin meningkat usia, berbanding ketika kita remaja.
Kajian-kajian mendapati manusia berusia muda lebih cepat pemarah berbanding dengan orang yang berumur. Remaja belasan tahun dan awal 20-an, misalnya, dikatakan lebih beremosi dan suka memberontak, tetapi ia kelihatannya semakin berkurangan apabila usia kian meningkat.
Satu kajian ke atas kumpulan wanita telah dilakukan pada tahun 1960 di California dan ia diulang lagi ke atas kumpulan yang sama pada tahun 2000.
Didapati bahawa kumpulan itu mengalami perubahan pada personaliti neuroticism dan openess. Ini membuktikan bahawa sifat manusia berubah dengan pertambahan umur.
Adakah anda sudah berubah?
Mungkin ya dan mungkin tidak. Sebab itu, kadang-kadang apabila berjumpa dengan teman-teman lama, sesekali kita cuba menegur mereka dengan cara nakal seperti zaman kita masih bersekolah.
Malang sekali, mereka memandang kita dengan cara yang aneh sekali, menjadikan kita tertanya, adakah kita tersalah kata.
Hakikatnya mungkin tidak. Kita yang mungkin belum berubah, tetapi teman lama kita itu sudah berubah personalitinya.
Ada pula teman-teman lama kita kenal mereka sejak dari sekolah rendah, kelihatannya tetap orang yang sama. Mereka masih melayan kita dengan cara yang sama walaupun mereka kini sudah menjawat jawatan tinggi dan berjaya.
Sebab itulah, apabila ada ibu bapa yang mungkin keresahan apabila melihat ada anak-anak remaja mereka yang nakal, ia mungkin ada asasnya. Mereka mungkin bimbang tabiat itu akan dibawa sehingga dewasa sehingga merosakkan diri anak-anak tersebut.
Bagaimanapun, percayalah bahawa manusia boleh diubah dan mempunyai peluang untuk berubah. Sekiranya manusia tidak mampu diubah, kita tidak memerlukan pendidikan, ceramah agama atau bengkel motivasi.
Anak-anak remaja yang nakal mungkin akan menjadi manusia baharu ketika dewasanya. Mereka mungkin menjadi manusia yang sangat terpuji, asalkan jika mereka melalui jalan yang betul.
Kita yang sekarang ini mempunyai banyak kelemahan diri mungkin menjadi manusia yang hebat pada masa hadapan.
Walaupun sedikit sebanyak sifat ‘asal’ yang ada dalam diri tetap kekal, tetapi keazaman kita untuk berubah menjadi manusia sempurna adalah cara terbaik untuk kita melalui kehidupan sebagai manusia. Selamat tahun baharu untuk semua pembaca!
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
hepy new year dr sy..semoga apa yg dirancang menjadi realiti
Catat Ulasan