02 Januari 2013
Hari Pertama Persekolahan Anak-Anak Prasekolah
Hari ini, sesi persekolahan bermula. Perasaan gembira, cemas, takut dan teruja semuanya bercampur-baur. Bukan saja ibu bapa, malah anak khususnya yang baru mula mengenal alam persekolahan, dapat disaksikan macam-macam ragam mereka.
Bagi kanak-kanak yang tidak biasa dengan suasana persekitaran baru itu, tadika dianggap tempat yang amat asing. Jika setiap hari dunia mereka hanya bersama ibu bapa dan adik-beradik di rumah, tetapi hari ini, ramai rakan sebaya daripada pelbagai latar belakang keluarga, kaum dan bahasa ditemui.
Ada yang menangis, merengek ketakutan dan bersembunyi di belakang badan ibu atau bapa, itu pemandangan biasa. Bila tengok rakan lain menangis, yang tidak menangis juga turut menangis. Ada yang tidak mahu masuk ke kelas dan tidak kurang juga ada yang tampak yakin bersahaja seakan tadika tempat baru yang menyeronokkan.
Ibu bapa perlu bijak mengendalikan keadaan, tidak terlalu memanjakan atau menunggu di dalam kelas sehingga tamat waktu persekolahan untuk mengelak anak terlalu bergantung kepada mereka.
Walau apa juga tadika yang dipilih sama ada dikendalikan agensi kerajaan, swasta atau montesorri dengan bahasa penghantarnya, bahasa Melayu, Inggeris atau aliran agama, ternyata prasekolah amat penting untuk perkembangan awal pendidikan kanak-kanak. Di sini semuanya bermula kepada generasi baru pemimpin masa depan.
Bukan dari sudut kelengkapan saja perlu diberi perhatian, tetapi sudut psikologi paling utama kerana anak beralih ke fasa baru iaitu mengenali dunia luar.
Pendidikan prasekolah menjadikan anak mampu mempelajari kemahiran interaksi bagi pembangunan sosial, emosi dan mental sebagai persiapan ke alam pendidikan formal.
Kanak-kanak TADIKA turut melalui pengalaman pahit manis alam prasekolah
Psikologi anak
Mengulas mengenai psikologi kanak-kanak, Penyelidik, Pusat Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (FACE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rumaya Juhari, berkata beberapa perkara penting perlu diteliti sebelum memasukkan anak ke prasekolah agar tidak timbul masalah lain.
Pada saat ini, beliau yakin semua ibu bapa sudah bersiap sedia sejak daripada awal lagi sebelum memilih tadika bersesuaian untuk anak mereka bergantung kepada bajet.
"Perkara pertama ialah anak perlu mencapai usia sesuai ke prasekolah selain mampu menguasai kemahiran asas seperti penggunaan tandas, makan minum, membuka dan memakai pakaian sendiri.
“Ibu bapa kena menerangkan bahawa di tadika ada guru, rakan dan sistem berjadual serta peraturan yang perlu dipatuhi. Ibu bapa boleh mulakan dengan menjalani rutin seperti masa bangun tidur, makan, rehat yang lebih berstruktur ketika bulan terakhir sebelum ke prasekolah.
“Pastikan anak boleh menguasai bahasa dan tidak pelat. Kegagalan berkomunikasi mungkin boleh menyebabkan kanak-kanak cepat merasa tekanan apabila berada dalam suasana baru kelak,” katanya.
Tambahnya, masalah sinonim anak kecil ini ialah tidak pernah berenggang, lalu penyelesaian yang boleh dilakukan ialah dengan menghantar ke rumah saudara atau jiran untuk tempoh tertentu bagi membiasakan diri dengan konsep baru ini.
“Jika perjalanan ke prasekolah pula memerlukan anak menaiki bas sekolah, elok jika dapat biasakan mereka dengan sistem berkenaan serta perkenalkan kepada pemandu bas.
Sementara itu, berkenalan atau berdepan dengan beberapa rakan baru boleh menimbulkan rasa selesa kepada kanak-kanak,” katanya.
Peranan ibu bapa
Perubahan atau transisi daripada satu fasa lain kepada yang lain menimbulkan rasa cemas bagi semua orang sama ada kanak-kanak mahu pun orang dewasa. Ibu bapa wajib memainkan peranan dengan menceritakan pengalaman keseronokan di mana mereka akan berpeluang meneroka lebih banyak lagi.
“Ibu bapa juga perlu ingat prasekolah bukanlah tempat untuk anak dilihat pandai akademik semata-mata dan jangan sesekali menakutkan mereka dengan ugutan atau ancaman seperti ‘nanti cikgu garang’. Cara tepat menanganinya adalah dengan membuka ruang kepada anak-anak berinteraksi dan mempunyai rakan yang dikenali,” katanya.
Bagi mengubah rutin harian anak kecil ini, ibu bapa boleh berbincang dengan pihak prasekolah untuk mengadakan lawatan awal supaya kanak-kanak ini dapat melihat kemungkinan yang bakal mereka hadapi. Bahkan di rumah juga, mereka boleh menjadi ‘guru’ dengan mengajar rutin prasekolah atau pun wujudkan suasana seperti dalam kelas.
Jadi mentor kepada anak
Di UPM, disediakan Pusat Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-kanak yang menguruskan penyelidikan berkaitan serta Makmal Prasekolah dan Taska PERMATA-UPM.
Pusat itu menjalankan program penyelidikan literasi awal kanak-kanak iaitu bahan literasi diserahkan kepada ibu bapa secara giliran mengikut kesesuaian umur. Konsepnya ialah untuk mendedahkan penguasaan literasi bagi kanak-kanak dengan pembabitan ibu bapa di rumah.
Hasilnya, ibu bapa bukan saja menjadi ‘guru membaca’ tetapi dilatih untuk pupuk sikap gemar dan menghargai bahan bacaan dikalangan anak-anak. Secara tidak langsung anak-anak mengenal huruf, menguasai kemahiran asas persediaan membaca yang menyeronokkan bersama keluarga.
Selain itu, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa aktif dalam program ini didapati lebih bersemangat dan yakin kerana pembabitan mereka membantu menyemarakkan nilai kendiri anak berkenaan.
Prasekolah di rumah
Mengulas mengenai anak yang tidak ke prasekolah, katanya, ada cara lain iaitu dengan melakukan “home preschooling” atau menyediakan pendidikan prasekolah di rumah dengan mematuhi kesesuaian kurikulum. Ia juga dilihat dapat membuka ruang kepada kanak-kanak bergaul dengan rakan lain.
“Pengalaman 'di luar' rumah boleh membantu kanak-kanak lebih berdikari. Jika mereka tidak diberi pendedahan ini, secara tidak langsung menafikan hak mereka untuk meneroka ke alam persekolahan.
“Kesannya kepada anak ialah mereka akan mengalami kejutan budaya jika ke Tahun Satu tanpa pendedahan awal terutamanya jika ketinggalan dalam menguasai kemahiran persediaan membaca menulis dan mengira,” katanya.
Tip proses prasekolah berjalan lancar
* Pemilihan prasekolah harus berkualiti, berdaftar, jarak dari rumah, keselamatan, peraturan, kurikulum, yuran, kapasiti, kompetensi guru, kemudahan dan lain-lain.
* Persediaan diri anak dan ibu bapa dalam pelbagai aspek perkembangan seperti fizikal, kognitif, sosial dan emosi.
* Pembabitan ibu bapa dan anak lain sepanjang proses alam prasekolah. Ibu bapa perlu bersedia memberikan komitmen tinggi untuk babitkan diri dalam proses prasekolah anak sama ada di premis prasekolah mahupun apabila ketika di rumah.
* Persediaan ibu bapa dan anak boleh dipengaruhi oleh banyak faktor seperti anak sudah biasa berada di pusat jagaan atau ibu sepenuh masa duduk di rumah bersama anak, ciri peribadi anak dan lain-lain.
Tip ibu bapa dan anak
* Ibu bapa terlebih dulu perlu jelas dengan matlamat dan proses pendidikan prasekolah.
* Perlu pilih prasekolah yang berkualiti.
* Perlu selalu beri motivasi kepada anak mengenai pengalaman menyeronokkan bermain disamping belajar, berjumpa kawan, mempunyai guru dan lain-lain.
* Menyediakan alat bantu yang boleh menaikkan semangat mereka. Contoh memberi pendedahan literasi awal dengan bahan bersesuaian tanpa perlu penekanan berlebihan untuk “MESTI PANDAI AKADEMIK” semata-mata. Anak-anak yang seimbang perkembangannya adalah anak-anak yang lebih cemerlang dan berjaya dalam hidup.
* Perlu bersedia untuk beri komitmen dan membabitkan diri di prasekolah dan di rumah bersama anak-anak.
Oleh Saadiah Ismail |
Sumber: BHarian [2013/01/01]
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
teringat hari pertama saya bersekolah dulu. mengalir air mata :') hehe
Catat Ulasan