07 Januari 2013

eBuku Sebagai Industri Penyumbang KDNK Negara


eMall Karangkraf adalah ePenerbitan terawal di Malaysia

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir meluahkan harapan mahu menjadikan Lembah Kelang sebagai hab pembangunan dan perdagangan perbukuan digital (e-buku) di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

Mukhriz dalam ucapan ketika melancarkan perasmian Persidangan Pertama Kali eBuku ASEAN (AEC) 2012 di sini pada Disember 2012 lepas, melahirkan keyakinan bahawa aspirasi itu boleh dicapai berbekalkan kesungguhan dan kerjasama antara pihak yang berkaitan.

Berdasarkan kepada kejayaan industri eBuku di beberapa negara Asia seperti Jepun dan China, angka-angka yang ada memberi gambaran industri ini berpotensi cerah dan boleh dibangunkan sebagai antara industri utama negara.


"China sebagai contoh pada 2011 mencatatkan hasil jualan e-buku sebanyak 137.79 bilion yuan (RM6.7 bilion) dan Jepun sekitar 65 bilion yen (RM2.3 bilion). Berikutan itu, Jepun dikatakan telah menyasarkan jualan e-buku antara 200-300 billion yen (RM6-7 bilion) bagi tahun 2015.

POTENSI TERSELINDUNG SEBENAR

"Di Korea pula, peningkatan 200 peratus setiap tahun bagi pasaran e-buku telah direkodkan. Pasaran e-buku di Korea dianggarkan sebesar 289.1 bilion won (RM8 bilion)," katanya.

Perkembangan bahan bacaan daripada p-buku (buku cetakan) kepada e-buku berlaku dengan pantas di seluruh dunia sejak 2007.

Malah syarikat-syarikat antarabangsa sama ada yang berasaskan teknologi mahupun yang berasaskan perdagangan buku seperti Google, Amazon dan Apple telah mula menerokai pasaran e-buku secara serius.

Antara beberapa perkembangan yang wajar diambil perhatian termasuklah pelancaran Kindle sebagai platform e-buku pada tahun 2007. Apple pula memperkenalkan aplikasi Kindle untuk iPhone pada Feb 2009 dan pada bulan Mei 2009 Amazon mengumumkan bahawa jualan e-buku di laman web mereka mewakili 35 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan pada tahun itu.

KEDAI e-buku

Berikutan itu, pada Julai 2009 Barnes & Noble pula melancarkan kedai e-buku (ebook store) dan Apple menyusul dengan iBook Store pada 2010.

Kepesatan pasaran baru e-buku ini sebahagian besarnya didukung oleh penghasilan pelbagai aplikasi seperti telefon android dan 'e-book reader' yang berupaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat menatap kandungan digital dalam pelbagai format.

Di Malaysia industri e-buku masih berada di peringkat awal. Pihak berkaitan industri perbukuan negara seperti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mapoba) sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi memacu transformasi p-buku kepada e-buku bagi memenuhi citarasa pembacaan khususnya bagi golongan muda seiring dengan perkembangan ICT negara di negara ini.

Pengarah MBKM, Abd Wahab Ibrahim berkata nilai penerbitan buku negara setakat tahun lepas dianggarkan kira-kira RM1.5 billion dengan penerbitan 19,000 judul baru.

"Nilai ini tidak termasuk penjualan hak harta intelek seperti penterjemahan untuk diterbitkan di luar negara dan pelbagai lagi penghasilan bagi industri ini.

KEYAKINAN TINGGI PADA MASA DEPAN

"Dengan perkembangan e-penerbitan kita optimis angka ini akan meningkat untuk menjadikan industri ini sebagai industri berpendapatan tinggi negara," katanya kepada Bernama.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, 60 peratus pembacanya lebih selesa dengan e-buku berbanding p-buku.

"Ini terjadi kerana perkembangan peranti-peranti teknologi yang menyediakan aplikasi mudah dan pantas untuk mereka membaca melalui medium maya. Jika perkembangan ini dilihat di Malaysia, kita tidak nafikan peratusan ini juga boleh dicapai beberapa tahun lagi," katanya.

Namun, katanya, untuk menjadikan industri buku termasuk e-buku menjana pendapatan tinggi dua langkah perlu diambil; pertamanya industri buku tempatan dirancakkan dan kedua lebih banyak bahan diterbitkan untuk pasaran luar negara.

LANGKAH YANG DIAMBIL

Penganjuran Persidangan eBuku ASEAN (AEC) 2012 adalah langkah konkrit menyokong industri pembukuan digital negara dan memastikan Lembah Kelang muncul sebagai hab pembangunan dan perdagangan pembukuan digital (e-buku).

"Persidangan ini bertujuan membincangkan perkembangan mutakhir pasaran eBuku dalam kalangan negara-negara ASEAN dan memberi pendedahan tentang standard epenerbitan (ePUB3), arah aliran perkembangannya dan cara menggunakan standard ini dalam program epenerbitan semasa," katanya.

Persidangan selama dua hari ini juga menjadi medan pertukaran fikiran dan pengalaman penerbit luar seperti Australia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura dalam menangani isu harta intelek yang dilihat menjadi antara halangan untuk industri ini berkembang pesat.

Tambahnya pada April depan MBKM juga akan mewujudkan Kuala Lumpur Trade and Copyright Centre (KLTCC) 2013 bertujuan membangunkan pasaran harta intelek untuk rantau ASEAN yang bakal memberi manfaat kepada industri buku Malaysia dan rakan-rakan serantau.

PENGALAMAN MALAYSIA

Sementara itu, Kumpulan Media Karangkraf (KMK) menjadi antara syarikat penerbitan tempatan terawal yang melancarkan konsep e-penerbitan apabila melancarkan aplikasi eMall Karangkraf pada 15 Nov 2012 lepas.

Menurut Pengerusi KMK Datuk Hussamudin Yaakub, setelah 20 hari pelancarannya, aplikasi itu membawa pulangan kira-kira RM1,000 setiap hari. Sehingga kini hampir 10,000 pengguna telah memuat turun 28 majalah dan 50 judul buku yang ditawarkan di dalamnya.

"Melihat perkembangan ini, saya optimis eMall ini akan berupaya menyumbang 20 hingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan syarikat menjelang akhir tahun hadapan," katanya.

Hussamudin, yang juga Presiden Mapoba, berkata majalah dan buku yang termuat dalam eMall ini dijual dengan harga sehingga 50 peratus lebih rendah dan boleh dimuat turun pengguna aplikasi android dan ios.

Beliau berkata emajalah dan ebuku yang telah dibeli kekal milik pengguna malah jika pengguna mengalami kehilangan atau kerosakan gajet, aplikasi ini boleh dimuat turun semula seperti sediakala.

"KMK juga menyasarkan untuk mentransformasi lebih 1,000 judul p-buku terbitan anak syarikatnya - Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari - ke dalam eMall ini menjelang tiga tahun akan datang.

"Malahan kita juga merancang memuat naik keluaran kesemua 28 majalah terbitan KMK sejak lima tahun lepas dalam masa terdekat dan pengguna boleh mendapatkannya dengan melayari laman sesawang emall.karangkraf.com ," katanya.

Oleh Syamsiah Sahat
Sumber: BERNAMA

0 comments: