15 Januari 2013
Bahaya Kanta Lekap
Kanta lekap sebenarnya berfungsi bagi menggantikan cermin mata untuk memperbaiki kecacatan refraksi pada mata, di samping menjadi pelindung bagi beberapa jenis penyakit kornea.
Memang tidak dapat dinafikan, kanta lekap berperanan besar sebagai alternatif membantu si pemakai menghadapi gangguan penglihatan, namun risikonya yang berbahaya perlu anda tanggung sekiranya cara penggunaannya tidak dipatuhi.
Sekiranya masih ada yang memilih untuk menggunakan kanta lekap, sila pastikan anda dapat mendisiplinkan diri agar aspek kebersihan mata, tangan dan udara di sekeliling kamu benar-benar terjaga.
Dapatkan Nasihat Pakar
Seorang pakar mata memberi amaran trend menggunakan kanta lekap yang semakin meningkat mungkin boleh membawa mudarat jika pengguna tidak mengikut kaedah yang betul.
Pakar perunding Oftalmologi Hospital Pakar Kuala Terengganu Dr. Azhar Zainuddin berkata, ramai dalam kalangan pengguna tidak mempunyai pengetahuan berhubung cara pemakaian dan penggunaan kanta lekap.
"Sekarang ini kita lihat ramai orang membeli kanta lekap di pasar-pasar malam atau di kedai-kedai biasa tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu.
"Perkara ini trend yang membahayakan kerana memakai kanta lekap memerlukan penjagaan yang rapi dan pemakaian yang betul," katanya.
Beliau mendakwa telah merawat kes-kes dengan pesakit memakai kanta lekap dengan cara yang salah kerana memakai terlalu lama atau tertidur tanpa membuka kembali kanta itu sehingga menyebabkan kerosakan atau menyebabkan buta," katanya.
Dr. Azhar menasihatkan para pengguna kanta lekap supaya terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat daripada optometris atau oftalmologis.
"Selalunya, mereka hanya berjumpa doktor apabila kanta lekap itu tidak boleh ditanggalkan. Hal inilah yang kita mahu pengguna elakkan kerana pada masa ini adakalanya sudah terlalu lambat untuk menyelamatkan mata mereka.
"Kita mahu pengguna datang jumpa doktor semasa mahu menggunakan kanta lekap untuk memberi khidmat nasihat mengenai cara penjagaan serta pemakaian yang betul," katanya.
Dr. Azhar juga kesal kerana kesedaran masyarakat berhubung penjagaan mata juga masih ditahap rendah dan tidak ramai yang membuat pemeriksaan setiap tahun.
"Seharusnya, setiap orang walaupun berada dalam keadaan sihat, mereka perlu membuat pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun. Apa yang saya lihat sekarang ini, orang ramai tidak berbuat demikian dan mereka hanya datang apabila keadaan sudah teruk," katanya.
Beliau berkata walaupun kebanyakan mereka yang mengalami masalah mata disebabkan mempunyai penyakit diabetis atau faktor umur, orang muda juga mungkin terdedah dengan masalah mata disebabkan faktor cuaca dan genetik.
Kanta Lekap Murah
Lambakan kanta lekap murah di pasaran mahupun dalam talian (online) nyata membuatkan mereka yang gila fesyen berpusu-pusu memilikinya tanpa menyedari kesan sampingan yang amat berbahaya terhadap mata mereka.
Trend memakai kanta lekap berwarna sebenarnya sudah lama menular dalam kalangan remaja terutamanya mereka yang masih bersekolah memandangkan harga yang ditawarkan amat rendah sekitar RM20 hingga RM30 sepasang.
Jadi, sebahagian daripada pengguna sanggup mengambil risiko asalkan mata mereka tampak cantik yang kononnya mengikut peredaran fesyen terkini dengan alasan mahu meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan masyarakat.
'Biru Mata Hitamku .....'
Bahaya Kanta Lekap Hiasan
Pengguna yang memakai kanta lekap hanya untuk kecantikan tanpa melakukan pemeriksaan mata terlebih dulu, berisiko menjadi buta akibat jangkitan kuman pada kornea mata.
Majlis Optik Malaysia (MOM) menasihatkan pengguna supaya membuat pemeriksaan mata terlebih dulu jika mahu memakai kanta lekap, termasuk kanta lekap berwarna tanpa kuasa.
Menurut majlis berkenaan, pemeriksaan penting bagi memastikan sama ada seseorang pengguna sesuai atau sebaliknya untuk menggunakan kanta lekap kerana pemakaiannya bukan sekadar untuk kecantikan saja.
Kanta lekap hanya sesuai untuk individu yang mempunyai masalah rabun serta masalah mata seperti keratokonus, koloboma iris dan sebagainya selain mereka yang aktif bersukan.
"Kanta lekap juga itu tidak harus dipakai individu yang menghidap masalah mata seperti konjunktivitis kronik, blefaritis, jangkitan kuman dan mata kering, selain pesakit diabetes, HIV positif dan penyakit berjangkit lain di samping individu yang mempunyai tahap kebersihan diri yang rendah," kata majlis.
MOM berkata, sekiranya seseorang itu tidak mematuhi peraturan pemakaian kanta lekap, komplikasi paling berbahaya ialah berlakunya jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dipanggil ulser kornea dan boleh menyebabkan buta.
Pengguna kanta lekap harus segera menghentikan penggunaannya jika mata menjadi merah, berasa sakit serta penglihatan menjadi kabur dan perlu berjumpa doktor mata kerana rawatan segera diperlukan bagi mencegah buta, katanya.
Aneka Corak Kanta Lekap Berwarna Untuk Pilihan Anda Yang Mahu Kelihatan Mempunyai Mata yang Menarik
KESAN JANGKA PANJANG
1) Penggunaan kanta lekap selama bertahun-tahun boleh mengurangkan ketebalan kornea - kekurangan oksigen menyebabkan sel epitelium iaitu lapisan luar makin berkurangan dan mati.
2) Kanta lekap menghalang oksigen yang mengakibatkan kornea kurang sensitif. Pengguna tidak menyedari matanya dimasuki bendasing, misalnya habuk.
3) Reaksi yang kurang terhadap kemasukan bendasing menyebabkan mata kurang berkedip, sekali gus menyebabkan kurangnya kelembapan mata.
4) Pemakaian kanta lekap akan mengubah lengkungan kornea dan jika dipakai terlalu lama akan menyebabkan rabun bertambah.
MATA yang mengalami ‘Giant Papillary Conjunctivitis’.
KOMPLIKASI
A. Bukan jangkitan
1) Mata kering kerana kornea kurang kelembapan disebabkan halangan kanta lekap. Ini kerana mata mengeluarkan lebih banyak air mata apabila ada cahaya dan angin jika tiada halangan kanta lekap.
Ada juga cecair membersih dan merendam kanta lekap yang tidak sesuai dan menyebabkan mata cepat kering. Kanta lekap perlu dibersih dengan enzim pembersih bagi membuang lendir atau sisa yang tertinggal di lapisannya. Ia tidak harus dipakai lebih lapan jam.
2) Luka pada kornea disebabkan trauma seperti kecederaan, kanta lekap koyak atau bentuk tidak sempurna. Tidak mahir ketika mula menggunakan kanta lekap juga boleh mendatangkan kecederaan.
3) ‘Cornea microcysts’ iaitu kekaburan disebabkan kurang oksigen, terutama kerana kanta lekap dipakai lebih daripada masa sepatutnya, misalnya melebihi lapan jam.
4) Pertumbuhan saluran darah pada kornea - Kornea yang secara semula jadi jernih seperti cermin akan ditumbuhi saluran darah kerana kurang oksigen. Masalah itu menyebabkan mata menjadi kabur.
5) Boleh menyebabkan alahan atau imunologi L:
Cecair mencuci, merendam atau membilas kanta lekap boleh menyebabkan alahan pada mata. Protein yang terlekat pada mata juga boleh menyebabkan alahan.
Pesakit ‘Giant Papillary Conjunctivitis’ iaitu kelopak mata di bahagian dalam mempunyai benjolan. Pesakit sukar memakai kanta lekap disebabkan benjolan berkenaan, terdapat banyak lendir keluar dan rasa tidak selesa.
PERTUMBUHAN saluran darah pada kornea.
B. Jangkitan
1) Ulser kornea.
Seorang daripada 2,500 pengguna kanta lekap pakai buang harian berisiko mendapat jangkitan ini berbanding kanta lekap yang boleh digunakan dalam jangka masa lebih lama (extended wear) dengan kekerapan 1:500
Individu yang tidur dengan kanta lekap berisiko 10 hingga 15 kali lebih tinggi mendapat ulser kornea kerana mata lebih mudah tercedera, kurang oksigen dan memerangkap bakteria.
Secara normal, mata kita akan berkedip dan air mata akan membersihkan mata daripada bakteria tetapi dengan pemakaian kanta lekap, perkara ini tidak berlaku kerana kanta lekap menghalang proses itu daripada berlaku. Bakteria lebih mudah terperangkap di kanta lekap dan mata.
2) Pseudomanas aeruginosa.
Sejenis bakteria yang mudah merebak dan menyebabkan ulser teruk dalam tempoh singkat. Biasanya bakteria ini menyebabkan parut dan menjejaskan penglihatan.
Ulser yang tidak terkawal boleh menyebabkan mata bocor. Mata yang bocor menyebabkan air mata sentiasa meleleh. Pesakit memerlukan kornea gantian yang diperoleh daripada penderma.
Kebanyakan individu yang berdepan masalah ini ialah mereka yang tidak mengikut cara penjagaan kanta lekap yang betul, menggunakan cecair pencuci, rendaman atau bilasan yang tamat tempoh atau masih menggunakan bekas menyimpan atau merendam kanta lekap yang lama dan kotor.
Elak memakai kanta lekap lebih lapan jam dan jangan sekali-kali tidur dengan kanta lekap. Selain itu, hindari mencuci kanta lekap dengan air paip atau masih menggunakan kanta lekap yang tamat tempoh.
Kulapok Bahaya Pada Kanta Lekap
Kulapuk adalah sejenis kulat. Spesies kulapuk Fusarium dikaitkan dengan jangkitan kulat berkaitan kanta lekap.
Biasanya, kulapuk tidak membahayakan kornea kecuali jika terdapat luka atau kerosakan pada lapisan epitelial. Apabila ini berlaku, kulapuk dengan filamen panjangnya akan memasuki stroma kornea yang terdiri daripada gentian kolagen.
Filamen akan tumbuh di sepanjang kolagen dan sebaik melekat di situ, amat sukar membuangnya. Di peringkat ini, pakar surgeri mata mungkin perlu menanggalkan seluruh kornea dan menggantinya dengan kornea baru melalui pembedahan pemindahan. Ini akan menjejaskan penglihatan dengan ketara.
Jangkitan kulat amat berbeza daripada jangkitan bakteria. Jangkitan bakteria boleh dirawat dengan mudah menggunakan antibiotik topikal. Kulapuk akibat jangkitan kulat lebih sukar untuk dirawat kerana ia tumbuh di dalam kornea tanpa disedari. Simptom seperti mata merah, mata berair dan mata sensitif kepada cahaya mungkin tidak akan dialami.
Bagi mencegah kulapuk di dalam mata apabila memakai kanta lekap, patuhilah prosedur pembersihan yang betul seperti disyorkan pengeluar produk. Ini boleh mengurangkan pencemaran pada kanta lekap. Amalkan juga tabiat mencuci tangan yang baik.
Keberkesanan disinfektan larutan serba guna kini semakin ditekankan. Bagaimanapun, biarpun larutan serba guna mampu membersihkan kanta lekap daripada bakteria, ia mempunyai sedikit impak saja ke atas kulat yang sudah melekat pada mata anda.
Larutan yang mempunyai kuasa disinfeksi yang berlebihan juga boleh mengancam keutuhan struktur permukaan kornea. Oleh itu, pemilihan larutan serba guna yang memenuhi kriteria disinfeksi FDA/ISO dan membantu mengekalkan keutuhan dinding epitelial kornea adalah penting untuk mencegah jangkitan kulat.
Sumber: Utusan, PMR Penerangan, BHarian, HMetro [2013/01/19], Utusan [23062014]
Labels:
Kesihatan,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
Assalamualaikum..
alhmdulillah..info yang bermanfaat bg org yg yg berkaca mata sprti saya.
tq.
deno prefer spek sebab deno takut nak letak kanta lekap tu kat mata...
Mata saya tersangat sensitive, so bila letak aje kanta lekap ni di mata, mata saya terus menjadi merah even untuk kanta lekap yang khas untuk the most sensitive eyes. :)
Bila seseorang itu memakai kanta lekap atau kanta sentuh, dia harus mengetahui risiko yang boleh berlaku sekiranya teknik penjagaan kanta sentuh tidak diamalkan dengan betul. Selain itu, sebaik-baiknya kita membeli kanta sentuh dan pencuci kanta sentuh yang berkualiti bagi memastikan mata kita tidak mengalami sebarang alahan terhadap kanta sentuh.
Catat Ulasan