Nuff Atas

22 Januari 2013

Khasiat Daun Teh



TEH telah ditanam selama berabad-abad lamanya bermula di India dan China. Hari ini, teh merupakan minuman yang paling banyak diminum selepas air kosong.

Beratus-ratus juta warga dunia minum teh dan kajian menunjukkan bahawa minuman teh khususnya teh hijau mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan.

Terdapat tiga jenis teh yang utama iaitu teh hijau, hitam dan wu long (oolong). Ia dibezakan melalui cara teh diproses. Teh hijau tidak melalui proses fermentasi dan mengandungi kepekatan antioksidan iaitu polifenol yang tinggi.

Antioksidan merupakan bahan-bahan yang bertindak melawan radikal bebas yang merosakkan sel-sel dalam badan, merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) dan menyebabkan kematian sel.



WANITA yang mengambil teh dikatakan mempunyai tulang yang kuat.

Ramai saintis percaya bahawa radikal bebas menyumbang kepada proses penuaan dan menyebabkan beberapa masalah kesihatan termasuk kanser dan penyakit jantung.

Antioksidan seperti polifenol dalam teh hijau boleh meneutralkan radikal bebas dan membantu mencegah sesetengah kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.

Dalam perubatan tradisional Cina dan India, pengamal perubatan menggunakan teh hijau sebagai perangsang, diuretik (untuk menyingkirkan cecair berlebihan dalam badan), astrigen (untuk mengawal pendarahan dan membantu menyembuhkan luka) dan meningkatkan kesihatan jantung.

Selain itu, teh hijau dikatakan mampu merawat masalah angin dalam badan, mengawal suhu badan dan gula dalam darah, bagus untuk pencernaan dan meningkatkan proses mental.

Teh hijau telah dikaji secara meluas ke atas manusia, haiwan dan eksperimen makmal. Kajian tersebut menunjukkan teh hijau mampu membantu merawat keadaan kesihatan seperti aterosklerosis, kolesterol tinggi dan kanser.


TEH ros membantu menangani masalah sistem penghadaman dan melancarkan aliran darah.

Satu kajian kecil mendapati bahawa minum teh hijau membantu mencegah kaviti gigi. Sungguhpun begitu, lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi membuktikannya.

Ia juga dikatakan bermanfaat dalam penyakit radang seperti artritis. Dalam isu penyakit itu, teh hijau boleh membantu mengurangkan keradangan dan melambatkan kerosakan tulang rawan.

Bahan kimia dalam teh hijau juga boleh membantu merawat ketuat kemaluan dan mencegah gejala-gejala selesema dan flu.

Lebih bagus daripada kopi

Akademi Perubatan New York yang mengadakan simposium mengenai kesan farmakologi dan fisiologi teh pada tahun 1955 mendapati bahawa teh tidak seperti kopi yang menyebabkan jantung berdebar, insomnia, keletihan dan memberi masalah pada perut jika diminum berlebihan.

Teh merupakan ejen yang baik dalam melegakan kelesuan dan keletihan, membantu proses pemikiran serta pencernaan.

Pelbagai kajian penyelidikan dijalankan ke atas teh memberikan kita kefahaman tentang manfaat teh yang boleh menghindarkan penyakit jantung.

Menurut laporan jurnal Archives of Internal Medicine, wanita di Belanda yang minum satu hingga dua cawan teh mengurangkan risiko aterosklerosis.

Ia merujuk kepada penyakit pada arteri apabila plak-plak berlemak berkembang pada dinding dalam lalu menyebabkan penyekatan aliran darah) yang teruk.

Ia merupakan faktor utama yang menyumbang kepada penyakit jantung koronari. Wanita yang minum lebih daripada lima cawan teh setiap hari mempunyai risiko paling rendah menghidap aterosklerosis.


TEH hijau mengandungi antioksidan yang tinggi mampu melawan radikal bebas.

Melawan kanser

Penyelidik di Institut Penyelidikan Pusat Kanser Saitoma, Jepun mendapati bahawa sel kanser yang menyerang nodus limfa berkurangan dengan amalan mengambil teh hijau secara kerap.

Sementara itu, dalam senario lain, wanita penghidap kanser payudara kurang kritikal yang meminum lebih daripada lima cawan teh hijau sehari, mempunyai 50 peratus kemungkinan masalah tersebut tidak berulang kembali.

Menurut Dr. John Weisburger daripada American Health Foundation, minum teh dengan sedikit susu sebenarnya meningkatkan perlindungan terhadap kanser payudara.

Dalam pada itu, kajian di Britain mendapati bahawa wanita yang minum teh mempunyai tulang yang lebih kuat berbanding mereka yang tidak mengambil teh.

Teh juga mampu meningkatkan metabolisme dan membantu seseorang membakar lebih banyak kalori selain mencegah tanda-tanda penuaan.

Sumber: Kosmo



Teh Singkir toksin

Sementara itu, Lim Sui Tiong, 43, yang menceburi bidang kepakaran teh lebih daripada 20 tahun sejak tahun 1991 memberitahu, masyarakat Cina di negara ini gemar minum teh kerana ia merupakan tradisi ribuan tahun selain mampu meningkatkan tahap kesihatan.

Sui Tiong berkata, teh mampu membuang toksin di dalam badan dan mengurangkan tekanan darah.

Menurutnya, di Malaysia sudah semakin ramai peminum teh berikutan kesedaran mengenai khasiat dan kegunaannya.

"Dahulu hanya orang dewasa dan golongan berusia yang gemar minum teh tetapi pada zaman sekarang, golongan muda juga sudah mula minum teh Cina.

"Selain membuang toksin, teh juga dikatakan mampu mengurangkan kolesterol, melancarkan perjalanan darah dan mampu mencegah strok. Walaupun dianggap sebagai minuman berkhasiat, ia tetap tidak boleh menggantikan ubat," katanya.



Bagaimanapun Sui Tiong mengiyakan kepercayaan bahawa amalan minum teh boleh membantu menambahkan kecantikan dan mengurangkan berat badan.

Tambahnya, pengambilan teh bagus untuk kesihatan jika diamalkan dalam jangka masa panjang tetapi jangan berlebihan.

Katanya, ada segelintir individu tidak boleh tidur selepas minum teh secara berlebihan tetapi masalah tersebut boleh diatasi dengan mengambil makanan atau minuman yang manis.

"Pengguna juga boleh minum teh berdasarkan keperluan, contohnya jika mahu hilangkan kepanasan badan, seseorang itu perlu minum teh jenis sejuk seperti hijau.

"Jika badannya sejuk, dia boleh mengambil teh jenis suam seperti pu'er," ujarnya sambil memberitahu teh wu long dan pu'er menjadi pilihan popular dalam kalangan pelanggan.

Pakar teh itu berpesan, teh jenis aromatik perlu disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan rasa dan bau wanginya hilang. Begitupun, teh pu'er tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk kerana bau dan rasanya tidak akan hilang.

"Setiap jenis teh diimport dari tempat-tempat yang berlainan. Contohnya, teh tie guan ying dari An Xian dan Hokkien, manakala teh pu'er pula dari Yunnan.

Sumber: Kosmo

3 comments:

sabella mohamad berkata...

banyak khasiat teh ni . nasib baik la bellaa suka minum teh :D

myfreeminded berkata...

Teh O satu...:)teh menajamkan minda....

Jejaka Penyu berkata...

sememangnya dan terbukti teh mempunyai pelbagai khasiat.Saya sendiri pun mengamalkan meminum teh ini.

Untuk pembaca blog aznaqlate,saya ada menulis 1 artikel tentang Khasiat teh hijau ini.Didalam artikel saya ini saya ceritakan macam mana kita boleh menguruskan badan dengan mengamalkan meminum teh hijau.

Juga saya senaraikan penyakit2 yang boleh dicegah dengan mengamalkan meminum teh hijau.

Jadi jika ada kelapangan masa sila2 lah lawat blog saya.