Nuff Atas

21 Januari 2013

Portal Pendidikan Sains Angkasa Pupuk Minat Bidang Astronomi


Portal Pendidikan Sains Angkasa, www.astronomi.angkasa.gov.my

SESEKALI apabila mendongak ke dada langit pada waktu malam dan melihat cahaya rembulan yang ditemani kerlipan bintang-bintang, pasti membuatkan kita terfikir betapa hebatnya Allah yang menciptakan alam cakerawala ini.

Justeru, tidak hairanlah jika ada anak-anak kecil yang bercita-cita untuk menjadi ilmuwan dalam bidang astronomi kerana kagum melihat keindahan alam semesta.

Astronomi merupakan salah satu daripada cabang ilmu sains berkaitan bintang, planet, bulan dan matahari. Ia juga dikenali sebagai ilmu falak dari segi bahasa etimologi yang membawa maksud peraturan bintang.

Apabila berbicara tentang bidang yang turut dikenali sebagai sains angkasa itu, ruang lingkupnya terlalu luas. Malah, adakalanya ia menjangkau tahap pemikiran manusia itu sendiri.


Namun, seiring peredaran zaman yang semakin canggih, maka semakin banyak maklumat berkaitan ilmu astronomi atau sains angkasa boleh didapati dengan mudah.

Salah satu daripadanya ialah melalui Portal Pendidikan Sains Angkasa, www.astronomi.angkasa.gov.my di bawah kendalian Agensi Angkasa Negara (Angkasa) yang disediakan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Pegawai Penyelidik Angkasa, Mohammad Redzuan Tahar, 30, berkata, portal itu merupakan salah satu medium untuk mereka menyebarkan maklumat berkaitan perkembangan bidang sains angkasa di Malaysia.

“Portal Pendidikan Sains Angkasa mula diwujudkan pada bulan Mac 2011. Ia bertujuan untuk menyampaikan ilmu berkaitan astronomi kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira had usia.

“Kanak-kanak, pelajar mahu pun golongan dewasa boleh melayari portal ini sebagai platform untuk menambah ilmu pengetahuan masing-masing,” ujar Mohammad Redzuan.

Portal tersebut diharap mampu menjadi wadah dalam pembentukan generasi yang celik ilmu sains angkasa sekali gus menyuntik minat mereka terutama pelajar terhadap bidang berkaitan astronomi.


ILMU berkaitan alam cakerawala terlalu luas ruang lingkupnya namun dengan kemajuan sains dan teknologi ia boleh dipelajari setiap lapisan masyarakat.

“Golongan dewasa yang mungkin terdiri daripada guru atau ibu bapa, mereka juga boleh terlibat sama mendalami ilmu sains angkasa di samping berkongsi pendapat melalui medium forum yang disediakan di portal ini,” jelas beliau lagi.

Setiap maklumat yang disalurkan di portal itu adalah terkini dan tepat semata-mata untuk membantu pengunjung portal mendapatkan maklumat yang diingini dengan berkesan.

Empat segmen

Menurut Penolong Pegawai Penyelidik Angkasa, Rahayati Ali, 34, yang bertanggungjawab menyediakan bahan dan maklumat, terdapat empat segmen utama dalam portal itu yang dinamakan Teroka, Kamus, Galeri dan Pautan.

“Segmen Teroka mengandungi sembilan topik yang diolah untuk memberi pengetahuan asas berkaitan sains angkasa khususnya kepada golongan pelajar.

“Setiap topik disertakan dengan aktiviti menarik bagi meningkatkan tahap kefahaman mereka, malah ia turut dipaparkan dengan penggunaan multimedia interaktif,” kata Rahayati.

Tajuk yang boleh diteroka dalam segmen ini ialah Sistem Suria, Skala dan jarak antara Bumi, Bulan dan Matahari.

Segmen Kamus pula mengandungi 200 istilah terpilih berkaitan ilmu astronomi dan sains angkasa yang disusun mengikut turutan abjad bagi memudahkan pengguna mengakses maklumat yang berkaitan.

“Setiap istilah disertakan dengan maksud atau penerangan ringkas tetapi padat. Jika perkataan yang dicari tidak ditemui, pengguna boleh terus menghantar pertanyaan kepada pengendali portal melalui emel yang disediakan,” terang Rahayati lebih lanjut.

Pengguna juga boleh melayari segmen Galeri yang terdiri daripada empat bahagian iaitu Foto, Video, Muat Turun dan Arkib.

Di ruangan Segmen galeri itu, pelawat atau pengguna berpeluang menyaksikan koleksi gambar, menonton video serta memuat turun wall paper untuk kegunaan peribadi.

Galeri video pula memaparkan tentang kajian serta pengalaman angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukur Sheikh Mustapha ketika berada di Stesen Penyelidikan Angkasa Lepas (ISS) pada Oktober 2007.


Selain menggunakan multimedia yang menarik, portal ini turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif bersama pengunjung laman tersebut.

Menerusi segmen Pautan pula, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dengan melayari laman web pautan yang turut disediakan termasuk dari dalam dan luar negara.

Antara laman web tempatan termasuklah www.falak-online.net/portalfalak,  www.islam.gov.my/e-falak, dan www.angkasa.gov.my, manakala laman web antarabangsa terdiri daripada www.exploratorium.edu, www.nasa.gov, www.haydenplanetarium.org dan www.kidsastronomy.com

“Kesemua maklumat yang disediakan melalui portal ini diharap secara tidak langsung dapat menambah pengetahuan masyarakat dan membuatkan mereka lebih meminati bidang sains angkasa.

“Apatah lagi, bidang ini semakin mendapati tempat di hati masyarakat di Malaysia terutama selepas mencatat kejayaan dalam melahirkan angkasawan pertama negara pada tahun 2007,” ungkapnya.

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
Sumber: Kosmo

1 comments:

myfreeminded berkata...

Baru tadi tengok bulan di langit, sangat cantik sebab tadi sekitar bulan ada bulatan cahaya. Langit yang sangat gelap, cahaya bulan terserlah. Sangat menakjubkan pemandangan tadi.