12 Februari 2013

Nyawa Bayi Di Titisan Susu Ibu


Percampuran susu ibu yang dikumpulkan melalui bank susu boleh mengakibatkan kekeliruan nasab. - Gambar hiasan.

KELAHIRAN bayi pra-matang, ibu mempunyai penyakit berjangkit serta tidak dapat mengeluarkan susu badan dengan sempurna adalah antara permasalahan yang merunsingkan ibu bapa seusai sesuatu kelahiran.

Lebih membimbangkan, bayi yang terputus sumber makanan utama itu juga tidak dapat menerima susu formula yang dihasilkan bagi menggantikan susu ibu tersebut.

Perkara ini bukan sahaja memberi risiko kepada bayi, malah boleh mengakibatkan kematian kerana bayi tidak mendapat keperluan zat makanan yang mencukupi dan seimbang.

Sehingga direkodkan melalui kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati, risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat sehingga 10 ke 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama.


Namun takdir Allah SWT untuk menguji iman hambanya sama sekali tidak dapat dielakkan. Permasalahan ini dilalui oleh sesetengah ibu bapa sehingga menghalang mereka daripada memberikan susu kepada bayi.

Mengambil hujah daripada permasalahan tersebut, Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Datin Dr. Paizah Ismail berkata, diharuskan bagi umat Islam untuk menubuhkan pusat pengumpulan susu atau tabung susu tetapi bukan dalam bentuk cecair.

Beliau berkata, susu ibu yang dikumpulkan dalam tabung susu tersebut hendaklah dicampurkan sebelum diproses hidrat agar menjadi dalam bentuk tepung (susu tepung).

Keputusan itu diambil katanya, berdasarkan pendapat jumhur ulama yang membolehkan pelaksanaan tabung susu setelah dikaji dan difikirkan perlu dalam sesebuah negara untuk ditubuhkan.

"Masalah yang dialami ibu untuk menyusukan bayi bukan permasalahan kecil kerana ia membahayakan nyawa bayi dan boleh menyebabkan kematian.

"Oleh itu, jika ada usaha untuk menubuhkan tabung susu adalah dibolehkan asalkan susu yang dikumpulkan perlu dicampurkan kesemuanya dan dihidrat menjadi susu tepung. Sama seperti konsep susu lembu yang diperoleh daripada cecair dan dicampurkan sebelum diproses menjadi dalam bentuk serbuk.

"Kaedah ini dibolehkan setelah difikirkan sebagai langkah terbaik bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dan percampuran nasab sesama saudara susuan," katanya yang juga merupakan Pensyarah Jabatan Undang-Undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tambahnya, campuran susu ibu daripada tabung susu yang telah dihidrat tidak berlaku hubungan saudara susuan kerana ia dicampurkan daripada susu milik ramai ibu dan tidak mencapai syarat disepakati ulama menjadi saudara susuan.

Syarat untuk menjadi ibu dan bayi susuan ujarnya mengikut Mazhab Imam Syafie adalah sehingga lima kali minum tetapi tidak semestinya kenyang.

Mengulas lanjut, Paizah berkata, bagaimanapun tabung susu adalah kaedah terakhir sekiranya tiada alternatif lain untuk menyelamatkan nyawa bayi.

"Dalam situasi hari ini, sebaiknya lebih baik kita mencari ibu susuan kepada bayi tersebut. Ia lebih digalakkan kerana kita lebih mengenali keluarga ibu susuan tersebut selain mengamalkan sunnah Rasulullah SAW," katanya.

Tubuh dengan syarat

Dekan Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Kamarul Khaidzir Saadan berkata, tiada halangan untuk menubuhkan tabung susu sekiranya mendapat pemantauan daripada badan penguatkuasa syariah dengan teliti.

Beliau berkata, bagaimanapun langkah itu diambil hendaklah dalam keadaan yang darurat dan mendesak sehingga boleh menyebabkan banyak kematian jika tiada tabung susu itu.

"Tiada menjadi masalah untuk menubuhkan pusat pengumpulan susu atau tabung susu itu. Bagaimanapun pihak yang ingin menubuhkan pusat tersebut perlulah mengambil kira beberapa faktor.

"Antaranya ialah, apabila dalam keadaan darurat, mendapat restu Majlis Fatwa Kebangsaan dan ada badan penguatkuasa syariah khas yang bertindak memantau pusat tabung susu.

"Manakala bagi badan penubuhan tabung susu itu pula, perlu mampu mengatur dan mengkelaskan pengumpulan susu itu dengan sistematik agar tidak bercampur dengan susu ibu lain.

"Selain itu, salinan sijil lahir bayi susuan juga perlu dimiliki oleh ibu susuan bayi, dan salinan sijil nikah antara kedua-dua pasangan keluarga juga perlu dimiliki oleh kedua-dua keluarga susuan," jelas Mohd. Kamarul.

Tambahnya, syarat tersebut penting sebagai langkah berjaga-jaga daripada berlaku kecelaruan pada masa akan datang dan mengelakkan percampuran nasab antara saudara susuan.

Beliau berkata, ini berdasarkan kes yang dilaporkan pernah berlaku iaitu perkahwinan antara saudara susuan sebelum pasangan tersebut diarahkan bercerai selepas mengetahui status tersebut.

Pasangan anak satu itu katanya terpaksa akur dengan keputusan mahkamah untuk bercerai , manakala zuriat hasil hidup pasangan tersebut dinasabkan kepada ibu bayi.

Elak tubuh jika tidak mampu

Bagi pendakwah terkemuka tanah air, Datuk Hasan Mahmud Al-Hafiz tidak mengesyorkan penubuhan pusat tabung susu di negara ini buat masa sekarang.

Alasannya jelas Hasan, keperluan kepada bayi untuk mendapatkan susu belum berada di tahap yang kritikal dan masih mempunyai alternatif lain.

Pendapat itu juga kata beliau, adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan saudara susuan dan berlaku percampuran nasab bagi keluarga ibu susu dan bayi susuan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menyarankan kepada ibu bapa yang mengalami permasalahan tersebut agar mencari alternatif lain seperti mendapatkan ibu susuan kepada bayi mereka dan memastikan nasab kedua-dua pihak terpelihara.

"Pada pendapat saya tabung tidak wajar ditubuhkan di negara ini buat masa ini. Walaupun tidak dinafikan ada segelintir pasangan yang mengalami masalah ini, ia dilihat belum di tahap kritikal sehingga memerlukan tabung susu.

"Apa yang dibimbangi daripada pusat tabung susu adalah jika susu yang dikumpulkan di pusat pengumpulan itu akan bercampur dengan susu susu ibu yang lain. Bayi yang memperoleh susu tersebut juga tidak mengetahui bekalan susu itu daripada siapa.

"Ini akan menimbulkan permasalahan dari sudut nasab yang merupakan perkara yang perlu diambil berat di dalam agama Islam.

"Sebaiknya, jika mempunyai pilihan lain, kita perlu menggunakan kaedah tersebut seperti mencari ibu susuan yang kita kenali atau boleh dipercayai kepada bayi," katanya.

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Sumber: Utusan

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Emmm... Susah jugak kan... Tapi betul juga kata Datuk Hasan Mahmud tu. :)