Nuff Atas

13 Februari 2013

Hak Untuk Hidup Anak Tak Sah Taraf

Peringatan:

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian.


Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada keruntuhan akhlak.

Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Seterusnya peristiwa inilah yang membawa kepada gejala kelahiran Anak Tak Sah Taraf.


Bayi yang baru lahir itu umpama kain putih yang suci bersih.- Gambar hiasan


Tujuan Perkahwinan

Perkahwinan adalah salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Tentunya setiap yang berkahwin inginkan anak sebagai penyambung warisan. Lumrahnya, jika tiada anak, isterilah yang dipersalahkan sebagai mandul. Malah suami biasanya mengambil keputusan untuk berkahwin lagi dan ini jarang sekali dipersetujui isteri.

Berlaku juga kes pasangan bercerai, sama ada sebelum suami berkahwin lagi atau selepas mendapat tahu. Jarang juga pasangan membuat pemeriksaan doktor untuk menentukan siapa sebenarnya yang mandul. Ada juga pasangan yang mengambil jalan lain bagi menyelamatkan perkahwinan iaitu mengambil anak angkat.

Hari ini ramai pasangan yang tidak mempunyai anak memohon untuk mendapatkan anak angkat. Ada juga yang berpandangan itu bukanlah cara terbaik menyelesaikan masalah. Apapun alasan, ini jelas menunjukkan bahawa anak penting dalam perkahwinan.

Pasangan suami isteri yang berkahwin sangat menginginkan anak sebagai tanda cinta mereka bersemi dan bersemarak. Namun, hari ini berapa ramai daripada mereka yang sudah bergelar ibu bapa tahu apakah sebenarnya tanggungjawab mereka dan hak anak itu sendiri?

Hari ini semua perkara perlu diajarkan kepada pasangan muda. Dahulu, ibu bapa berkahwin pada usia yang muda dan menimang cahaya mata tanpa ke klinik ibu mengandung. Mereka hanya bergantung kepada nasihat orang tua serta mengikut pantang larang turun-temurun.

Apabila selamat bersalin, susu badan terus diberikan kepada bayi, apatah lagi kebanyakan ibu tidak bekerja maka penyusuan berlaku secara semula jadi.

Namun hari ini ibu muda diajar bagaimana hendak menyusukan anak dan amat digalakkan menyusu badan. Ramai juga yang memilih untuk tidak menyusu badan kerana tidak mempunyai susu yang banyak atau bekerja.

Kenapa ibu dahulu tidak perlu diajar tetapi melakukan semua perkara sebagai isteri dan ibu melalui teladan yang diperturunkan oleh orang yang lebih tua? Bagaimanakah pula ibu hari ini mengetahui hak anak sebelum anak tersebut dilahirkan?

Hak Utama

Hak anak yang pertama dan utama ialah hak untuk lahir dengan nasab yang sah. Untuk mempunyai hak yang boleh dituntut, seorang anak hendaklah dilahirkan sebagai anak yang sah taraf.

Sah taraf bermakna, ia dilahirkan hasil perkongsian kedua ibu bapanya melalui perkahwinan yang sah. Jika anak dikandung sebelum pasangan berkahwin secara sah, maka anak tersebut adalah anak luar nikah atau anak yang tidak sah taraf.

Hari ini kelahiran anak luar nikah sangat membimbangkan angkara terpedaya dengan nafsu syaitan menjebak kepada hubungan seks tanpa nikah. Lebih memburukkan keadaan apabila si gadis mengandung lalu cuba membuat pengguguran.

Ada juga yang sanggup lari dari rumah kerana takut atau mahu memastikan keluarga tidak malu atau ada yang menyembunyikan kandungan dan akhirnya melahirkan anak di tempat yang tidak bersih dan tidak selamat. Kemudiannya bayi yang lahir itu ditinggalkan sehingga meninggal dunia.

Dalam Islam janin mempunyai hak untuk hidup dan pengguguran janin (kandungan) hanya dibenarkan bagi tujuan menyelamatkan nyawa ibu. Selain itu, tidak ada alasan atau sebab yang membenarkan pengguguran.

Islam melarang membunuh anak perempuan sebagaimana perbuatan zaman jahiliah. Hak untuk hidup ini termasuk hak untuk dilahirkan sebagai anak sah taraf, yang membawa maksud tentu nasab anak atau anak dinasabkan kepada ayah kandungnya.

Banyak hak yang boleh dituntut oleh anak jika dilahirkan sah taraf. Antara hak utama ialah anak berhak menuntut ia dilahirkan sah taraf.

Dosa ibu bapa

Dalam hal remaja yang melahirkan anak tidak sah taraf, perlu disedari bahawa mereka telah melakukan dosa. Dosa ini pula berkait-kait hingga menjadi panjang. Melakukan zina itu berdosa besar. Apabila mengandung, usaha untuk menggugurkan kandungan adalah berdosa kerana sama seperti membunuh yang juga dosa besar.

Jika melahirkan anak tersebut dalam keadaan yang tidak sihat dan selamat yang akhirnya menyebabkan anak itu meninggal dunia, juga berdosa. Meninggalkan atau mengabai bayi yang baru lahir supaya ia mati juga berdosa.

Janganlah satu dosa ditambah dengan membuat lebih banyak dosa. Sampai masanya kita cuba mencari punca dan jalan penyelesaian yang terbaik untuk ibu, anak dan keluarga demi masa depan umat Islam. Menuding jari mencari kesalahan pihak lain bukanlah penyelesaiannya.

Anak tidak sah taraf tidak berdosa. Yang membuat dosa ialah kedua-dua ibu bapanya. Maka menghukum anak yang lahir itu adalah salah.

Anak tidak sah taraf juga mempunyai hak untuk hidup sama seperti anak-anak yang lain. Tetapi dia tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya, maka semua haknya adalah tanggungjawab ibunya.

Oleh yang demikian, sebagai ibu, remaja hari ini mesti tahu bahawa jika mereka mengambil keputusan untuk mengadakan hubungan seksual di luar nikah yang boleh menyebabkannya mengandung dan melahirkan anak, anak tersebut adalah anak yang suci dan bersih dan berhak hidup seperti anak-anak lain.

Kewajipan

Sebagai ibu walau semuda mana sekalipun, mereka mesti tahu adalah menjadi kewajipannya memastikan anak tersebut selamat dilahirkan, disusukan, diberi nama dan dibesarkan seperti anak-anak sah taraf yang lain.

Sebagai manusia yang melakukan dosa besar, maka hendaklah dia bertaubat dan sedar akan kesalahan diri dan bukan dengan cuba menghalang kelahiran anak tersebut atau memastikan anak tersebut mati.

Jika remaja yang menjadi ibu muda ini tidak mampu memelihara anak tersebut kerana dia sendiri belum bekerja dan terlalu muda, maka tanggungjawab itu jatuh kepada keluarganya.

Jika tidak ada yang mampu, maka menjadi tanggungjawab pihak berkuasa menanggung anak tersebut.

Sumber: Utusan

Baca Juga:
Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam

3 comments:

myfreeminded berkata...

Inilah kelalaian yang membawa musibah, bukan saja kepada orang yang lalai itu malah mereka yang tak berdosa turut terpalit dengan perbuatan itu.
Inilah yang terjadi jika ada antara kita yang tidak berpegang teguh pada tali Allah.
Moga diantara kita tidak berputus asa untuk saling mengingati.

nabila berkata...

orang yang dah berkahwin,berharap nak dapat anak,tapi disebabkan tak dak rezeki,maka tak dak anak lagi. tapi orang yang dapat anak tanpa kahwin,senang2 ja buang,atau campak,sedangkan anak tu tak bersalah pun.

mawar libra berkata...

anak itu anugerah ALLAH yang tak ternilai..... bimbing dan asuh lah anak sebaiknya....
jangan mudah nak buang anak... dia tak berdosa sedikit pun... masa buat lupa akibatnya.. bila dah jadi tau pulak malu.. ermmm