17 Mac 2013

Baha Zain Sasterawan Negara ke-12


Baha Zain pemenang Anugerah Sasterawan Negara yang ke-12.

Tokoh bahasa dan budaya Melayu, Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), 74, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilihan itu berdasarkan kecemerlangan serta sumbangan berterusan Baharuddin dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, majlis pengurniaan anugerah itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi.

"Pemilihan calon-calon untuk Sasterawan Negara berdasarkan sumbangan mereka melalui karya dan pemikiran terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera dan impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


"Panel telah mengadakan beberapa perbincangan untuk meneliti sumbangan dan kekuatan calon, dan akhirnya panel memilih Baha Zain sebagai penerima anugerah kali ke-12," katanya.

Muhyiddin berkata, dengan penganugerahan itu, Baharuddin akan dikurniakan watikah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, penerbitan 50,000 naskah buku atau nilai harga buku berjumlah RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

"Beliau juga akan menikmati kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk mencipta karya sastera, kemudahan menerbitkan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke bahasa asing," katanya.

Baharuddin dilahirkan di Hutan Melintang, Perak pada 22 Mei 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sabak Bernam, Selangor hingga tahun 1949.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada 1963, beliau bertugas di Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penolong Pegawai Penyelidik.

Pada tahun 1966, beliau menyambung pengajian di Fakulti Sastera, Universiti Indonesia, Jakarta.

Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010), dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011). - UTUSAN

Oleh HASHNAN ABDULLAH
Sumber: Utusan [15/03/2013]

Baha Zain: Tokoh penyair dan intelektual

ANUGERAH Sasterawan Negara yang ke-12 diberikan kepada penyair dan tokoh sasterawan, Datuk Dr. Baharudin Zainal atau lebih dikenali dengan nama penanya Baha Zain.

Baha Zain seorang penyair dan intelektual sastera yang dikagumi dan cukup terkenal dengan puisinya, Menangguh Kebenaran. Sungguhpun penerbitan buku puisinya tidak banyak, karya-karya beliau mempunyai kekuatan kepenyairan yang tersendiri.

Hal ini dapat dilihat dalam buku-buku kumpulan puisinya iaitu Perempuan dan Bayang-bayang (1974), Dari Catatan Tengah Malam (1978), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa Ke Kota (1994) dan Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain (2008).

Bagi Baha Zain, puisi tidak berbicara segalanya tetapi puisi adalah pengucapan suatu fragmen pengalaman daripada suatu keseluruhan seorang seniman. Sebagai penyair dan penulis, Baha Zain sering mencari keseimbangan antara aspek perasaan dan pemikiran.

Selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) beliau berkata, "setiap kali saya menulis, di belakang pemikiran saya ialah moga-moga karya itu memberi kesan dan manfaat kepada pembaca serta berdoa agar Tuhan menganugerahkan taufik dan hidayah untuk membolehkan saya terus berkarya."

Baha Zain memenangi Hadiah Karya Sastera yang pertama pada 1971 dengan puisinya Dalam Lingkaran, Topeng-Topeng dan cerpennya, Malam Yang Melemparkan. Apabila Hadiah Karya Sastera diangkat menjadi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), puisi Baha, "Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian" memenanginya pada edisi 2002/2003.

Puisinya "Apabila Menulis Puisi" memenangi HSPM 2008/2009. Tahun lepas dalam HSPM 2010/2011 dua buah puisinya turut menerima hadiah iaitu "Permainan Mimpi" dan "Dalam Persekitaran Kata-kata".

Kritis

Sebagai penulis esei dan kritikan, tulisan-tulisan Baha Zain membawa pemikiran yang teliti dan matang dalam perbicaraan suara yang sederhana dan tenang sekalipun persoalan yang cukup kritis. Kritikannya tajam tetapi tidak melukakan.

Dalam karya eseinya, Baha Zain mengajak kita berfikir, bukan mengajar kita berfikir. Pendekatan Baha Zain ini terserlah dalam buku anekdot-anekdot kecilnya Berguru Pada Binatang (2000) yang secara humor mengangkat satira dunia haiwan sebagai perbandingan, kiasan dan contoh untuk direnung dan difikirkan.

Barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa Baha Zain juga pernah terlibat dalam pementasan teater. Beliau merupakan pengarah teater "Tamu Di Bukit Kenny" karya Sasterawan Negara Usman Awang yang dipentaskan pada 26 Julai 1967 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka dengan pelakon utamanya ialah tokoh penulis terkenal, Datuk Noor Azam.

Tamu Di Bukit Kenny adalah antara drama realisme yang penting dalam sejarah teater Malaysia. Pementasan itu juga menjadi titik tolak penting tradisi pementasan teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kemudiannya secara konsisten mementaskan teater hingga ke hari ini.

Zaman Baha Zain di DBP adalah era kegemilangan DBP dengan tokoh penulis, sasterawan dan budayawan semuanya tertumpu di situ. Tokoh-tokoh penulis mapan dan baru seperti Datuk Hassan Ahmad, Usman Awang, Keris Mas, Abdullah Hussain, Noor Azam, Kemala, Wijayamala, Othman Haji Zainuddin, Shamsuddin Jaaffar, Suhaimi Haji Muhammad, Jaafa HS, Datuk Dr. Anwar Ridzwan, Datuk Johan Jaaffar, Zakaria Ariffin, Ainon Haji Muhammad, Dinsman, A. Rahim Abdullah dan ramai lagi semuanya bertugas sezaman dengan Baha Zain di DBP. DBP ketika itu bergolak dengan karya sastera, polemik sastera dan pementasan teater yang secara konsisten mengembang dan memajukan sastera tanah air.

Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang Perak pada 22 Mei 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sabak Bernam, Selangor sebelum memasuki Anglo-Chinese School, Teluk Anson, Perak. Kemudian memasuki tingkatan enam di Sekolah Anderson, Ipoh dan seterusnya memasuki Universiti Malaya pada tahun 1960 dan lulus Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963.

Baha Zain mula bertugas di DBP dengan jawatan Penolong Pegawai Penyelidik pada Julai 1963. Semasa bertugas di DBP, beliau pernah mendapat cuti belajar di Fakulti Sastera, Universitas Indonesia Jakarta untuk mengikuti pendidikan khusus mengenai masyarakat dan kebudayaan Indonesia dalam satu program pengajian peringkat sarjana.

Disebabkan minatnya mendalam tentang bidang kesusasteraan moden, Baha Zain menulis tesis yang membicarakan novel-novel Indonesia yang terbaharu di bawah bimbingan tokoh besar sasterawan Indonesia, H.B. Jassin. Pada tahun 1967, buku Hikayat Cekel Waneng Pati yang disusun semula oleh Baha Zain telah menerima hadiah daripada UNESCO.

Semasa mengetuai Bahagian Pengembangan Sastera DBP, Baha Zain menjadi Ketua Pengarang pada majalah-majalah Dewan Bahasa, Dewan sastera dan Dewan Budaya terbitan DBP selain dilantik sebagai sidang pengarang jurnal Tenggara.

Mulai tahun 1982, Baha Zain dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP, tetapi pada tahun 1984 beliau meletakkan jawatan untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Pada tahun 1985, beliau menerbitkan majalah berita mingguan Era. Sayang majalah yang mengambil konsep majalah Time tidak lama diterbitkan.

Baha Zain kemudian menjadi Pengerusi Eksekutif Dasar Padu (M) Sdn. Bhd. Sebuah syarikat penerbitan di samping mengendalikan Pustaka Cipta syarikat penerbitannya sendiri sejak tahun 1985. Beliau juga turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu sejak tahun 1986.

Beliau juga pernah menganggotai Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara, anggota Majlis Perkembangan Buku Kebangsaan dan pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1985-1991). Di samping itu, Baha Zain pernah menjadi Presiden Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional dari 1989 hingga 1994.

Sebagai sasterawan, Baha Zain telah dipilih menerima Anugerah S.E.A. Write daripada kerajaan Thailand pada tahun 1980. Ketokohannya sebagai sasterawan mewajarkan GAPENA menganugerahkan beliau Anugerah Penyair GAPENA (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan GAPENA (2008).

Manakala Universiti Sains Malaysia menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 2010. Selain itu, PENA menganugerahkan beliau Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 2011 . Baha Zain masih lagi terus berkarya dan menulis setiap bulan dalam Dewan Sastera yang diikuti melalui laman blognya.

Antara puisi karya Baha Zain ialah puisi Topeng-Topeng (2003), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (DBP, 1978) dan Tiga Catatan Perjalanan (DBP, 1980). Puisi beliau ada antaranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Russia dan Sepanyol. [BHarian]

Oleh A. WAHAB HAMZAH
Sumber: Utusan

2 comments:

Jahirah berkata...

dulu minat sastera....skang xsgt dah...huhuu

MyFreeMinded berkata...

Alhamdulillah murahnya rezeki dia.