16 Mac 2013

Pembubaran Parlimen Untuk PRU-13

Bilakah akan berlakunya pembubaran Parlimen untuk membolehkan dilaksanakan PRU ke-13?
Kita ikuti penjelasan pengerusi SPR dalam laporan akhbar yang berikut ini ....


Parlimen automatik bubar 30 April, 2013

Parlimen bubar secara automatik pada 30 April dan bukan 28 April seperti diuar-uarkan sebelum ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dilangsungkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun PRU, dikira berdasarkan tarikh sidang pertama Dewan Rakyat selepas pilihan raya berlangsung, bukan tarikh pilihan raya umum diadakan dan pengiraan berkenaan sudah disahkan penasihat undang-undang suruhanjaya berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik iaitu 27 Mac 2013 ini jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum itu.


Ramai termasuk pemimpin politik tidak sedar perkara ini hingga buat andaian Parlimen sepatutnya terbubar sendiri 9 Mac 2013 lalu. Sidang pertama Dewan Rakyat selepas PRU-12 ialah 28 April 2008, tetapi disebabkan 28 April 2013 jatuh pada Ahad, ia dibawa kepada 29 April dan Parlimen bubar secara automatik 30 April, kata Tan Sri Abdul Aziz.

Tan Sri Abdul Aziz berkata, sehingga 30 April 2013 itu, Perdana Menteri masih berhak bersuara dan segala keputusan kerajaan adalah sah, malah apabila Parlimen dibubarkan, kerajaan sedia ada bertindak selaku kerajaan sementara dan Perdana Menteri boleh membuat keputusan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Perlembagaan, Pilihan Raya Umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Oleh Haspaizi Mohd Zain dan Nor Fariza Ramlan,
Sumber: BHarian [14/03/2013]

DUN N.Sembilan Bubar Automatik Khamis 28/03/2013



Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan terbubar automatik pada 28 Mac 2013 iaitu Khamis ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, sebelum ini terdapat kekeliruan membabitkan perjalanan DUN yang menurut Fasal 56 (3) Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan, menyatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat yang pertama kemudiannya dibubarkan kecuali dibubarkan terlebih dahulu.

"Masalahnya ialah bagaimana untuk menentukan tempoh lima tahun itu bermula atau telah tamat.Perkara berkenaan telah dikenal pasti berpandukan Akta Interpretasi 1948 dan 1967 iaitu tempoh bermulanya DUN dikira selepas majlis angkat sumpah. Pengiraan waktu itu dibuat mengikut Seksyen 54 (1) akta itu".

Katanya, dalam hal pembubaran DUN secara automatik ini, hari kejadian atau hari wakil rakyat mengangkat sumpah iaitu pada 27 Mac 2008 tidak dikira sebagai hari pertama DUN berlangsung sebaliknya keesokan harinya iaitu pada 28 Mac 2008.

"Jadi dengan itu umur DUN akan genap lima tahun pada 27 Mac 2013 pada 12 tengah malamnya, DUN akan terbubar dengan sendirinya pada Khamis 28 Mac 2013 dan kerajaan sementara sudah pun terwujud.

Menteri Besar berkata permohonan tidak perlu dibuat untuk menubuhkan kerajaan sementara kepada mana-mana pihak kerana proses itu berlaku secara automatik. Selepas DUN terbubar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk mengadakan pilihan raya semula.

"Jika Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahu membubarkan DUN berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 56(2) maka tarikh akhirnya adalah 27 Mac 2013 ini," katanya. - BERNAMA

Sumber: BHarian [25/03/2013]

Pentadbiran Negeri Sembilan berjalan seperti biasa

Kerajaan Negeri Sembilan sedia ada masih sah mengikut sistem demokrasi berparlimen atau ‘Westminster’ yang diamalkan di negara ini walaupun selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar automatik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata menerusi sistem itu, kuasa pemerintahan sama ada negeri atau Persekutuan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu perundangan, kehakiman dan pentadbiran atau eksekutif.

Katanya, jika DUN mencapai tempoh genap lima tahun, hanya perundangan iaitu kuasa oleh wakil rakyat yang akan terbubar, manakala kuasa kehakiman dan pentadbiran masih ada dan perlu dijalankan.

“Kita mengamalkan pemisahan kuasa dan apabila sampai tarikh itu, hanya DUN iaitu perundangan akan terbubar, tapi eksekutif dan kehakiman masih ada,” katanya. [BHarian : 25/03/2013]

Tambahnya, selepas pembubaran itu, kerajaan sedia ada akan meneruskan pemerintahan sebagai kerajaan negeri sementara bagi mengurus dan mentadbir negeri ini.

"Selepas hari Rabu ini, tidak ada lagi wakil rakyat sama ada dari BN, mahupun pembangkang. Yang ada ialah Menteri Besar bersama 10 orang exco yang akan menjalankan urusan pentadbiran sebuah kerajaan sementara sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan dan kerajaan baru dipilih," katanya.

Jelas beliau, segala urusan pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa, namun tiada penetapan dasar baharu akan dibuat oleh kerajaan negeri sementara ini.

"Jadi apabila DUN terbubar hanya kuasa Perundangan sahaja yang terbubar, sementara kuasa Kehakiman dan Eksekutif atau Pentadbiran masih ada dan dilaksanakan," katanya lagi. [Utusan : 25/3/2013]

DUN Pahang Bubar Automatik Isnin 08/04/2013

DUN Pahang akan terbubar secara automatik pada 8 April ini jika tidak dibubarkan lebih awal daripada tarikh berkenaan. 

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang di bawah perkara 26 Fasal 3, Dewan Negeri hendaklah berjalan terus selama lima tahun daripada tarikh persidangan yang pertama dan hendaklah terbubar pada hujung tempoh itu kecuali jika dibubarkan terlebih dahulu. [BHarian: 2/4/2013]

Proses Pilihan Raya di Malaysia

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Sehingga kini terdapat 222 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) dan 567 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Pilihan Raya Kecil juga diadakan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, sama ada disebabkan kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya.

Sumber: Wikipedia

Jangan Sebar Berita Palsu Pembubaran Parlimen

"Orang ramai diperingat supaya tidak menyebar maklumat atau berita palsu melalui SMS atau media sosial kerana maklumat sedemikian, jika diangkat di dalam blog contohnya, boleh mengganggu-gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini," kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Mereka yang didapati bersalah mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan berdepan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, katanya.

Sumber:- BERNAMA [20/03/2013]

3 comments:

MyFreeMinded berkata...

Ohh dah nak bubar dah parlimen yek. Patutlah banyak tul bendera sepanjang jalan. Pening kepala gak nak pangkah sapa ni....

noraqilahjohari berkata...

Lambat tul nak tunggu automatik bubar 2 =_=" dh x sabar nk g mengundi ni..maklum la, first time nk mengundi..hehe :)

Unknown berkata...

nice info ni...sebelum ni tak tahu yg ada status "kerajaan sementara" tu...