Nuff Atas

18 Mac 2013

Padah Makanan Laut



Penggemar makanan laut, lazimnya sanggup berbelanja lebih dan mencarinya di serata tempat untuk menikmati kelazatan hidangan laut disukai. Bagi mereka, kesegaran setiap gigitannya memberikan keenakan tersendiri dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Makanan laut yang digemari ramai selain ikan, udang, kerang, kupang dan kerang memang sedap untuk dijadikan pelbagai menu. Malah, permintaan tinggi makanan laut bukan saja dalam kalangan pengusaha restoran di perairan pantai tetapi turut menjadi tumpuan kepada pengusaha di kota.

Bukan semua orang dapat sewenang-wenangnya menikmati makanan laut, ada yang alergi dan tidak kurang kena berpantang mengambilnya khususnya penyakit tertentu seperti gout dan darah tinggi.

Namun, semua orang juga perlu perlu berhati-hati kerana makanan laut ada kalanya mudah tercemar dengan mikro organisma, bahan kimia atau kandungan logam berat sehingga boleh membawa maut.


Contohnya, tiga maut selepas makan kerang dan lokan yang dibeli di Pasar Malam Inanam, Sabah, pada bulan lalu. Kes itu disebabkan fenomena laut merah yang melanda negeri itu yang menjadi punca pencemaran kepada hidupan laut itu.

Pada 1 Januari 2013 lalu pula, enam individu mengalami simptom keracunan seperti kebas di leher, muntah, pening dan sesak nafas selepas memakan kerang yang dikutip di perairan Sepanggar, Sabah.

Punca keracunan

Mengulas berkaitan itu itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Saliza Mohd Elias, berkata keracunan makanan laut boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pertama, ejen jangkitan termasuk virus, bakteria dan parasit.

Punca kedua berlaku kerana ejen toksin (racun) yang terhasil secara semula jadi dalam makanan laut seperti ciguatera dan scombroid atau berlaku akibat pencemar kimia daripada bahan buangan industri seperti logam berat, dioksin dan pestisid.

Antara punca keracunan makanan ialah bakteria, mikro-organisma, virus, racun atau toksin dan bahan kimia atau akibat proses penyediaan makanan kotor, makanan tidak dimasak dengan sempurna atau terdedah kepada persekitaran.

Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam selepas makan makanan tercemar. Kesan bahaya akibat keracunan makanan boleh membawa maut. Selain ada juga membabitkan keracunan sistem saraf, jelasnya.

Gejala keracunan

Dr Saliza berkata, kanak-kanak, warga tua dan individu berdaya tahan diri rendah berisiko tinggi mengalami keracunan makanan dan tandanya bergantung kepada jenis dan kuantiti racun diambil.

Katanya, antara gejala keracunan sering berlaku adalah gastroenteritis iaitu seperti loya, mual, muntah, cirit-birit dan sakit perut. Selain itu, keadaan pengeluaran najis luar biasa, cair dan kerap turut menyebabkan tubuh kehilangan cecair dan elektrolit.

Masalah keradangan sistem gastro-usus yang selalu dikaitkan dengan darah dan nanah pada najis atau secara saintifiknya disebut dysentery juga berkemungkinan berlaku pada individu mengalami keracunan.

Jangkitan sistem gastro-usus boleh menghasilkan kesan yang pelbagai bermula cirit-birit tidak berbahaya dan pulih dengan sendirinya atau kepada masalah berlarutan dan parah hingga menyebabkan kematian.

Secara am, gejala keracunan makanan ini termasuklah perut memulas atau berpeluh tanpa sebab, demam, rasa sejuk walaupun cuaca panas dan sakit kepala, katanya.

Kaedah rawatan

Mengenai rawatan keracunan, Dr Saliza menjelaskan pesakit mengalami keracunan makanan boleh menjalani beberapa kaedah rawatan bergantung kepada kategori penyakit dihadapi mereka.

Antara ubatan diedarkan adalah ubat menghentikan muntah atau rawatan IV untuk menggantikan bendalir dalam badan yang banyak dikeluarkan sepanjang proses keracunan.

Bagi mengurangkan tanda keracunan ciguatera pula mannitol atau gula formula kimia bertindak sebagai ejen diuretik osmosis untuk membantu menguatkan kandungan minyak dalam buah pinggang.

Pesakit perlu menjalani rawatan sehingga tanda keracunan makanan laut menunjukkan berkurang dan peningkatan pada tahap kesihatan, katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya melihat secara terperinci makanan laut dibeli di pasar untuk mengelak sebarang keracunan yang boleh menjejaskan kesihatan.

Di laut mudah berlaku pencemaran disebabkan yang mungkin disebabkan tumpahan minyak dan fenomena laut merah seperti berlaku di Sabah.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
Sumber: BHarian [2013/03/14]

2 comments:

Rossa Calla berkata...

Tak minat udang tapi suka sotong...

MyFreeMinded berkata...

ish.. takutnya... dah lah memang suka makan kerang dan kepah..