14 Mac 2013

Bank Kampung Di Gammesfeld, Jerman


SUASANA Kampung Gammesfeld di Jerman.

Seorang lelaki yang menguruskan sebuah bank koperasi di sini telah memastikan pengurusan kewangan penduduk sebuah kampung berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah dengan cara yang tersendiri.

Lelaki itu, Peter Breiter, 41, merupakan seorang pengurus bank yang luar biasa kerana dia tidak mengharapkan sebarang bonus yang besar, instrumen kewangan yang canggih dan tawaran kewangan berjuta ringgit.

Dia yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif bank itu berasa cukup bahagia dengan hanya menulis setiap transaksi keluar masuk kewangan menggunakan slip kertas dengan tangannya sendiri untuk 500 orang penyimpan di Gammesfeld, Jerman.


"Mengapa saya perlu menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM)," kata seorang pelanggan, Friedrich Feldmann ketika ditemui di sebuah bilik menunggu bersaiz kecil di bank tersebut.

Dia hanya datang ke bank itu seminggu sekali untuk mengeluarkan wang. Kata Feldmann, mesin ATM akan mengenakan caj perkhidmatan yang akan mengurangkan simpanannya.

Bank koperasi Raiffeisen Gammesfeld eG yang terletak di selatan Jerman itu merupakan salah sebuah daripada 10 buah bank terkecil di Jerman yang menerima simpanan daripada pendeposit. Ia merupakan satu-satunya bank yang diuruskan oleh seorang kakitangan sahaja.


THE Raiffeisen Gammesfeld eG sudah beroperasi lebih empat tahun.

Kebiasaannya, bank sebegini diwujudkan untuk kemudahan masyarakat sekitar yang menawarkan deposit simpanan yang kecil, pinjaman peribadi dan perniagaan yang terhad.

Walaupun jumlah bank ini menurun daripada 7,000 buah kepada 1,100 buah kini, bank kerjasama berkonsep sebegini memberi saingan kepada dua bank terbesar Jerman iaitu Deutsche Bank dan Commerzbank.

Breiter memberitahu, rutin harian yang dilakukan di The Raiffeisen Gammesfeld eG ialah menyediakan kemudahan tunai kepada penduduk kampung seharian selain mengendalikan pinjaman mikro kredit kepada mereka.


BANGUNAN satu tingkat dijadikan Breiter sebagai lokasi utama menjalankan perniagaannya.

Dia juga mengendalikan bank itu di bangunan satu tingkat yang terletak hanya 200 meter dari rumahnya.

Breiter memberitahu, keputusan membuka perniagaan itu pada empat tahun lalu merupakan keputusan terbaik yang pernah dia lakukan.

"Tidak perlu kos pengiklanan yang besar dan mesin selain tiada pakaian formal perlu dipakai. Tiada penggunaan komputer walaupun saya mempunyai komputer riba.

"Seronok dan saya mengenali pelanggan dengan lebih dekat. Hubungan kami bukan terhad kepada pelanggan semata-mata tetapi lebih meluas dengan skop perbualan meliputi soal pekerjaan, persahabatan selain amalan berjimat cermat untuk membelanjakan wang," cerita Breiter.

Tambahnya, ramai yang mengatakan dia akan bosan tetapi lelaki ini tidak pernah berfikir sedemikian.

"Pekerjaan saya sama seperti hobi. Saya dapat bermain ski setiap hujung minggu. Apakah yang lebih baik berbanding kehidupan sebegini," katanya.


BREITER (kanan) berbangga dengan perniagaannya kini.

Kebanyakan pelanggannya bekerja sebagai petani, pembekal kelengkapan alat solar dan syarikat cermin yang turut membekalkan cermin padanya.

The Raiffeisen Gammesfeld eG tidak menawarkan kemudahan kad kredit, pegangan saham serta perbankan online.

Keuntungan tahunan bank ini mencecah RM165,000 selain amaun pinjaman tertinggi pernah diluluskan ialah RM2.68 juta.

Kata lelaki ini, krisis kewangan Jerman menyebabkan bank konvensional menaikkan kadar bunga.

"Seorang lelaki menelefon sebanyak lima kali untuk meminjam RM16 juta tetapi saya menolak kerana dia bukan penduduk Kampung Gammesfeld.

"Ada juga pihak yang menelefon dan menyatakan rasa sangsi akan bank milik saya dapat bertahan kerana kos permulaan perniagaan yang tinggi," ujarnya.


BREITER (kiri) melayan seorang pelanggan di Bank Raiffeisen Gammesfeld eG di Gammesfeld pada 29 Januari 2013 lalu.

Breiter memberitahu, dia lebih gemar menyediakan kemudahan untuk jiran-jiran kampungnya berbanding menjana keuntungan.

Setiap pelanggan diberikan nilai kadar bunga yang sama sekitar RM4,000 hingga RM41,000 bergantung hasil keuntungan.

Seorang lelaki, Inge Dill yang mana anaknya pernah bersekolah dengan Breiter mengatakan, bank itu menawarkan kadar faedah yang berpatutan.

Sumber: Kosmo Artikel1, Kosmo Artikel 2

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Dasat gak, sikap prihatin tu yang sangat penting, boleh ke kita berjumpa orang sebegini dalam masayarakat kita di Malaysia ini?