Nuff Atas

02 Mac 2013

Hormon Estrogen



Estrogen adalah hormon utama bagi menentukan pembentukan seks atau jantina individu. Sekiranya, paras estrogen dalam badan tinggi maka ciri-ciri wanita akan lebih menonjol.

Pada masa sama, ia juga menzahirkan sifat kewanitaan dan berfungsi untuk membentuk tubuh badan wanita, payudara dan kitaran haid pada setiap bulan serta menjadi kunci terhadap kesuburan wanita.

Estrogen akan dialirkan oleh darah menuju berbagai jaringan sel di seluruh badan, otak, faraj, buah pinggang dan lain-lain serta menimbulkan kesan tertentu sesuai dengan fungsi masing-masing. Ini berikutan, molekul estrogen akan melekat pada reseptor dan menghasilkan tindak balas pada organ.




Kadar normal estrogen bergantung kepada usia. Wanita berusia antara 20 hingga 29 tahun lazimnya, memiliki kadar estrogen sehingga 149 piktogram per mililiter (pg/ml) manakala wanita berusia 30-an, purata jumlahnya 210 pg/ml.

Bagi mereka berusia lebih 40 tahun dan masih belum mengalami menopaus akan memiliki tingkatan estrogen, sekitar 152 pg/ml. Peningkatan estrogen seseorang wanita itu pelbagai dari sehari ke sehari bergantung kepada kitaran haidnya.

Menjelas lanjut mengenai hormon, pakar estetik Marissa Aesthetic & Wellness, Dr Rushmini Maris Ismail, berkata sistem hormon berperanan penting untuk memastikan keremajaan dan kualiti kesihatan seseorang.

Katanya, hormon dilengkapi dengan sistem kompleks yang berpusat pada otak manusia dan dikawal kelenjar pituitari bertujuan merangsang serta mengaktifkan hormon lain dalam tubuh badan.

Bayi baru lahir mempunyai sistem hormon sedang berkembang dan lengkap apabila mencapai kematangan. Hormon pertumbuhan atau growth hormone (GH) memastikan anak berkembang menjadi dewasa. Jumlah hormon mencukupi membuatkan tubuh badan segar dan sihat.

Bagi dewasa pula, hormon estrogen dan progestron penting untuk wanita manakala testeron buat lelaki, jelasnya.

Dr Rushmini berkata, sistem hormon banyak mempengaruhi rutin kehidupan. Justeru, antara hormon yang perlu dirangsang adalah adrenal kerana ia bertindak memberi tenaga dan perasaan baik kepada kita manakala, melatonin mengawal kitaran tidur serta bertindak sebagai hormon menghalang barah.

Hormon calcitonin pula menjaga paras kalsium dalam tubuh dan hormon dhea serta insulin sebagainya, mempunyai fungsi menukarkan gula kepada tenaga bahkan menjana tenaga.

Hormon seperti leptin pula penting bagi menjaga sel lemak menyebabkan seseorang akan menjadi obesiti jika ia gagal berfungsi. Sementara, endorphin dan serotonin ialah bahan menyerupai hormon dan kehadirannya menjadikan otak kita cergas selalu, katanya.

Penuaan menyebabkan salur darah halus membawa zat dan nutrisi kepada kelenjar hormon menjadi kecut serta akhirnya tersumbat. Ini membawa kepada kematian sel serta hormon tidak lagi dapat di hasilkan.

Ketiadaan hormon memberi kesan ketara kepada kulit dan menjadi kendur, ingatan kurang tajam, penglihatan semakin kabur malahan turut merasa tekanan emosi.

Ketiadaan hormon estrogen dan progesterone menyebabkan wanita memasuki fasa menopaus kerana tiada sel hormon berdikari membuatkan mereka sering kemurungan, masalah tulang rapuh, rambut gugur, kulit berkedut, jeragat, kulit badan gatal dan kekeringan vagina serta banyak lagi.

Begitu juga lelaki apabila usia melebihi 40-an mereka melalui tanda andropause di mana sering keletihan, kurang keupayaan seks, wajah murung dan perasaan menjadi tidak ceria. Ingatan juga terganggu dan mereka mula diserang masalah jantung pula, katanya lagi.

Dr Rushmini berkata, ada juga mereka yang diserang gejala kekurangan hormon secara berperingkat-peringkat seperti penurunan melatonin menjadikan kualiti tidur terganggu. Keadaan ini dianggap disebabkan masalah psikiatri.

Jelasnya, ada juga antara individu mengalami tekanan perasaan dan kemurungan lalu tampil mendapatkan bantuan dengan mengamalkan ubat sakit jiwa.

Kekurangan hormon calcitonin pula menjadikan tulang rapuh, ringan tidak padat serta mudah patah. Kalsium diminum tidak boleh masuk ke tulang jika tiada bantuan hormon ini, katanya.

Kelenjar hormon sensitif terdedah kepada pelbagai ancaman ejen perosak hormon yang wujud dalam makanan, kosmetik, botol plastik, pembungkus makanan, racun serangga dan lain-lain.

Katanya, kesan hormon rosak berlaku perlahan. Pada peringkat awal seseorang mula keletihan dan masalah berat badan pula menyusul.

Antara bahan berbahaya seperti nonylphenol terkandung dalam pencuci racun serangga dan bahan plastik. Phthalates pula dicampurkan di dalam PVC banyak digunakan untuk pembuatan permainan kanak kanak dan perabot. Malah, logam berat seperti plumbum juga membawa bahan perosak hormon meskipun ia bahan semula jadi dalam tumbuh tumbuhan, katanya.

Dr Rushmini berkata, rawatan pemulihan boleh dibuat menerusi terapi hormone bioidentical bagi merangsang darah menghasilkan hormon yang tinggi.

Rawatan ini membuatkan kilang terlalu aktif mula berehat. Tempoh ini sangat penting bagi proses baik pulih kelenjar hormon untuk membaik pulih kembali penghasilannya, sekali gus penyembuhan mula terjadi.

Proses penyembuhan menjadikan seseorang kelihatan lebih muda, kembali cergas, meningkatkan kualiti struktur kulit dan menjadikan tampak segar. Ingatan juga lebih kuat malahan penglihatan mata pulih. Jangkamasa rawatan adalah di antara tiga bulan sehingga beberapa tahun bergantung kepada tahap kemerosotan hormon, katanya.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
Sumber: BHarian [2013/01/31]

Estrogen pendinding kesihatan wanita


PENGGUNAAN krim atau losen pelindung matahari yang kerap digunakan wanita menjauhkan mereka daripada barah kulit.

MENJADI seorang wanita bukan mudah tetapi mereka sebenarnya mempunyai banyak kelebihan. Mengikut kajian penyelidik mengenai jangka hayat penduduk dunia mendapati golongan wanita mempunyai umur yang lebih panjang berbanding kaum lelaki.

Percaya atau tidak, dari 190 negara yang terdapat di dunia ini, hanya lima buah negara yang mencatatkan tempoh hayat lelaki melebihi wanita. Jangka hayat panjang kaum Hawa juga turut dikaitkan dengan kekuatan sistem tubuh wanita yang kebal daripada serangan penyakit.

Berikut merupakan kajian yang dilakukan membabitkan golongan wanita yang mempunyai kurang risiko menghidap beberapa jenis penyakit:

Penyakit Parkinson

Berdasarkan kajian dari Universiti Virginia, Amerika Syarikat (AS) mendapati golongan lelaki lebih cenderung menghidap penyakit Parkinson kerana penghasilan estrogen melindungi wanita daripada gangguan neuro degeneratif.

Dalam kajian yang sama juga mendapati, bagaimanapun jika seseorang wanita itu menghidap penyakit Parkinson gejalanya lebih besar kerana mereka akan mengalami keletihan yang kronik.

Kanser hati

Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS wanita kurang berisiko menghidap penyakit kanser hati. Statistik pada tahun 2010 menunjukkan kadar insiden yang melibatkan golongan lelaki adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada wanita.

Penyelidik dari Universiti Bologna, Itali telah membuat kajian terhadap 417 pesakit.

Barah kulit

Menurut Institusi Kebangsaan Kanser AS kira-kira 68,000 penduduk di negara itu disahkan menghidap penyakit melanoma (barah kulit yang berbahaya).

Daripada jumlah itu, hampir 39,000 atau 57 peratus ialah lelaki. Salah satu punca kurangnya pesakit dalam kalangan wanita adalah disebabkan golongan itu sentiasa mengambil langkah pencegahan melindungi kulit mereka.

Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 31,428 penduduk di negara itu mendapati hampir 11 peratus golongan wanita memberitahu mereka berteduh daripada sinaran matahari berbanding enam peratus lelaki.

Sementara itu, penyelidik dari Universiti perubatan Texas pula mendapati, kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit itu merupakan golongan yang berpendapatan tinggi kerana mereka sentiasa mendedahkan diri dengan cahaya matahari.

Penyakit esofagus

Menurut penyelidik dari Universiti Perubatan Texas wanita juga dilihat kurang menghidap penyakit esofagus iaitu kerosakan akibat asid dalam perut. Perkara itu disebabkan hormon seks wanita boleh melindungi wanita daripada menghidap penyakit itu.

Walau bagaimanapun, para pengkaji memberitahu kajian selanjutnya perlu dijalankan untuk mendapat keputusan yang sebenar.

Kanser kepala dan leher

Satu pertiga wanita dilihat berkemungkinan menghidap penyakit kanser kepala dan leher. Bagaimanapun, kajian yang dijalankan Institusi Kebangsaan Kanser AS mendapati, penyakit itu lebih cenderung menyerang perokok lelaki berbanding perokok wanita.

Penyelidik membuat kesimpulan ia disebabkan hormon estrogen dan progesteron yang tinggi dalam tubuh wanita menyebabkan mereka kurang berisiko menghidap penyakit itu.

Oleh SUHANA VERU
Sumber: Kosmo

2 comments:

Harith Iskandar berkata...

agaknya kalau yg dua alam tu mcm mn ya...salah teknikal ke...ehehe harap2 estrogen dorang stabil la balik :p

khairul hassan berkata...

salam ziarah dr Frankfurt hehe