Nuff Atas

19 Mac 2013

Pengundian Awal Suatu Evolusi Pilihan Raya Malaysia



Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang semakin hampir, rakyat Malaysia perlulah memahami bahawa banyak penambahbaikan terhadap proses pengundian telah diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Antara penambahbaikan itu ialah mengundi awal, penggunaan dakwat kekal, undi pos untuk pengundi menetap di luar negara dan pemerhati bebas dari dalam dan luar negara sepanjang proses PRU.

Proses mengundi awal, yang buat pertama kalinya diperkenalkan, pasti mendapat perhatian ramai pihak. Dengan cara ini warganegara Malaysia yang berkhidmat dengan pasukan keselamatan tidak perlu lagi mengundi menggunakan undi pos.

Walaupun baharu diperkenalkan di Malaysia, namun kaedah pengundian awal bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah dipraktikkan di negara seperti Australia, Kanada, Ireland, New Zealand, Thailand dan di beberapa negeri di Amerika Syarikat.


'Buku Panduan Proses Pengundian dan Mengira Undi Bagi Pengundian Awal' yang disediakan oleh SPR, terbitan Mei 2012 adalah satu rujukan lengkap bagi mana-mana pihak yang berminat untuk memahami perkara ini.

SIAPA YANG LAYAK

Perkara awal yang dijelaskan dalam buku ini ialah tentang kelayakan pengundi yang boleh mengundi awal.

Berdasarkan peruntukan peraturan 27A (1)(a)(b)(c)(d), Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012, terdapat empat golongan yang layak menjadi pengundi awal.

Mereka ialah anggota tentera, isteri atau suami anggota tentera, polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA), serta isteri atau suami kepada anggota polis atau PGA.

Bagi anggota tentara, polis atau PGA yang bertugas dalam operasi sama ada dalam atau luar negara, mereka diberi kebenaran untuk mengundi secara pos.

PUSAT MENGUNDI

SPR akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang telibat untuk membolehkan pengundi awal menjalankan tanggungjawab mereka dari dalam kem tentera bagi anggota tentera dan pasangan masing-masing.

Bagi anggota polis dan PGA serta pasangan masing-masing, pusat pengundian mereka adalah di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) atau Ibu Pejabat Daerah yang ditetapkan.

Jika jumlah pemilih di satu-satu tempat mengundi tidak ramai, SPR akan menggabungkan daftar pemilih tentera, polis dan PGA dan mereka akan mengundi di tempat yang sama bagi melancarkan proses pengundian.

SPR akan mewartakan dewan atau bilik khas yang akan digunakan sebagai pusat mengundi dan tempat mengundi, juga dikenali sebagai saluran.

Jumlah saluran di satu-satu tempat mengundi akan ditentukan mengikut keperluan Bahagian Pilihan Raya Negeri dan jumlah pemilih yang berdaftar dalam satu-satu bahagian pilihan raya.

PROSES PENGUNDIAN AWAL

Hari pengundian awal akan ditetapkan SPR berdasarkan Peraturan 3(1A) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya)(Pindaan) 2012 iaitu tidak kurang tujuh hari selepas Hari Penamaan Calon dan selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh hari mengundi biasa.

Pusat-pusat mengundi akan dibuka tepat pukul lapan pagi hingga pukul tujuh petang.

Bagi saluran yang jumlah pemilihnya tidak ramai iaitu 50 orang atau kurang, masa mengundi adalah dari pukul lapan pagi hingga pukul dua petang sahaja.

Cara mengundi adalah sama dengan pengundian biasa yang melibatkan kertas undi dan peti undi dengan susun atur lain dalam mana-mana pusat pengundian.

Selari dengan pengenalan penggunaan dakwat kekal dalam PRU 13, semua pengundi termasuk pengundi awal wajib untuk dicalitkan dengan dakwat kekal sesuai dengan Peraturan 19A Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012.

Jika mana-mana pengundi enggan membenarkan dirinya dicalit dengan dakwat kekal, kerani pengundian tidak akan mengeluarkan kertas undi dan namanya dicatat dalam borang Akuan Mengenai Keengganan Mengeluarkan Kertas Undi (Borang 10A).

Hanya jika pengundi tersebut datang semula ke tempat mengundi dan bersetuju untuk dicalit dengan dakwat kekal, kertas undi akan dikeluarkan kepadanya dan Borang 10A terhadap pengundi tersebut dibatalkan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika kunjungannya ke Bernama Januari lepas, dakwat yang digunakan ke atas pengundi awal akan kekal sekurang-kurangnya tiga hari selepas dicalit.

JAMINAN KESELAMATAN PETI UNDI

Setelah proses pengundian tamat, semua peti undi dimaterai dengan 'mouse tail' dan perekat keselamatan oleh KTM. Selepas semua proses dokumentasi selesai, KTM akan menandatangani perekat keselamatan dan kemudian oleh ejen tempat mengundi jika mereka mahu berbuat demikian.

Peti-peti undi akan diisi dalam beg khas dan dibawa ke tempat simpanan peti undi yang ditetapkan seperti lokap polis atau tempat lain yang ditetapkan oleh pegawai pengurus yang bertugas.

Demi memastikan keselamatan peti undi dan mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini, anggota polis akan mengiringi peti-peti undi di sepanjang perjalanan dari tempat mengundi ke tempat simpanan, di mana ia akan dikawal 24 jam sehari.

Ejen tempat mengundi juga dibenarkan untuk mengiringi perjalanan ini dengan menggunakan kenderaan sendiri.

Jika calon meminta untuk menempatkan petugas menunggu di tempat simpanan peti undi, mereka boleh berbuat demikian dengan mendapat kelulusan pegawai pengurus pilihan raya yang bertugas.

PENGIRAAN UNDI

Pengiraan undi awal tidak dijalankan di pusat mengundi atau saluran yang terlibat pada hari pengundian. Sebaliknya ia akan dikira secara berkelompok bermula pukul empat petang pada hari pengundian biasa.

Ejen Mengira Undi (EMU) dibenar untuk menyaksikan proses pengiraan undi, dan mereka dikehendaki mengemukakan dokumen-dokumen perlu kepada KTM iaitu dokumen pengenalan diri, surat perlantikan sebagai EMU dan Borang Sumpah Kerahsiaan (Borang A) yang lengkap.

Selesai proses pengiraan undi, EMU berhak mendapat satu salinan Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) daripada KTM.

Ketika proses pengiraan undi berjalan, EMU tidak dibenarkan mengganggu proses pengiraan undi.

Jika berlaku kes di mana EMU tidak berpuas hati, beliau boleh membuat bantahan bertulis kepada KTM yang mempunyai kuasa muktamad untuk menyelesaikan isu yang dibantah.

Jika masih tidak berpuas hati, EMU boleh memfail kes petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan.

PERLAKSANAAN LANCAR

Sungguhpun konsep pengundian awal adalah sesuatu yang baharu di Malaysia, Rakyat tidak perlu risau kerana SPR sudah membuat persiapan rapi.

Prosedur pilihan raya awal yang tidak jauh berbeza dengan pengundian biasa juga membolehkan ia dijalankan dengan lancar, bahkan mungkin lebih baik daripada proses pengundian biasa.

Parti-parti politik juga tidak perlu risau akan kemungkinan berlaku penipuan di sepanjang proses kerana setiap pihak diberi kebenaran untuk memantau perjalanannya dari awal hingga akhir.

Inilah bukti komitmen SPR ke arah perlaksanaan proses pilihan raya yang lebih maju, terbuka dan cekap.

Oleh Ali Imran Mohd Nordin
Sumber: BERNAMA

Berikut ini dikongsikan untuk anda persiapan Undi Pos Di London.

Terdapat lebih 70,000 warga Malaysia kini berada di United Kingdom (UK). Sebahagian daripada mereka adalah penuntut di kolej atau universiti dan sebahagian besar lagi adalah pekerja. Ramai juga yang datang merantau bersama keluarga dan ada dalam kalangan mereka ini yang menetap di UK sejak lebih sedekad yang lepas.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, ditetapkan agar rakyat Malaysia di perantauan buat julung kali dibenarkan mengundi sebagai pengundi pos, warga Malaysia di Britain.

"Setakat 24 Mac, 2013, seramai 839 warga Malaysia berdaftar sebagai pengundi pos di UK, satu persiapan awal untuk menghadapi PRU13," jelas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain Datuk Seri Zakaria Sulong kepada Bernama ketika ditemui di London baru-baru ini.

Dan angka ini adalah jumlah terbesar untuk satu-satu pusat pengundian yang terletak di luar negara.

CARA MENGUNDI POS

Inilah kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara, rakyat Malaysia dibenarkan mengundi dari negara yang mereka bermastautin. Sebelum ini, peluang sebegini hanya bagi penjawat awam yang bertugas di luar negara dan bukan bagi warganegara biasa yang menuntut mahupun bekerja.

"Pengundi yang berdaftar perlu datang ke pejabat Suruhanjaya Tinggi untuk mengesahkan identiti mereka sama ada dengan kad pengenalan ataupun pasport masing-masing untuk diserahkan kertas undi, pada tarikh mengundi yang ditetapkan untuk mereka di UK nanti," jelas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain Datuk Seri Zakaria Sulong.

Menurut Zakaria, pengundi-pengundi pos yang akan mengundi buat kali pertama dari UK akan menerima kertas undi mengikut kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Kemudahan undi pos ini akan dapat mengelakkan perbelanjaan tambang kapal terbang untuk pulang selain terpaksa bercuti panjang semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di PRU13 dan yang seterusnya.

Jari pengundi pos di luar negara tidak akan dicalit dengan dakwat kekal menurut Zakaria kerana jumlah pengundi terhad selain satu sahaja pusat mengundi di London, iaitu pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

APA KATA RAKYAT MALAYSIA DI PERANTAUAN

Seorang warga Malaysia, Wan Nur Suryani Firuz Wan Ariffin yang ditemui di kampus Kings College di The Strand, London, menunjukkan proses pendaftaran sebagai pengundi pos sangat mudah.

"Saya masuk ke laman SPR sepertimana yang dimaklumkan dan hantar permohonan, kemudian penerimaan permohonan dimaklumkan dalam masa tidak sampai lima minit," jelas Wan yang telah enam bulan mengikuti kursus Phd dalam bidang kejuruteraan telekomunikasi di kolej berprestij dengan 25,000 orang penuntut.

"Saya bersetuju warga Malaysia di luar negara perlu diberi kesempatan untuk mengundi secara pos. Ini satu langkah bijak yang diambil oleh kerajaan Malaysia. Sebaik sahaja saya mendengar tentang pengumuman kerajaan berkaitan dengan peluang mengundi secara pos dari luar negara, saya menunggu saat laman web diaktifkan dengan penuh rasa teruja," kata Devina yang terus bekerja di Britain selepas menamatkan penggajiannya

CARA KERJA PUSAT UNDI POS

Sementara pegawai pengurus pilihan raya menguruskan pusat mengundi di tanah air, pusat mengundi di pejabat Suruhanjaya Tinggi akan diuruskan oleh seorang pegawai pengundian dan pembantunya yang dilantik pihak SPR.

Selain itu ejen-ejen calon yang bertanding turut diberi ruang untuk memerhatikan proses pengundian sepertimana di tanah air.

Seorang kerani akan ditugaskan untuk menyemak senarai nama pengundi pos yang berdaftar di pusat pengundian di London untuk diserahkan kertas-kertas undian kepada pengundi.

Setelah menerima kertas undi, pengundi boleh terus ke petak undi untuk mengundi dan selepas itu memasukkannya ke karung undi.

Setelah tamat masa mengundi, karung undi akan dibawa oleh pegawai yang dilantik SPR balik ke Malaysia menggunakan penerbangan terus secepat mungkin.

"Dari lapangan terbang Heathrow di London, ada dua penerbangan balik ke Malaysia setiap hari, jadi penghantaran balik karung kertas undi dapat dijalankan segera," jelas Zakaria.

Apabila sampai di tanahair, kertas-kertas undi akan dihantar ke kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

Oleh Haslinda Hamzah
Sumber: BERNAMA [10/04/2013]

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Moga pengiraan undi dijalankan dengan telus. :)