Nuff Atas

04 Mac 2013

Treasure Hunt Cambah Minat Seni Budaya Bangsa

Belajar sambil bermain dengan kaedah permainan 'treasure hunt' didapati amat berkesan untuk mengajak seseorang belajar. Demikian juga di sekolah aktiviti pembelajaran sebegini dapat menarik ramai penyertaan. Sesukar manapun soalan pasti para peserta akan berusaha untuk mencari jawapannya ....



Kalau ditanya kepada anda akan siapakah penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara yang pertama ataupun Keris Hulu Semenanjung berasal dari mana, mampukah jawapan diberi secara spontan?

Mungkin ada, tetapi masih ramai akan terkial-kial dan terpinga-pinga termasuklah tangan tangkas menekan punat telefon pintar yang dilengkapi dengan kemudahan Internet untuk menerokai jawapannya.

Namun, berapa ramaikah antara kita yang dengan 'rela hati' mencambah mahupun memperluaskan lapangan informasi berkaitan khazanah seni budaya negara menerusi penjejakan kaki ke persada perpustakaan ataupun muzium?

Jarang bukan? Selalunya, penerokaan alam perpustakaan atau muzium hanya akan dilakukan bagi tujuan kajian ilmiah yakni menyiapkan tugasan diberi pensyarah atau guru.


Biarpun begitu, medium atau pendekatan yang diambil oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (BENITA) menerusi permainan "All Ladies Treasure Hunt 2013" dilihat sebagai alternatif berkesan dalam mengenali seni budaya negara yang agung ini.

Bukankah ia sesuatu yang menarik?

ALL LADIES TREASURE HUNT

Acara kembara mencari harta karun dari Kuala Lumpur ke Melaka khusus untuk wanita, yang bertemakan "Mengenali Seni dan Budaya Bangsa" ini adalah kali kedua diadakan oleh BENITA.

Pertandingan ini berkonsepkan menguji kepintaran yang melibatkan 200 peserta bermula dari Wisma Bernama di Jalan Tun Razak dan berakhir di Melaka Bandaraya Bersejarah pada 2 Feb 2013 lepas.

Meliputi jarak perjalanan sejauh lebih 200km, para peserta dikehendaki menjawab 40 soalan berdasarkan kepada panduan penanda arah (tulip).

Sepanjang perjalanan itu, mereka perlu menjelajah pelbagai tempat, bandar, luar bandar serta menjejaki Muzium Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Muzium Samudera dan Istana Kesultanan Melaka bagi mencari jawapan.

Konsep penerokaan jawapan dalam pertandingan mencari harta karun ini sehingga membawa peserta ke muzium berkaitan, sekali gus dilihat sebagai platform terbaik untuk menghargai khazanah seni budaya negara.

Malah, ini turut diakui sendiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, yang memperlihatkan acara ini sebagai medium yang boleh digunakan dalam memperkenalkan seni dan budaya di Malaysia.

SENAM SENI 1MALAYSIA

Menariknya penganjuran acara kembara ini ialah pemupukan amalan mencintai seni warisan budaya bangsa bermula sebelum pelepasan peserta lagi, iaitu menerusi pendekatan Senam Seni 1Malaysia.

Dikelolakan sendiri oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), peserta lengkap berkemeja-t berwarna merah jambu yang sejak awal pagi membanjiri perkarangan wisma Bernama kian teruja sebaik sahaja irama muzik mula dipasang.

Gelak ketawa mula kedengaran sambil mata tidak berkelip melihat pergerakan jurulatih JKKN untuk turut menyertai pelbagai langkah mengikut rentak lagu yang diperdendangkan selama 30 minit.

Bersesuaian dengan namanya "Senam Seni 1Malaysia" ia adalah senaman yang merangkumi semua tarian tradisi masyarakat berbilang kaum negara ini seperti etnik Sabah dan Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

Ia berperanan sebagai serampang dua mata iaitu tidak sekadar melahirkan masyarakat sihat, mengeratkan ikatan perpaduan antara pelbagai bangsa malah senaman ini sebagai medium terbaik mempelajari khazanah tarian warisan budaya negara.

Keunikan aktiviti regangan badan ini berbanding kepada kebiasaannya yang lebih menjurus senaman aerobik, adalah selaras dengan matlamat Benita untuk membawa kelainan bagi aktiviti riadah berpasukan popular ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Rohana Mustaffa.

"BENITA ialah sebuah persatuan kecil tetapi mempunyai hasrat besar mahu membuka ruang melalui acara kembara ini untuk mengeratkan hubungan, kerjasama dan interaksi kaum wanita dari kalangan anggota BENITA, Puspanita KPKK, wartawan dan orang ramai.

"Kami mahu membuka penyertaan eksklusif untuk kaum wanita sahaja, dan ternyata idea ini mendapat sambutan ramai, baik dari kalangan peserta mahupun para penaja," kata Rohana yang juga Setiausaha BENITA.

SEKADAR ROMBONGAN SEKOLAH

Tidak pernah menyangka Melaka kaya dengan pelbagai jenis muzium menarik untuk dilawati, itu pandangan peserta kategori terbuka Zulihanis Ismail, 30, tatkala diajukan mengenai acara kembara ini.

Biarpun hanya menjejaki Muzium Samudera dan Istana Kesultanan Melaka semasa acara kembara mencari harta karun itu, namun terbit minat untuk membawa seisi keluarga mengunjungi muzium-muzium di negeri Hang Tuah itu sekiranya bercuti ke sana.

Terdapat lebih 20 muzium dan galeri bersejarah di negeri ini, antaranya Muzium Al-Quran, Muzium Islam Melaka, Muzium Chetti dan Muzium Sejarah dan Etnografi.

"Selalunya kalau bercuti ke Melaka, apa yang ada dalam minda saya ialah makanan lautnya, Jonker Street, Melaka River Cruise, Coconut Shake dan tidak ada langsung perancangan hendak pergi ke tempat bersejarah.

"Seingat saya kalau ada pun semasa rombongan sekolah, melawat muzium. Jadi, dengan adanya permainan seperti treasure hunt ini, secara tidak langsung dapat menarik minat mengetahui seni budaya negara," katanya.

MALAM KEBUDAYAAN

Pertama kali menyertai pertandingan menguji kepintaran ini, Zulihanis berkata pendekatan mengenali budaya ini tidak sekadar tertumpu kepada pertandingan minda.

Malah, acara Malam Kebudayaan juga adalah kaedah terbaik dalam mengenali seni tarian Melaka yang ada antaranya masih janggal didengar dan ditonton oleh masyarakat Malaysia sendiri.

Kata Zulihanis, tarian seperti Cak Kun Cak yang dipersembahkan oleh murid Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Sekolah Kebangsaan Lereh, Melaka bukan sahaja menarik perhatian malah memberi peluang kepadanya untuk mengenali persembahan tarian itu.

Selain Cak Kun Cak, kumpulan kesenian ini yang juga Johan Pertandingan Tarian Peringkat Negeri Melaka 2011 turut mempersembahkan pelbagai tarian lain seperti gole-gole dan sapu tangan.

Kemeriahan suasana Malam Kebudayaan tidak bersandarkan sepenuhnya penglibatan atau aktiviti tarian persembahan, malah peserta juga tidak ketinggalan untuk menggayakan pelbagai pakaian tradisional masyarakat Malaysia.

Kemuafakatan, perkongsian budaya antara pelbagai kaum jelas menghangatkan Malam Kebudayaan ini apabila tiadanya jurang persempadanan dalam menggayakan pakaian tradisional.

Tanpa mengira bangsa, atas semangat 1Malaysia ada peserta memilih untuk tampil anggun dengan busana tradisi kaum kadazan, masyarakat Cina (cheongsam), bangsa India (sari) dan pelbagai lagi.

CABAR MINDA

Permainan mencari harta karun ini tidaklah terbatas ke arah pengemudian mahupun pemupukan sahsiah peserta dalam menghargai khazanah seni budaya negara, malah ia berkesan mengocak atau mencabar minda mereka.

Ini kerana, soalan tidak hanya merungkai kepada kepentingan pengetahuan bahkan kreativiti, penguasaan perbendaharaan bahasa, memahami teknik permainan dan pengurusan masa juga harus dititikberatkan.

Bagi Siti Fatimah Abdullah, 29, penyertaannya yang sekadar suka-suka dalam pertandingan kepintaran ini telah mencambah minatnya untuk menyertainya lagi ekoran ia memberi peluang atau mengasah keberanian dalam menyuarakan pendapat.

"Pertandingan sebegini memerlukan kerjasama antara semua anggota. Jadi, dari tidak rapat pengenalan, akhirnya boleh mengeratkan lagi hubungan antara rakan.

"Paling menarik, setiap orang berpeluang untuk menyuarakan pendapat bagi menjawab sesuatu soalan, mencabar logikal pemikiran kita. Kalau tidak ada kerjasama, sudah tentu permainan ini tidak menarik," katanya.

Beliau yang bekerja di Kolej Unikop, Batu Caves berkata pertandingan mencari harta karun ini juga menggalakkan aliran pemikiran pantas kerana perlu menjawab kesemua 40 soalan dalam masa ditentukan.

Acara kembara mencari harta karun BENITA ini bukanlah sekadar satu permainan tetapi adalah satu lagi cara untuk mempelajari seni, budaya dan warisan negara.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA [26/02/2013]

1 comments:

myfreeminded berkata...

Teringat masa ngajar kat sekolah dulu, suka buat treasure hunt untuk tarik minat budak untuk belajar.