23 Mac 2013

Universiti Politeknik Mulai 2015



Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yakin Universiti Politeknik mampu diwujudkan di negara ini menjelang 2015 berikutan langkah pemerkasaan Politeknik di seluruh negara melalui Program Transformasi Politeknik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata antara langkah awal bagi merealisasikan usaha itu adalah mewujudkan enam program baru di peringkat Ijazah Sarjana Muda, yang dilaksanakan dalam fasa kedua program bermula tahun ini.

“Enam program Ijazah Sarjana Muda itu adalah sebagai permulaan dan lebih banyak program akan diwujudkan menjelang 2015 sebagai langkah pemerkasaan supaya kita boleh mewujudkan universiti dalam institusi Politeknik.


“Usaha mewujudkan universiti dalam Politeknik adalah lebih baik berbanding universiti di luar lingkungan Politeknik kerana ia akan menjadi landasan kepada lepasan Politeknik sedia ada menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya selepas merasmikan pelancaran Program Transformasi Politeknik Fasa Kedua dan LUNAK 18th FIRA Roboworld Cup & Congress KL 2013.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama Kerajaan (Politeknik Malaysia) dengan tiga institut pengajian tinggi swasta (IPTS) iaitu UCSI University, Kolej Sunway Kuching dan EC-Council Academy membabitkan pembangunan program akademik, pertukaran tenaga pengajar, penyelidikan dan pembangunan serta artikulasi program pengajian.

Mohamed Khaled berkata, melalui penubuhan Universiti Politeknik, pelajar lepasan Politeknik sedia ada akan mempunyai laluan lebih mudah bagi menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Katanya, sebelum ini lepasan diploma Politeknik terpaksa bersaing dengan lepasan diploma institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain lepasan matrikulasi untuk menyambung pengajian peringkat ijazah.



Tiga Politeknik Premier

Dalam pada itu, beliau berkata, enam program ijazah berkenaan akan dilaksanakan di tiga Politeknik Premier iaitu Politeknik Sultan Ibrahim, Johor; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor dan Politeknik Ungku Omar di Ipoh.

Katanya, dua membabitkan program kerjasama ijazah berkembar dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), manakala empat lagi membabitkan program secara ‘home grown’.

Kursus ditawarkan adalah program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Teknologi Pembuatan, Teknologi Rekabentuk Kejuruteraan, Rekabentuk Teknologi Automotif, Kejuruteraan Elektronik Pembuatan, Animasi Digital dan Pengurusan Pelancongan Antarabangsa.

Oleh Shaarani Ismail
Sumber: BHarian [2013/03/20]

2 comments:

Faridzuan berkata...

Wah, saya suka dan tertarik dengan Pengurusan Pelancongan Antarabangsa! Alhamdulillah, inisiatif kerajaan ini mampu memberi semangat kepada para pelajar meneruskan pelajaran. :)

Unknown berkata...

mmg sesuai sgt nak upgrade 3 politeknik premier tu...