23 Mac 2013

Penggunaan Dakwat Kekal Dalam Pilihan Raya



Masih Ada Pemilih Keliru Penggunaan Dakwat Kekal

Dalam bahang pilihan raya umum ke-13, yang akan diadakan bila-bila masa sahaja, masih ramai rakyat Malaysia keliru dengan maksud penggunaan dakwat kekal yang akan digunakan buat pertama kali.

Pemilih berdaftar umumnya menyangka dakwat kekal adalah suatu alat yang akan digunakan bagi menanda kertas undi pada hari pengundian nanti.

Antaranya seorang penjawat awam, Khairunila Khalid, 50, berkata beliau berpendapat penggunaan dakwat kekal itu merujuk dakwat pen yang akan digunakan untuk menanda kertas undi berbanding pensil yang digunakan sebelum ini.


Berkongsi pandangan sama, seorang eksekutif perhubungan pelanggan, Noor Ain Isaak, 26, yang akan mengundi buat pertama kali: "Saya ingat dakwat kekal ini digunakan untuk menanda kertas undi supaya undi itu tidak boleh diubah."

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof penggunaan dakwat kekal merujuk calitan di atas jari telunjuk tangan kiri pengundi, yang tanpa calitan dakwat berkenaan kertas undi tidak dikeluarkan kepadanya.

Beliau menegaskan pengunaan dakwat kekal adalah satu langkah mengelakkan pengundian berulang seperti yang didakwa sesetengah pihak, bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan proses pengundian.

"Sebelum ini terdapat tohmahan terhadap SPR mendakwa ada pengundi Malaysia mengundi lebih daripada sekali walaupun selama ini tidak pernah dibuktikan.

"Bagaimanapun, SPR ambil tindakan atas syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya) untuk gunakan dakwat kekal ini dicalit pada jari pengundi sebelum kertas undi dikeluarkan," katanya.

Penggunaan dakwat kekal pada PRU-13 selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 yang diwartakan Februari 2012 lepas.

Abdul Aziz menegaskan setiap pengundi berdaftar yang mahu mengundi mesti dicalit dakwat kekal sebelum kertas undi diberikan kepada mereka termasuk pengundi awal tetapi tidak melibatkan pengundi pos.

"Kalau tiada jari telunjuk, ada cara lain. Yang penting ada tanda dakwat kekal. Bila dah calit barulah namanya diteriak dan kertas undi diberikan. Kalau kata tak mahu calit, beri macam-macam hujah pun kita tak akan beri kertas undi," katanya.

Mengulas perkara itu, beliau berkata seseorang pengundi yang masuk ke pusat mengundi mestilah menunjukkan jari-jari tangan yang bersih kepada kerani pengundian bertugas terlebih dahulu sebelum menyerahkan kad pengenalan, dan namanya disebut untuk membolehkan kertas undi dikeluarkan.

"Inilah kali pertama penggunaan dakwat kekal. Kita harap tiada masalah. Kita dah buat latihan dan ia tak makan masa lama kerana dakwat kekal ini cepat kering," katanya. Menurut poster SPR, tatacara mencalit dakwat kekal adalah seperti berikut:

* Dakwat kekal dicalitkan pada jari telunjuk kiri pengundi, atau
* Mana-mana jari kiri jika tiada jari telunjuk kiri
* Jari telunjuk kanan jika tiada mana-mana jari kiri
* Mana-mana jari kanan jika tiada jari telunjuk kanan, atau
* Dicalit pada hujung lengan kiri jika tiada mana-mana jari.



Memandangkan terdapat dua jenis pengundi iaitu pengundi awal dan pengundi biasa, Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan dua jenis dakwat yang berbeza daripada aspek ketahanannya.

"Bagi pengundi awal, dakwat akan tahan lebih lama. Kita tak mahu tuduhan kata orang yang sama ini akan mengundi lagi sebagai pengundi biasa. Untuk undi biasa, kita ada dakwat kekal berlainan warna.

"Dakwat kekal ini tidak boleh ditiru. SPR akan edarkan ke pusat-pusat pengundian sekali dengan peralatannya seperti berus dan pelapik jari berserta kertas undi dan kotak kertas undi pada petang hari sebelum mengundi," jelasnya.

Abdul Aziz berkata penggunaan dakwat itu bukan sahaja mendapat kelulusan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tidak menjejaskan kesihatan atau mempunyai kesan sampingan, malah turut mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 11 Jan 2012 memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum adalah harus dan dibenarkan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat itu tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Dr Abd Shukor Hussin, berkata dakwat itu yang mengandungi bahan ‘silver nitrate’ tidak mengandungi najis, tidak memudaratkan kesihatan dan tidak menghalang air sampai ke kulit selepas dicalit pada anggota. Majlis membuat keputusan itu pada 8 Ogos 2007.

“Keputusan (fatwa) tetap sama seperti diputuskan sebelum ini. Ini dibuat selepas mendengar penjelasan Jabatan Kimia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dakwat kekal diuji itu dibenarkan syarak kerana tidak menimbulkan masalah kepada umat Islam untuk melaksanakan ibadat,” katanya. [BHarian]

Penggunaan dakwat kekal pernah dicadang untuk digunakan pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008 tetapi dibatalkan atas nasihat perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.

Oleh: Noor Farhana Ahmad Norain
Sumber: BERNAMA

SPR Tegaskan Dakwat Kekal Tahan Tujuh Hari


DAKWAT kekal yang dicalit pada jari sebelum pengundi diberikan kertas undi boleh bertahan selama tujuh hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan dakwat kekal boleh bertahan selama tujuh hari dan bukan tiga hari seperti yang didakwa.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, pihaknya sudah melakukan ujian terhadap dakwat itu dan terbukti ia mampu bertahan dalam tempoh tujuh hari.

“SPR sangat serius dalam pemilihan dakwat yang akan digunakan bagi memastikan ia menepati matlamat ke arah menjamin pilihan raya yang bersih dan lancar.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya menyimpan dakwat kekal di dalam bilik kebal dan merahsiakan warnanya bagi mengelak ia disalahgunakan.

Oleh JUNHAIRI ALYASA
Sumber: Kosmo [13/04/2013]

0 comments: