19 April 2013

Ciri Pemimpin Adil Dan Berwibawa


Miliki sikap belas kasihan, penyayang dan prihatin kebajikan rakyat bukti ketinggian iman

Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan menjadi kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda.

Memilih dan melantik pemimpin bagi menguruskan hal ehwal umat Islam hukumnya wajib. Keperluan ini berdasarkan apa yang dijelaskan ayat al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

Maksud jawatan pemimpin bukan dalam aspek pentadbiran negara semata-mata, tetapi juga membabitkan kelompok kecil. Kehidupan kita tidak terlepas berkaitan aspek kepimpinan dalam kehidupan seharian.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sekiranya kamu keluar dalam perjalanan seramai tiga orang, maka hendaklah kamu lantik salah seorang di antara kamu sebagai ketua.” (Hadis riwayat Abu Daud)


Ini membuktikan ada tugas dan peranan penting perlu dilakukan setiap individu bergelar pemimpin. Secara umum pemimpin bertanggungjawab untuk menjaga keperluan, keselamatan dan hak orang yang dipimpin. Pemimpin melaksanakan tanggungjawab yang besar dan hanya mereka yang berkebolehan layak untuk dilantik menjadi pemimpin.

Kewajipan lantik pemimpin

Ibnu Taimiyyah berkata: “Wajib diketahui bahawa melantik pemimpin bagi urusan masyarakat adalah kewajipan agama yang besar. Urusan keduniaan mereka tidak dapat ditegakkan tanpa ada pemerintahan (pemimpin). Keperluan bani Adam tidak dapat dicapai melainkan dengan berhimpunnya mereka (masyarakat) di bawah seorang pemimpin, yang mana di antara mereka saling memerlukan di antara satu dengan yang lain.

Justeru, sesiapa berhasrat menjadi pemimpin mesti menerima hakikat terpaksa berdepan tugas yang berat. Jika dirasakan tidak mampu, elok jawatan itu diserahkan kepada orang lain yang lebih layak. Tindakan itu dapat mengelak daripada berlaku 'kezaliman' terhadap orang yang dipimpin yang mengharapkan sumbangan terbaik daripada pemimpin.

Sesiapa menjadi pemimpin akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya mengenai kepimpinannya." (Hadis riwayat Muslim).

Rela berkorban

Pemimpin mesti rela berkorban demi melaksanakan tugas. Jawatan yang disandang bukan untuk kesenangan sendiri. Pemimpin tawaduk lebih takut kepada pembalasan Allah jika gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, wahai Tuhan yang memberikan kerajaan. Engkau memberi kerajaan (kekuasaan) kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau gugurkan (jatuhkan) kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki.” (Surah Ali Imran, ayat 26)

Pemimpin mesti berusaha menunaikan janji yang dibuat dengan bersungguh-sungguh. Jika ada janji yang tidak mampu ditunai, perlulah dijelaskan. Perbuatan sengaja berjanji sedangkan tidak mampu untuk dilaksanakan perlu dielak. Setiap pemimpin hanya boleh berjanji jika yakin dapat menunaikannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tanda-tanda seorang munafik itu adalah tiga perkara ialah apabila berjanji tidak ditunaikan, apabila bercakap dia berdusta dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak khianat

Pemimpin yang baik tidak mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya. Dosa amat besar bagi pemimpin yang menipu orang yang dipimpinnya dengan janji-janji kosong. Pemimpin yang gagal melaksanakan tugas dengan baik termasuk dalam kategori pecah amanah.

Sikap pemimpin yang hanya tahu berjanji tetapi tidak berusaha menunaikannya bakal menerima pembalasan seksa di akhirat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tiadalah seorang hamba Allah SWT yang diberi tugas pemimpin untuk memimpin rakyat kemudian dia mati di hari kematiannya dalam keadaan dia menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkannya dari memasuki syurga" (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Adil Berwibawa

Menurut pengkaji sains politik, kepemimpinan yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dengan demikian, sebahagian besar tanggungjawab pemimpin untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat.

Pemimpin juga mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat terutama rakyat di luar bandar sebahagian besarnya terdiri daripada petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah yang mengharapkan pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka.

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti dicontohi Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubat, ayat 128)

Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Nabi Muhammad SAW adalah contoh pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia.

Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin.

Ciri pemimpin wibawa

Terdapat beberapa ciri pemimpin berwibawa antaranya, seorang yang berupaya menjaga agama Islam dan mampu menegakkan syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jugalah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj, ayat 41)

Kedua, seseorang yang mempunyai al-Quwwah iaitu kekuatan sama ada dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental. Al-Quran telah menjelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib memintanya memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah.

Inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut.

Ketiga, seseorang yang memiliki sifat takwa, kerana ciri inilah yang menjamin pemimpin berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Keempat, pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada di bawah pimpinannya.

Adil bukan sekadar kata-kata retorik, tetapi dibuktikan dengan perbuatan dan amalan. Sifat ini mesti dimiliki pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepemimpinannya dihormati, disegani dan disayangi.

Kelima, pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sabda Rasulullah SAW: “ Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Keenam, pemimpin hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak bersalah, sekalipun membabitkan ahli keluarga, kawan atau lawan.

Ketujuh, pemimpin hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya, menjadi teladan baik dalam semua tindak tanduknya dan bebas daripada kerosakan moral.

Kelapan, pemimpin hendaklah menunaikan janji kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai, bukannya berdusta, berjanji palsu dan menghampakan orang bawahannya.

Adakah pemimpin yang bakal kita pilih memiliki ciri-ciri dinyatakan atau sebaliknya? Sedarlah, jika salah percaturan tergadailah agama dan negara dan kita yang bertanggungjawab.

Diharamkan syurga jika menipu rakyat

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah menyeru umat Islam: “Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku.”

Sumber:
Artikel1: Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM): [BHarian]
Artikel2: Oleh Lokman Ismail [BHarian]

Pemilihan pemimpin

Pemilihan pimpinan adalah perkara penting bagi umat Islam kerana mereka akan membawa hala tuju orang yang dipimpin. Kepimpinan satu tanggungjawab sangat berat, bukan suatu benda yang harus direbut.
Nabi SAW bersabda: “Demi Allah sesungguhnya kami tidak akan memberikan tugas kepimpinan kepada orang yang memintanya dan orang yang tamak dengannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kemajuan teknologi menjadikan sumber maklumat lebih luas dan jaringan media yang tersebar memberi rakyat pilihan. Sebagai orang Islam, pilihan perlulah berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-sunnah, serta buat pilihan secara adil.

Seseorang yang dipilih untuk menjadi imam solat pun hendaklah disukai makmumnya supaya solat yang dipimpin imam itu diterima, maka lebih-lebih lagi dalam konteks pemerintahan negara, pemimpin dipilih perlulah yang disukai dan disenangi rakyatnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu dan kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.” (Riwayat Muslim).

Adalah menjadi suatu pengkhianatan terhadap Allah, Rasulullah SAW dan rakan seagama yang lain jika pemimpin yang dipilih tidak diredai Allah dan Rasul-Nya. Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik seorang lelaki untuk mengurus dan memerintah satu kaum sedangkan ada yang Allah lebih reda daripada lelaki itu, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang beriman.” (Riwayat Hakim).

Pemimpin yang dipilih perlu seorang yang bertakwa kepada Allah SWT dan amanah terhadap kepimpinannya. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu akan menakluk di timur dan di barat bumi. Semua pemimpin-pemimpinnya berada dalam neraka kecuali dia bertakwa kepada Allah dan yang memegang amanah.” (Riwayat Ahmad).

Sifat amanah selalunya berjalan seiring dengan sikap mengotakan janji dan bercakap benar. Seorang pemimpin yang khianat terhadap amanah diberikan, tidak mengotakan janji dan berbohong adalah tergolong dalam golongan munafik.

Oleh Musa Awang
Sumber: BHarian

3 comments:

MyFreeMinded berkata...

Bukan senang hendak memilih pemimpin, aduhh.. tak pilih pun salah ke kalau yang bertanding sememangnya kita dah tahu macam mana dia tu.

Mizz Aiza berkata...

pemimpin yang baik mempunyai ciri2 kepimpinan Rasulullah saw.. zaman sekarang susah nak dapat yang macam tu..

Mia Liana berkata...

bukan senang... huhuh pening juga nak pilih pemimpin ni..