Nuff Atas

18 April 2013

Pendidikan Keselamatan Kebakaran


Usah Ambil Mudah, Didik Dari Kecil Berhubung Keselamatan Kebakaran

Sikap sambil lewa, ambil mudah dan 'tidak apa' terutama bila membabitkan keselamatan kebakaran sebenarnya boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga dan jiran.

Setiap tahun ada sahaja mangsa yang dilaporkan menjadi korban dalam kebakaran. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan 98 orang maut dan 152 orang cedera dalam 29,874 kes kebakaran di seluruh negara tahun 2012 lepas.

Ia melibatkan kerugian harta benda sebanyak RM11 bilion manakala yang berjaya diselamatkan berjumlah RM20 billion.

Tahap kesedaran masyarakat tentang bahaya dan pencegahan kebakaran yang rendah menyebabkan kes-kes kebakaran yang sepatutnya boleh dielakkan masih juga berlaku.


KESEDARAN BERHUBUNG KEBAKARAN

Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak tentang bahaya kebakaran dan cara mencegahnya. Namun berapa ramai dalam kalangan kita mempunyai kesedaran itu.

Mengambil contoh mudah, berapa ramai yang mempunyai alat pemadam api di rumah?, berapa kali kita membuat pemeriksaan berkala di saluran gas memasak? dan adakah rumah bernilai puluhan ribu atau jutaan ringgit yang dimiliki dilengkapi dengan pengesan asap yang boleh memberi amaran awal kebakaran?

Perkara-perkara itu sering diambil mudah hingga akhirnya memberi kesan berpanjangan apabila nyawa dan harta benda hilang dalam sekelip mata sahaja.

Menurut teori 'standard temperature curve', masa yang sesuai memadamkan sesutu kebakaran adalah antara satu hingga empat minit. Namun jangka masa kritikal itu amat sukar untuk bomba sampai ke tempat kejadian.

Oleh itu setiap penghuni rumah perlu merangka tindakan awal bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda di samping sentiasa ada budaya yang tinggi tentang keselamatan kebakaran, menurut Penolong Pengarah Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kuala Lumpur, Wan Mohamad Zaidi Wan Isa.

Pendidikan keselamatan kebakaran harus diajar dan dilatih pada peringkat kanak-kanak lagi agar mereka memahami bahaya kebakaran.

Sehubungan itu, JBPM menubuhkan Kelab Keselamatan Kanak-Kanak (3K) di peringkat pra-sekolah agar kanak-kanak ini lebih prihatin dan membesar dengan penyemaian budaya keselamatan kebakaran yang tinggi.

"Semuanya berbalik kepada sikap. Kita masih mengamalkan sikap, benda yang buruk tidak berlaku kepada kita dan keluarga. Sebab itu apabila berlaku kecemasan seperti kebakaran, kita panik dan tidak tahu apa nak buat.

Wan Mohamad berkata, kematian akibat kebakaran di rumah biasanya berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi kerana lambat menyedari tentang sesuatu kebakaran.

Karbon monoksida iaitu gas yang terhasil dalam sesuatu kebakaran akan membuatkan mangsa tidak sedarkan diri sekiranya tiada amaran awal seperi alat pengesan asap untuk mengejutkan dari tidur.

KENALI BAHAYA

Menurut Perunding Keselamatan dan Pertahanan Diri, Akademi KickStart & The Green Hornet, Master Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, menjadi tanggungjawab setiap penghuni di dalam sesebuah rumah terutama ibu bapa memastikan keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku terutama kebakaran.

Ketika di rumah, banyak perbuatan sering diambil mudah yang membawa kepada tindak balas kimia terhadap elemen haba, oksigen dan bahan hingga berlakunya kebakaran.

Contohnya, bekas abu rokok yang dibiarkan penuh pada bekas abu rokok hingga habuk panas terjatuh. Bukan itu sahaja penggunaan bekas abu rokok daripada barang terpakai seperti tin susu yang ringan boleh mengundang bahaya kerana mudah jatuh.

Sentiasa berwaspada ketika aktiviti memasak, seperti meletakkan pemegang periuk, tuala dan sebarang kelengkapan berdekatan dengan alat pembakar seperti ketuhar.

Beliau berkata, anak perlu diajar mengenai aspek keselamatan kebakaran yang asas terutama berkaitan mancis dan pemetik api serta sentiasa pastikan ia diletakkan di tempat yang tinggi dan selamat supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

Pastikan juga peralatan elektrik yang digunakan diselenggara dengan baik dan jika rosak dibaiki oleh orang yang bertauliah kerana peralatan elektrik boleh menyebabkan kebakaran melalui percikan atau apabila dipasang terlalu panas.

"Selain itu pastikan rintangan dalam fius adalah sama seperti yang diperlukan bagi sesuatu perkakas elektrik. Jika fius terputus, kenalpasti masalahnya dahulu sebelum menggantikan yang baharu dan elak mengguna perkakas elektrik secara berterusan," katanya.



TIPS SEMASA KEBAKARAN

Tindakan dan langkah yang betul perlu diambil ketika menyelamatkan diri semasa kebakaran.

Jika sebelum ini, bilik anak terutama yang masih kecil sering dibuka untuk mudah melihat dan mengawasi mereka, cuba ubah kebiasaan itu kerana bilik yang terbuka akan mempercepatkan api, asap dan haba merebak ke dalam bilik itu jika berlaku kebakaran, katanya.

"Jika haba dan asap mula memasuki bilik, tutup pintu rapat-rapat dan tutup ruang atau lubang di bawah pintu dengan menggunakan tuala, cadar, selimut dan apa sahaja yang terdapat di dalam bilik tersebut," katanya.

Sekiranya laluan utama terhalang oleh api dan asap, cuba menyelamatkan diri melalui tingkap dan pastikan pintu bilik tertutup rapat bagi mengelakkan api merebak.

Namun sekiranya berada di paras melebihi tingkat satu, cuba menyelamatkan diri dengan menggunakan tangga, memanjat ke pokok, garaj kereta ataupun tunggu sehingga ketibaan anggota bomba untuk menyelamatkan.

"Semasa kebakaran, udara panas dan asap akan memenuhi ruang atas bilik manakala ada sesetengah gas beracun akan turun ke lantai. Udara yang bersih akan berada di zon selamat untuk bernafas iaitu di bahagian satu hingga dua kaki dari paras lantai.

"Semasa menyelamatkan diri, jika laluan utama dipenuhi asap, cuba cari laluan lain. Jika tiada pilihan, ikut laluan utama dengan cara merangkak dan pastikan kepala berada di paras zon selamat," katanya.

Sekiranya pakaian terbakar, jangan berlari, kerana ia boleh memarakkan api tersebut. Sebaliknya, cuba rebahkan diri dan tutup muka dengan kedua belah tangan dan berguling di atas lantai bagi memadamkan api atau guna selimut atau guni basah bagi memadamkan kebakaran itu.

LATIHAN KESELAMATAN KEBAKARAN

Jika di tempat kerja, latihan keselamatan kebakaran sering dijalankan sebagai persediaan menghadapi kecemasan. Namun berapa ramai yang pernah membuat persediaan yang sama dengan mengadakan latihan keselamatan kebakaran di rumah bersama ahli keluarga?.

Ini kerana tugas menyelamatkan diri bukan semudah yang disangkakan. Ia memerlukan perancangan awal dan latihan untuk menentukan kewajaran tindakan yang bakal diambil oleh ahli keluarga semasa kebakaran.

Antara yang boleh dilakukan ialah melukis pelan lantai rumah dengan menyatakan kedudukan semua tingkap, pintu, tangga, lorong dan halangan-halangan seperti meja makan dan sofa.

Tunjukkan dua jalan keluar dari setiap bilik iaitu jalan keluar utama dan jalan keluar alternatif.

"Api yang merebak sukar diramal dan pintu keluar utama mungkin terhalang oleh api dan asap. Penting untuk setiap ahli keluarga tahu, jalan alternatif untuk keluar.

"Bagi rumah jenis dua tingkat, tingkap di tingkat atas boleh dijadikan jalan keluar alternatif," katanya pelan kecemasan kebakaran rumah dan nombor telefon kecemasan bomba perlu dipamerkan untuk mudah dilihat dan difahami oleh setiap penghuni rumah.

KESELAMATAN DI RUMAH TINGGI

Sementara itu, bagi mereka yang tinggal di pangsapuri atau rumah pangsa, jangan sekali-kali menggunakan lif semasa kebakaran kerana kemungkinan besar ia tidak boleh digunakan selain bagi mengelak daripada terperangkap apabila asap serta haba memasuki ruang lif.

Laluan yang paling selamat ialah dengan menggunakan tangga. Sekiranya asap dan api menghalang laluan kecemasan, pintu serta tempat-tempat yang terbuka hendaklah ditutup bagi menghalang kemasukkan api.

Sekiranya gagal menemui jalan keluar, kembali semula ke bilik asal dan lindungi diri daripada asap dan tunggu sehingga diselamatkan.

Beberapa tip mudah yang boleh dijadikan panduan untuk penghuni yang tinggal di bangunan tinggi.

* Membiasakan diri dengan bunyi loceng di kediaman.
* Kenalpasti kedudukan loceng kecemasan di bangunan serta cara menggunakannya.
* Ketahui sekurang-kurangnya dua jalan untuk keluar melepaskan diri termasuk tingkap-tingkap serta biasakan diri dengan jalan keluar.
* Ketahui jalan terdekat menuju jalan pelepasan diri supaya mudah mencarinya walaupun dalam keadaan gelap.
* Pilih satu tempat berkumpul di luar bangunan supaya semua ahli keluarga dapat berkumpul selepas keluar.

Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA

3 comments:

MyFreeMinded berkata...

betul pun, baru sahaja mengikuti talk tentang keselamatan anjuran tempat kerja kami.. scary tul bila tengok kebakaran yang berlaku dan kesannya tu yang amat mendukacitakan. :)

Mizz Aiza berkata...

tips yang bagus untuk diamalkan oleh semua lapisan masyarakat..

khairul hassan berkata...

peringatan buat kita semua