20 April 2013

Sejarah China di Dataran Tiananmen


POTRET Mao Zedong turut digantung di Menara Tiananmen.

MEMORI berdarah di Dataran Tiananmen sentiasa menjadi kenangan seluruh penduduk di Beijing, China. Kejadian perhimpunan politik yang bertukar menjadi pembunuhan beramai-ramai disiarkan di kaca televisyen pada tahun 1989.

Kejadian yang bermula dengan demonstrasi oleh pelajar prodemokrasi pada musim panas tahun tersebut telah dicemari dengan keganasan yang dicetuskan oleh tentera China.

Itulah peristiwa yang berlaku lebih dua dekad lalu. Kini, Dataran Tiananmen menjadi salah satu destinasi yang wajib dikunjungi pelancong yang bercuti di Beijing.


Sejarah China

Kawasan yang berkeluasan 440,000 meter persegi itu terletak di tengah-tengah bandar Beijing. Ia juga merupakan dataran ketiga terbesar di dunia selepas Dataran Merdeka di Jakarta, Indonesia dan Dataran Bunga Matahari di Palmas, Brazil.

Nama kawasan itu diberi sempena sebuah pagar yang terletak di utara dataran tersebut iaitu Pagar Tiananmen. Selain itu, dataran tersebut juga menyimpan kisah-kisah besar dalam lipatan sejarah negara China.

Selain dataran yang luas terbentang, Menara Tiananmen merupakan signatur penting di kawasan tersebut. Menara yang dibina pada tahun 1417 iaitu ketika pemerintahan Dinasti Ming (1368 hingga 1644) itu merupakan pintu masuk ke Kota Larangan.

Paling penting, pada era tersebut, menara itu menjadi tempat penabalan maharaja dan maharani.

Dengan lakaran potret pemimpin komunis awal 1900-an, Mao Zedong yang tergantung di tengah-tengah menara itu, ia menjadi simbol pemodenan kepada rakyat China.

Sehingga tahun 1911 iaitu berakhirnya legasi kerajaan feudal di China, tiada sesiapa pun dibenarkan untuk memasuki menara tersebut kecuali keluarga diraja dan golongan bangsawan.


TUGU peringatan pejuang komunis China di Monumen People's Heroes. 

Tarikan lain

Monumen People's Heroes juga merupakan antara tarikan lain pelancong ke dataran berkenaan. Monumen yang diperbuat daripada batu granit itu terletak di tengah-tengah dataran. Ia dibina pada tahun 1952 dan merupakan monumen terbesar dalam sejarah negara China.

Monumen ukiran arca pemimpin China itu dipagari dengan dengan dua baris pagar yang diperbuat daripada marmar putih.

Bahagian barat dataran tersebut pula terdapat Dewan Besar Rakyat yang dibina pada tahun 1959. Dewan itu merupakan kawasan bagi Kongres Rakyat Kebangsaan China bersidang. Selain itu, ia juga merupakan tempat bagi aktiviti politik dan diplomatik di negara berkenaan.

Dewan berkenaan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Dewan Sentral, Great Auditorium dan Dewan Bankuet. Menariknya, di bahagian Dewan Sentral, bahagian lantai diperbuat daripada marmar manakala di siling dewan tergantung lampu kristal.

Dalam pada itu, Great Auditorium yang terletak di belakang Dewan Sentral mampu menampung sehingga 10,000 pengunjung dalam satu-satu masa. Dewan Bankuet pula dapat menempatkan 5,000 pengunjung.

Muzium Negara China pula terletak di bahagian timur Dataran Tiananmen. Muzium itu dibuka kepada umum pada tahun 2003 dan ia merupakan kombinasi Muzium Sejarah China dan Muzium Revolusi China.

Muzium Revolusi China mempamerkan pelbagai objek, gambar, buku dan model yang menunjukkan pembangunan negara China. Sementara itu, Muzium Sejarah China pula mempamerkan pelbagai peninggalan budaya yang menggambarkan sejarah kebudayaan di China sejak 1,7 juta tahun lalu sehingga maharaja China meninggalkan takhta pada tahun 1921.

Sumber: Kosmo

1 comments:

Mizz Aiza berkata...

tak pernah lagi sampai ke negara cina.. teringin juga nak pergi.. :D