11 April 2013

Semak Pusat Mengundi Melalui SMS Dan Web SPR



Orang ramai boleh mula membuat semakan mengenai pusat dan saluran mengundi bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) mulai 15 April, 2013 menerusi laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Semakan boleh dibuat di laman web SPR www.spr.gov.my dan portal rasmi PRU13 di www.pru13.gov.my serta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR jarak SEMAK jarak NO. KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Tiga kemudahan tambahan SMS turut disediakan oleh SPR iaitu, bagi pengguna Celcom boleh hantar ke 29292, pengguna Maxis hantar ke 33080 dan 22789 manakala pengguna Digi ke 33080.


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selain semakan menerusi laman web dan SMS, pengundi juga boleh menelefon ke ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau pejabat pilihan raya negeri.

Beliau berkata daftar pemilih pilihan raya dalam bentuk cakera padat (CD) pula akan mula dijual pada 15 April 2013 dan dalam bentuk buku pada 19 April 2013.

"Maklumat-maklumat lain berhubung dengan pilihan raya umum kali ini juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh ibu pejabat SPR atau pengarah-pengarah pilihan raya negeri atau pegawai-pegawai pengurus pilihan raya,” katanya.

Daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRU13 ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011, Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama, Suku Tahun Kedua dan Suku Tahun Ketiga dan Suku Tahun Keempat 2012. - Bernama

Sumber: Kosmo [10/04/2013]

INFO ANGKA: PRU-13

Seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Daripada jumlah itu, 12,992,661 adalah pemilih biasa manakala 275,341 pengundi awal (Pengundi POS).

PRU-13 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). [Utusan: 10/04/2013]

Pengundi awal terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan, 111,136 anggota polis dan pasangan, Polis Gerakan Am (PGA) serta 2,954 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Seramai 234,905 orang petugas pilihan raya akan dilantik bagi tujuan membantu SPR menjalankan pilihan raya umum nanti dan sebanyak RM400 juta peruntukan telah diperoleh SPR bagi menjalankan pilihan raya ini

Bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR telah memutuskan untuk melantik 379 Pegawai Penguat Kuasa yang juga merupakan ketua bagi Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

SPR akan menggunakan 8,789 pusat mengundi yang mengandungi 26,219 tempat mengundi (saluran), sebanyak 544 pusat mengundi akan dibuka pada hari mengundi awal dengan 882 tempat mengundi (saluran) akan dibuka.

Bagi pengundian biasa, sebanyak 8,245 pusat mengundi disediakan dengan 25,337 tempat mengundi (saluran) akan dibuka. [Utusan: 11/04/2013]

2 comments:

Dayang Deno berkata...

deno dah semak :)

MyFreeMinded berkata...

Tak semak pun lagi, tapi rasanya sama kan cam dulu2 jugak. :)