01 Mei 2013

Media Baru Vs Pentas Konvensional Dalam PRU13



Pengaruh Besar Media Baharu

Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menyaksikan pertarungan sengit antara dua pemain utama politik negara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam media sosial.

Trend terbaharu menunjukkan hampir semua parti dan calon yang bertanding membentangkan wadah sendiri menggunakan Internet melalui laman sesawang, blog, serta akaun media sosial seperti Facebook, Twitter atau YouTube.

Nama-nama besar daripada Barisan Nasional yang popular di laman sosial termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Bagi komponen PR pula, laman milik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul AM PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menjadi pilihan penyokongnya.

Ada juga parti dan calon yang mempunyai akaun dalam pelbagai jenis laman sosial agar dapat menyalurkan informasi dengan lebih efisyen sambil menggalakkan komunikasi dua hala dengan anggota masyarakat.




STATISTIK TINGGI

Laman pemantau penggunaan Internet, Internet World Stats mencatatkan, sehingga Jun 2012, jumlah pengguna Internet di Malaysia dianggarkan 17,723,000 pengguna bersamaan dengan 60.7 peratus daripada jumlah populasi di negara ini.

Sementara itu, laman sesawang Asian Correspondent melalui satu artikel menyatakan kadar penembusan Internet di negara ini bertambah sebanyak 300 peratus sejak PRU12 pada 2008.

Maklumat terkini, jumlah pengguna aktif laman Facebook di Malaysia ialah seramai 13,354,900 iaitu yang ke-20 tertinggi di dunia manakala pengguna laman Twitter pula mencecah 1,128,000.

Berasaskan ini dipercayai kempen melalui Internet boleh memberi impak besar kepada parti dan calon-calon yang bertanding kerana informasi yang dikongsi boleh dicapai oleh pelbagai peringkat masyarakat.

FAKTOR POPULAR

Penganalilis politik, Professor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata kejayaan seseorang ahli politik di laman sosial ialah kerana sentuhan peribadi mereka kepada masyarakat melalui medium itu.

"Sentuhan peribadi amat penting dalam dunia komunikasi. Kempen melalui Facebook, Twitter dan Instagram ialah satu pendekatan baharu yang memberi sentuhan peribadi bila rakyat dapat berkomunikasi secara terus," ulas Zainal.

Membandingkan penggunaan laman sosial dengan cara konvensional, Zainal berkata memang pentas konvensional dapat mendekatkan calon pilihan raya kepada pengundi, tetapi ia tidak dapat memberi tumpuan secara peribadi kepada mereka.

"Laman Facebook, Twitter dan Instagram contohnya, ialah ruang peribadi buat seseorang individu berkomunikasi secara terus dengan mereka di situ yang memberikan lebih kesan berbanding berkempen di atas (lori) kontena,"jelas Zainal.

Tambahnya, penggunaan media sosial memberikan impak besar terhadap pengundi muda memandangkan golongan itu merupakan pengguna terbesar medium ini.

"Ia sangat efektif dan berjaya. Bayangkan kalau kita dapat salam, ambil gambar, duduk bersebelahan atau minum kopi dengan seseorang tokoh politik pun dah seronok, inikan pula bila tokoh politik tersebut sendiri membalas soalan kita di laman sosial.

Fokus Media Baru Oleh Ali Imran Mohd Noordin
Sumber: BERNAMA 



Pentas Konvensional Lebih 'Berkuasa' Pikat Undi

Sebaik sahaja selesai penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di seluruh negara 20 April 2013 lepas, maka bermulalah tempoh kempen secara rasmi dalam gerakan menambat hati pengundi.

Biarpun hakikatnya, perjalanan memikat pengundi telah bermula sejurus pengakhiran PRU 2008 menerusi kaedah 'paparan tidak nyata' namun tempoh 15 hari berkempen ini adalah selaras dengan hak demokratik diberikan kepada calon.

Semestinya ketika ini, setiap calon yang bertanding tidak kiralah mewakili apa sekalipun parti mahupun berstatus 'bebas', bekerja keras dari awalan hari sehinggalah melangkaui lewat malam dalam meyakinkan pengundi akan kewajaran pemilihan mereka.

Tidak kiralah apa platform pun, strategi yang dirancang sebelum ini akan ditambah giat ataupun dalam erti kata lain semakin 'agresif' dalam menggunakan kesempatan yang ada sebelum menuju hari 'penentuan' pada 5 Mei 2013 ini.

Segala medium digunakan, dari kaedah berorientasikan pengaplikasian teknologi seperti media sosial Facebook, Twitter sehinggalah merangkumi landasan konvensional berbentuk pemasangan bendera, pemberian risalah, ceramah mahupun 'turun padang'.

Bagaikan sebuah 'pertandingan', semua ini hanyalah berpaksikan kepada satu tujuan supaya dapat menambat hati seramai 13,268,002 rakyat Malaysia yang layak mengundi kali ini.

PENTAS KONVENSIONAL LEBIH 'BERKUASA'

Kata pemimpin, penganalisis politik dan pelbagai lagi, PRU13 adalah 'pilihan raya media baharu dan sosial' yang mana memperlihatkan pengaplikasian secara 'aktif' medium berkenaan.

Biarpun begitu, pentas konvensional melingkari program seperti ceramah, beramah-mesra, pintu ke pintu bersama rakyat tidak pernah diluputkan ataupun dilupakan secara terus.

Walaupun tidak boleh diambil ringan impak saluran media sosial, namun hakikatnya pentas konvensional mempunyai 'kuasa' lebih hebat dalam menambat dan mempengaruhi hati pengundi.

MESRA RAKYAT

Tambahan pula, pendekatan turun padang, pintu ke pintu lebih terserlah kemesraannya kerana menerusi platform inilah penduduk kampung dan masyarakat bandar akan mengenali calon yang bertanding.

Tidak kisahlah walaupun ia hanyalah sekadar menjengah khabar, bersalam mahupun turut serta dalam program kemasyarakatan, 'personal touch' sedemikian akan menerbitkan satu kelainan perasaan berbanding di paparan monitor komputer, telefon pintar mahupun surat khabar.

Dan, ketika inilah penilaian keperibadian diri calon diperhatikan daripada segala sudut sama ada pertuturan, gerak bahasa badan, budi bahasa, yang mana semua ini akan merungkai kepada keikhlasan mereka (calon).

Apatah lagi, sahsiah masyarakat hari ini tidak lagi mudah diperbodohkan ataupun menerima dan menelan 'bulat-bulat' segala perihal politik yang diberikan kepada mereka.

Ini adalah hasilan daripada corak pendidikan negara yang mana telah melahirkan satu generasi berfikiran luas dalam menoktahkan apa-apa sahaja keputusan termasuklah berkaitan pemilihan calon pada 5 Mei 2013 ini.

Bagi mereka, calon pilihan bukanlah sekadar memenuhi kriteria keperibadian mulia malahan ia mampu mewujudkan perasaan selesa dalam jalinan hubungan antara dua pihak.

Kalau calon tak mesra, bagaimana rakyat hendak meluahkan masalah. Ini perlu dilihat pada calon baharu kerana calon lama boleh dirujuk berdasarkan rekod.

GAYA BERMASYARAKAT

Dalam pada itu, keberkesanan taktik konvensional sebenarnya meliputi banyak aspek dan ada antaranya tidak diambil peduli oleh calon.

Mungkin mereka (calon) tidak menyedari akan perihal itu, tetapi sikap calon yang ada ketikanya datang berkempen dengan penampilan kereta mewah, rakan pengiring yang lebih sudu daripada kuah, kasut bertumit tinggi (bagi perempuan), pemilihan baju tidak sesuai turut menjadi antara penilaian pikat undi.

Selain itu, pengaksesan kata putus juga merangkumi gaya kemasyarakatan yang dibawa oleh calon semasa menghadiri sesuatu majlis sama ada akan terdapat kebarangkalian jurang pemisah antara rakyat dengan pemimpin atau sebaliknya.

Rakyat lebih gemar pemimpin yang boleh makan, duduk sekali semeja bukannya ada sempadan seperti meja VIP, VVIP. Amalan kunjung rumah ke rumah juga tidak akan 'terkesan' sekiranya calon mempamerkan 'kejelikan' rumah pengundi, bersalam pun separuh sahaja dan geli untuk makan sekali bersama mereka.

KREATIVITI BERKEMPEN

Terdapat kemungkinan besar calon tidak dapat mengunjungi kesemua rumah di kawasan yang dipertandinginya, di sinilah memerlukan strategi kebijaksanaan pemimpin.

Aktiviti kemasyarakatan seperti solat berjemaah di surau, masjid mengunjungi pasar tani, pasar malam, kenduri-kendara, bersukan adalah platform terbaik untuk mempromosikan diri.

Masyarakat khususnya generasi muda akan lebih mudah 'tersentuh' apabila calon itu secara tiba-tiba turun daripada kereta dan bermain sekali bola sepak bersama mereka.

Paling tidak pun, turunkan tingkap dan lambaikan tangan kepada penduduk, itu pun sudah boleh meyakini mereka untuk mengundi calon berkenaan.

Calon harus ingat dan sedar, bahawa rakyat adalah sumber kuasa yang sebenar dalam menentukan kemenangan mereka. Justeru, selamilah hati kami dengan pendekatan lebih mesra sepanjang masa dan bukanlah hanya ketika pilihan raya menjelang tiba.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA

0 comments: