30 Mei 2013

Tragedi Bot Ekspres Karam Di Belaga

Tragedi pulang rai Hari Gawai
Tragedi pulang untuk rai Hari Gawai

Kepulangan untuk menyambut perayaan Hari Gawai berakhir tragedi apabila sebuah bot ekspres yang membawa penumpang hampir tiga kali ganda melebihi muatan dibenarkan, karam, menyebabkan 23 penumpang dikhuatiri lemas, manakala 181 lagi terselamat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam di Tanjong Giam Bungan, kira-kira sejam perjalanan dari pekan Belaga, Sarawak. Ketika kejadian bot malang itu dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit.




181 dilapor selamat

Sehingga jam 7 malam di hari kejadian, 23 penumpang masih dilaporkan hilang, manakala 181 dilaporkan terselamat, apabila mereka berenang ke rumah panjang berhampiran, selain ada yang diselamatkan penduduk berhampiran.

Bot Ekspress bernama Kawan Mas itu boleh memuatkan 74 penumpang, tetapi sarat dengan 204 penumpang ketika kejadian, sehingga ramai yang terpaksa duduk di bumbung bot berkenaan.

Ketua Polis Daerah Belaga, Superintendan Bakar Sebau, berkata siasatan awal mendapati bot ekspres yang terlebih muatan itu terbalik setelah terlanggar batu di satu selekoh berhampiran Tanjong Giam menghala ke Sungai Rejang.

Katanya, bot berkenaan membawa pekerja kontrak dari Bakun, Murum dan Sungai Asap pulang ke Belaga dan Kapit untuk menyambut Hari Gawai.

“Bot yang sarat dengan penumpang itu singgah menurunkan penumpang di Jeti Belaga dan meneruskan perjalanan ke Kapit. Kira-kira sejam perjalanan, bot terbabit terlanggar batu sebaik tiba di selekoh sebelum karam,” katanya ketika dihubungi.


RAGAM penumpang yang memanjat bumbung bot ekspres sebelum berlepas dari Jeti Belaga ~ Kosmo

Muatan berlebihan

Bakar berkata, kapasiti bot cuma untuk 74 penumpang tetapi muatan berlebihan menyebabkannya tidak stabil dan mudah terbalik.

“Penumpang yang duduk di luar bot sempat menyelamatkan diri dengan dibantu penduduk dua rumah panjang berhampiran, manakala penumpang yang dikhuatiri lemas adalah mereka yang duduk di dalam bot.

Difahamkan perjalanan menaiki bot di kawasan berkenaan yang banyak bergantung kepada paras air sungai, selain jumlah bot ekspres yang terhad di laluan terbabit dan jumlah penumpang terlalu ramai untuk balik menyambut Gawai, dipercayai antara sebab bot malang itu terpaksa membawa penumpang jauh melebihi muatan dibenarkan.

Oleh: Misiah Taib dan Mohd Roji Kawi
Sumber: BHarian [2013/05/29]

'Kami tiada pilihan lain'


Seorang pelajar menunjukkan bot ekspres 'Kawan Mas' yang sempat dirakam melalui telefon bimbitnya, manakala gambar di atas pula salah satu keadaan jalan darat dari Bakun ke Sibu.

"Jalan darat yang ada terlalu teruk keadaannya dan kami tiada pilihan selain menaiki bot ekspres."

Demikian jawapan penduduk di daerah ini semasa ditanya mengapa perkhidmatan bot ekspres menjadi pilihan utama mereka untuk keluar ke bandar terdekat walaupun tambangnya agak tinggi.

Rata-rata penduduk berkata, tambang perkhidmatan pengangkutan air itu tidak semurah yang disangka, sebaliknya agak membebankan terutama kepada mereka yang mempunyai keluarga besar.

Seorang surirumah yang hanya ingin dikenali sebagai Sonia, 31, memberitahu, tambang bot ekspres dari Belaga ke Kapit dan Sibu masing-masing mencecah RM35 dan RM55 bagi setiap penumpang dan adakalanya lebih mahal pada musim perayaan.

Beliau berkata, dia dan suami perlu mengeluarkan belanja besar untuk menampung kos mereka dan tiga anak setiap kali mahu pulang ke kampung halamannya yang terletak di Kapit.

"Tiada jalan darat ke Kapit dan jalan sedia ada cuma menghubungkan Belaga dengan Bintulu dan itu pun sekadar jalan balak yang kerap terputus hubungan akibat tanah runtuh terutama jika hujan.

"Sebuah lagi jalan darat berturap yang turut menghubungkan Belaga dengan Bintulu sudah siap dibina pihak tentera namun tiada jambatan. Jadi kami menggunakan bot ekspres walaupun mahal dan mengambil masa sehingga empat atau lima jam," katanya.

Kakitangan awam, Katijah Abdullah, 33, pula berkata, perkhidmatan bot ekspres yang melalui daerah tersebut hanya dua kali sehari, iaitu laluan Bakun-Belaga-Kapit-Sibu pada sebelah pagi serta laluan Sibu-Kapit-Belaga-Bakun pada sebelah petang.

Jika terlepas perkhidmatan tersebut, katanya, mereka terpaksa menunggu keesokan hari atau memilih pengangkutan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipanggil 'prebet' dengan bayaran RM50 setiap penumpang.

Sementara itu, seorang pelajar, Zakaria Bolkiah, 20, berkata, jumlah penumpang bot ekspres meningkat mendadak setiap kali musim perayaan atau cuti sekolah.

"Ikutkan hati ingin guna jalan darat namun apakan daya, jalan raya terlalu teruk sehingga tiada teksi atau bas sanggup masuk kecuali prebet," katanya.

Oleh ZAAIN ZIN
Sumber: Utusan

p/s: Tak sangka. Rupanya di Malaysia juga ada pemandangan di mana penumpang duduk di atas bumbung kenderaan awam. Selama ini berdasarkan carian imej dan maklumat di dalam internet, saya biasa berjumpa imei-imej penumpang duduk di atas bumbung bas, bumbung keretapi bagi perkhidmatan awam di beberapa buah negara di Asia. Di India misalnya keadaan sedemikian kadangkala dipaparkan juga di dalam filem-filem keluaran negara mereka.

Tetapi tidak pernah terjumpa gambar photo sedemikian bagi perkhidmatan awam di Malaysia. Walaupun baramgkali pemandangan sedemikian jarang-jarang berlaku sebagai contoh ianya mungkin hanya berlaku tatkala tibanya sesuatu sambutan perayaan, tetapi pihak-pihak yang berkuasa harus mengambil cakna tentang hal ini dan seterusnya berusaha mengatasi masalah tersebut demi keselamatan penumpang.

Semoga tragedi seperti ini adalah kali terakhir seumpanya berlaku di Sarawak dan juga Malaysia. Harapan rakyat sarawak dan rakyat Malaysia keseluruhannya satu sistem pengankutan air yang juga sistem pengangkutan awam yang selesa dan mencukupi berdasarkan keperluan para penumpang semasa dapat disediakan di Sarawak.

Semua rakyat Malaysia, saya percaya bukannya saya saya tidak mahu lagi melihat pemandangan di mana para penumpang mendapat tiket sistem pengangkutan yang hanya melayakkan mereka untuk duduk di bumbung sahaja. 

Takziah kepada keluarga mangsa atas tragedi ini. Kita sedekahkan Al-Fatehah kepada mangsa yang beregama Islam.

Al-Fatehah .....

0 comments: