Nuff Atas

05 Jun 2013

Indonesia Haram Khutbah, Ceramah Guna Pembesar Suara

Indonesia haram khutbah, ceramah guna pembesar suara
Kebanyakan daripada lebih 800,000 masjid di Indonesia menggunakan pembesar suara ketika memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan nasyid siang dan malam.

Majlis Masjid Indonesia (DMI), pada 29 Mei, 2013 mengumumkan ia akan mengharamkan penggunaan pembesar suara untuk khutbah dan ceramah di masjid di negara itu.

“Kami sedang membincangkan perincian teknikal mengenai perkara itu,” kata ketua DMI, Jusuf Kalla yang dipetik akhbar Kompas.com.

Jusuf yang juga bekas naib presiden Indonesia berkata, masjid, bagaimanapun masih dibenarkan menggunakan pembesar suara untuk laungan azan, tetapi bukan untuk urusan lain.


“Jika pembesar suara digunakan untuk melaungkan azan, ia tidak menjadi masalah kerana kaedah itu memang digunakan di masjid di seluruh dunia, manakala tempoh laungan azan hanya kira-kira tiga minit,” katanya.

Kebanyakan daripada lebih 800,000 masjid di Indonesia menggunakan pembesar suara ketika memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan nasyid siang dan malam.

Larangan elak ganggu kawasan kejiranan di sekitar masjid

Timbalan Pengerusi DMI, Masdur Farid Masudi berkata, penggunaan pembesar suara ketika khutbah Jumaat dibenarkan di dalam lingkungan kawasan masjid, tetapi penggunaan peralatan itu menghadap bahagian luar mungkin mengganggu penduduk berhampiran.

“Jemaah yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sudah pasti perlu mendengar khutbah, tetapi kita tidak pasti sama orang di bahagian luar masjid yang tidak dikenali patut mendengarnya atau tidak. Mereka yang berada ‘di luar’ mungkin tidak bersetuju dengan ceramah yang disampaikan,” katanya.

Masdur berkata, selain kemungkinan menganggu kawasan kejiranan di sekitar masjid, khutbah yang diperdengarkan menggunakan pembesar suara boleh mendedahkan ‘rahsia Islam’.

“Jika rahsia itu diperdengarkan hingga ke bahagian luar, segala perkara mengenai kita akan terdedah, Mereka akan tahu semua baik buruk kita,” katanya.

Pada Februari lalu, seorang lelaki berusia 75 tahun di Banda Aceh, Sayed Hassan, menang dalam samannya ke atas sebuah masjid dekat kediamannya.

Di dalam samannya itu, Sayed berkata, suara kuat daripada enam pembesar suara di masjid itu memberi kesan buruk kepada kehidupannya.

Beliau dipaka menarik balik tindakan undang-undang yang dilakukannya selepas menerima ancaman bunuh, tetapi sejak itu bunyi pembesar suara itu diperlahankan. - AGENSI

Sumber: BHarian [2013/05/30]

0 comments: