19 Jun 2013
Kawal Kendiri Media Sosial
MEDIA adalah satu agen penghubung yang sangat penting dalam menjamin kesejahteraan sosial khususnya di Malaysia.
Menurut Paul F. Lazarfeld dan Robert K. Merton (Schramm & Roberts 1993) sebahagian besar masyarakat kini merasai media massa atau komunikasi adalah alat yang cukup berkesan untuk mempengaruhi masyarakat dari segi kebaikan mahupun keburukan jika tidak dikawal dengan baik.
Media baharu yang menggunakan internet membuka peluang kepada pengguna seluas-luasnya untuk mengambil bahagian secara terbuka.
Hanya di hujung jari segala maklumat boleh dicari dengan mudah. Segala pendapat dan maklumat dapat diberikan dan dikongsi dalam masa yang cepat sehingga sangat berpotensi untuk menggantikan peranan media konvensional.
Kini, media baharu yang sering dgunakan adalah seperti Blog, Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan Instagram yang boleh memuat naik video seperti parodi.
Sementara itu, akaun sosial terbaharu iaitu Keek menghantui artis-artis Malaysia meraih populariti yang amat tinggi. Saya difahamkan bahawa Keek adalah satu aplikasi dalam sistem Android percuma dalam durasi 1 minit.
Adakah semua ini menjadi keutamaan masyarakat kita meluahkan perasaan dalam video tentang perasaan mereka secara suka-suka atau tindakan ini boleh mengaibkan diri sendiri dan orang lain?
Maklumat yang disalurkan dalam media baharu lebih cepat dan tidak ditapis dan ditulis oleh sesiapa sahaja tanpa mengetahui siapa penulisnya atau 'anonymous' dalam kalangan pengamal-pengamal media sosial di negara ini semakin berleluasa.
Kawal Kendiri Media Sosial
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang mewujudkan peraturan kawalan kendiri bagi memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat yang disampaikan.
Menurut Perdana Menteri, cadangan itu bertujuan mengelak wujudnya kumpulan penulis yang tidak diketahui atau 'anonymous' dalam kalangan pengamal-pengamal media sosial di negara ini.
Pemilik blog dan portal yang menyebarkan maklumat tidak sahih dan fitnah akan dikenakan tindakan tegas selepas kerajaan mewajibkan mereka meletakkan maklumat identiti sebenar tidak lama lagi, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri menegaskan, peraturan ‘ketetapan-sendiri’ itu bertujuan memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap maklumat disampaikan, sekali gus mengelak perpaduan masyarakat pelbagai agama dan bangsa dirosakkan oleh maklumat palsu.
Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan,” Datuk Seri Najib Razak
Sehubungan itu, Najib menegaskan, tidak akan ada lagi penulis ‘tidak bernama’ dalam blog atau portal seperti sekarang bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap tulisan masing-masing.
Kerajaan tak tapis internet
“Hari ini landskap media dan organisasi berita mengalami perubahan amat pesat dengan kehadiran media cetak dan elektronik yang dilengkapi media dalam talian. Demokrasi media dan kebebasan bersuara menjadi kenyataan.
Najib bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan menapis internet walaupun kerajaan mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia dan Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC).
“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan akan memastikan rakyat yang sedang menghadapi ‘cabaran kematangan’ sekarang tidak bersikap melampau selepas menikmati kemajuan pesat dalam landskap media dan organisasi berita.
Sehubungan itu, rakyat harus mampu memanfaatkan kebebasan bersuara sebaik mungkin kerana jika corak tenaga baru yang datang daripada kebebasan bersuara itu tidak digunakan dengan baik, mereka akan terkeliru.
‘Kesan rama-rama’
“Isu melanda pemikiran rakyat sekarang adalah pemahaman demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Ia memberi kesan yang tidak pernah berlaku sebelum ini hingga meninggalkan ‘kesan rama-rama’,” katanya.
Najib berkata, kunci bagi kejayaan untuk memanfaatkan kebebasan bersuara adalah dengan bermuhasabah mengenai identiti diri sebagai warga Malaysia dan bertanya pada diri sendiri mengenai kebebasan bersuara yang harus sesuai dengan identiti rakyat Malaysia yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni.
“Adakah perlu perbezaan pendapat mewujudkan syak wasangka melampau yang asing daripada budaya Malaysia? Untuk demokrasi benar-benar berfungsi, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada antara kita yang menyimpang, mahupun menyalahgunakan kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, Najib mengingatkan wartawan supaya mengetengahkan isu lebih utama seperti perpaduan dan usaha memajukan negara, selain menjadi perantara berkesan dalam menyampaikan maklumat antara rakyat dengan kerajaan dan sebaliknya.
Sumber:
Artikel Oleh Hassan Omar: BHarian [2013/06/13]
Artikel Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MUZDALIFAH MUSTAPHA: Utusan [2013/06/13]
Artikel Utusan [18062013]
Teliti Undang-Undang Internet Untuk Dikuatkuasa Di Malaysia
Ramai yang setuju supaya kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada penyalahgunaan media sosial dan Internet melalui undang-undang baharu atau mengemaskini undang-undang sedia ada.
Namun ramai juga yang mencadangkan supaya faktor budaya masyarakat negara ini perlu diambil kira dan tahap kesesuaian undang-undang Internet di Barat perlu diteliti sebelum ia boleh digunapakai.
Sensitiviti kaum, nilai sejarah, tahap pendidikan dan kesediaan warga Malaysia menerima undang-undang ini perlu terlebih dahulu dititikberatkan.
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata di Amerika Syarikat misalnya, walaupun rakyat bebas bersuara baik di alam maya dan realiti, namun masih terikat dengan pelbagai akta yang menjaga dan melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta Buli dan Pencerobohan Privasi.
Masyarakat negara itu perlu berhati-hati ketika berkata-kata sehingga boleh membezakan yang mana satu gurauan dan yang mana perkara serius terutama jika melibatkan isu negara, presiden dan sebagainya.
"Contoh lain, jika buat fitnah, orang yang difitnah itu boleh lawan tuduhan (jika fitnah itu palsu) dan jika mereka yang buat fitnah didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman. Namun perkara ini jarang berlaku di Malaysia.
Sesetengah rakyat kita keliru dengan isu fitnah atau perihal Akta Hasutan," katanya.
KEBEBASAN DENGAN TANGGUNGJAWAB
Beliau berkata seharusnya kebebasan bersuara perlu disertai rasa tanggungjawab termasuk bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata kerajaan akan melihat peraturan Internet di tiga buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Australia dalam usaha membendung penyalahgunaan media sosial di negara ini.
Internet di Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set undang-undang di sebalik ia mengamalkan kebebasan bersuara terhadap persekutuan dan negeri.
Pihak berkuasa boleh merampas domain profil pengguna dan komputer tanpa notis dan mampu menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan operasi.
Di Australia, kandungan Internet dikawal selia Australian Communications and Media Authority (ACMA) yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan sekatan pada kandungan Internet dalam negara.
Pihak berkuasa negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis perisiannya.
Tumpuan sekatan terutama kepada pornografi kanak-kanak, keganasan seksual, dan aktiviti haram lain yang dilakukan hasil proses aduan pengguna.
Di Britain pula penapisan Internet termasuklah menyekat akses kepada laman web, menguatkuasa undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan bahan tertentu, termasuk, fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan pornografi kanak-kanak.
Internet Watch Foundation (IWF) ditubuhkan untuk menyusun dan mengekalkan satu senarai hitam, terutamanya URL pornografi kanak-kanak, maka 98 peratus daripada pelanggan Internet komersil di negara itu ditapis.
SESUAIKAN DENGAN BUDAYA
Azizul berkata negara ini telah mempraktik dan mengguna pakai undang-undang yang hampir sama dengan Britain seperti Akta Hasutan 2013 Britain (yang baharu) namun negara tersebut lebih cekap dan pantas mengambil tindakan kerana telah lama melaksanakannya.
Di Malaysia sudah terlalu banyak kes fitnah baik di alam maya dan realiti sehingga tidak tahu di mana asas dan hujung pangkalnya.
Jadi cadangannya ialah pihak berkuasa perlu ambil tindakan cepat dan jangan bertolak ansur dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan fitnah kerana kalau tidak dibendung, keharmonian negara tergugat dan keadaan boleh menjadi huru-hara, katanya.
Timbalan Pengarah Pejabat Hubungan Industri Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan bekas Ketua Jabatan Komunikasi UIA Dr Norbaiduri Ruslan berkata rakyat di Barat lebih bertanggungjawab dan faham apa hak mereka termasuk mementingkan kebebasan dan privasi di tahap yang tertinggi.
"Kita masih belum lagi berpendidikan tinggi (dalam hal ini). Bila kita sudah sedar hak kita, hak orang lain, maka kita akan tahu jaga perilaku kita di alam maya dan realiti.
"Kempen kesedaran perlu bermula di peringkat sekolah rendah tentang bagaimana cara menjaga tatasusila di alam maya dan Internet kerana ketika ini terlalu banyak pendedahan tetapi kita kurang dan tidak kuat spiritual, personaliti dan lemah psikologi.
"Jika kita terlalu ingin (berkedudukan) sama tahap dengan negara maju, kita akan kehilangan budaya kita," katanya.
DIDIK RAKYAT MALAYSIA
Norbaiduri berkata masyarakat Malaysia perlu dididik dan diperjelaskan apa hak mereka ketika berada di media sosial dan bukan sewenang-wenangnya bersuara tanpa batasan dan mengabaikan undang-undang sedia ada.
Pengamal Undang-Undang Khairul Azam Abd Aziz berkata seseorang penulis termasuk dalam dunia maya perlu bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penulisannya dan bersedia menerima hukuman..
"Kalau penulisan membina, tidak perlu takut, tetapi jika mengganggu gugat ketenteraman awam, suatu bentuk peraturan harus dipatuhi," katanya.
Seorang blogger yang hanya mahu dikenali sebagai Hazrey berkata kerajaan perlu mengkaji semula akta sedia ada berkaitan sosial media demi masa depan generasi mendatang.
"Penyalahgunaan media sosial semakin berleluasa, anak muda tidak terkecuali. Apabila orang dewasa sudah buat sesuatu sesuka hati tanpa usul periksa semata-mata kerana menaruh perasaan geram, ia akan menjadi ikutan.
"Di peringkat kanak-kanak nanti akan timbul masalah pembuli siber," katanya.
Oleh Faizal Hassan
Sumber: BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan