26 Jun 2013

Pastikan Kulit Sentiasa Lembap



KULIT merupakan penghadang yang melindungi tubuh daripada radiasi serta trauma mekanikal dan kimia. Kulit juga berfungsi mengawal suhu badan, sebagai deria, melindungi daripada jangkitan kuman serta sebagai cara berkomunikasi sosioseksual.

Adalah penting untuk kita mempastikan kulit sentiasa lembap bagi mendapatkannya sihat dan nampak muda.

Untuk itu, gunakan pelembap kulit yang sesuai dan cepat meresap ke dalam kulit. Jangan gunakan pelembap yang sebarangan kerana terdapat pelembap kulit yang hanya akan menyebabkan kulit menjadi rosak dan bertambah kering.


Konsultan Dermatologis, Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr. Nazirin Ariffin berkata, kulit orang dewasa mengandungi 60 peratus kelembapan sementara bayi sebanyak 80 peratus.

''Jadi, semakin berusia seseorang itu kulitnya juga menjadi semakin kering. Oleh itu sentiasa gunakan pelembap kulit yang sesuai setiap hari bagi mengekalkan kelembapan.

''Bersenam juga membantu mendapatkan kulit yang cantik kerana apabila seseorang itu bersenam akan meningkatkan pengaliran darah ke kulit dan mengurangkan tekanan.

''Selain itu, tidur yang mencukupi juga penting kerana proses tidur membantu sel untuk bertenaga semula dan memberi kesan kepada kulit,'' kata Dr. Nazirin.

Beliau yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Dermatitis Sentuhan dan Alahan, Kosmetik Dermatologi dan Pembedahan Dermatologi, berkata, selain penggunaan pelembap kulit pemakaian topi, payung atau penutup kepala dan baju berlengan panjang apabila keluar rumah juga sedikit sebanyak membantu mengekalkan kelembapan lebih lama.

Ini kerana katanya, kulit yang terdedah pada sinar matahari secara terus bukan saja nampak kering bahkan mudah berkedut dan kusam.

Menurut Dr. Nazirin, ramai yang tidak mengetahui bahawa merokok juga membuatkan kulit cepat menjadi kering dan nampak tua kerana perjalanan darah ke kulit tersekat.

''Amalkan banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana kedua-duanya mengandungi air, vitamin dan mineral.

''Jika kulit kering, ia boleh dilembapkan semula dengan memakai pelembap kulit. Sebaik-baiknya gunakan dua atau tiga kali sehari,'' ujar Dr. Nazirin lagi.

Oleh MERAN ABU BAKAR
Sumber: Utusan

0 comments: