Nuff Atas

25 Jun 2013

Penyakit Lazim Kanak-Kanak



Cabaran getir menjaga anak kecil ialah apabila mereka jatuh sakit, memandangkan pada tahap usia baru lahir hingga kanak-kanak, sistem ketahanan badan masih belum berkembang sepenuhnya.

Antara penyakit yang lazim dihidapi oleh setiap anak kecil ialah demam panas, batuk, selesema, asma dan sebagainya. Berada dalam situasi tersebut pasti akan merisaukan apatah lagi apabila anak tidak berhenti merengek dan menangis disebabkan suhu badan meningkat.

Perunding dan Pakar Kardiologi Kanak-Kanak, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, sebagai ibu bapa, mereka harus mengetahui sekurang-kurangnya fakta asas tentang penyakit yang lazim dihidapi kanak-kanak.


Sebagai contoh katanya, suhu badan normal pada bayi yang sihat adalah daripada 36.5 darjah celcius sehingga 37.8 darjah celcius. Suhu manusia selalunya akan naik semasa siang dan turun semasa malam.

Beliau berkata, secara umumnya bayi tidak dianggap demam kecuali apabila suhu badannya melebihi 37.7 darjah celcius pada waktu pagi atau melebihi 38.2 darjah celcius pada waktu petang.

"Jika suhu badan anak meningkat ibu bapa juga perlu tahu langkah-langkah awal yang boleh diambil di rumah sebelum membawanya berjumpa doktor. Antaranya, beri anak minum banyak air, tanggalkan pakaian dan tuamkan badannya.

"Berikan anak ubat demam jenis paracetamol , diclofenac atau ibuprofen untuk ubat makan, manakala bagi ubat demam melalui dubur adalah daripada jenis paracetamol dan diclofenac . EIak memberi anak makan ubat jenis aspirin," jelas Dr. Zulkifli pada Seminar Keibubapaan anjuran Positive Parenting di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, bayi berusia bawah enam bulan yang demam lebih daripada dua hari, mengalami kekejangan, lesu dan muntah-muntah hendaklah dibawa berjumpa doktor dengan segera. Rawatan awal boleh mengelak daripada keadaan bayi menjadi lebih teruk sehingga mungkin boleh membawa maut.


AWASI demam anak anda sekiranya disertai gejala seperti cirit-birit, kekejangan dan muntah yang berterusan. – Gambar hiasan

Sementara itu katanya, demam kadang kala akan disertai dengan selesema dengan simptom-simptom seperti bersin, mata berair, batuk dan keletihan. Asma pula sering dijangkiti oleh kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun yang mengalami batuk (termengah-mengah) pada waktu malam.

"Jika keadaan ini berlaku disaran segera berjumpa doktor dan mendapat inhalers yang bersesuaian.

"Rumah yang ada anak mengalami asma tidak sesuai membela binatang peliharaan dan elak daripada menggunakan permaidani kerana ia mengumpul habuk .

"Diingatkan juga untuk menjemur tilam dan bantal di bawah matahari sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menghindari habuk, serta cadar ditukar setiap minggu," jelasnya.

Menurut Zulkifli, kanak-kanak juga sering mengalami masalah cirit-birit yang mana mereka akan kerap membuang air besar dan muntah. Bagi rawatan awal, ibu bapa boleh memberikan air yang mengandungi garam untuk penghidratan (satu paket ke dalam 250ml air).

Jelasnya, jika cirit birit berterusan disebabkan pemberian susu formula yang tidak sesuai, tukar kepada susu ibu atau susu tanpa laktosa.

"Elak memberi ubat terutama antibiotik yang akan membuatkan cirit birit semakin teruk.

"Kebersihan menjadi perkara penting dalam kes ini. Bersihkan tangan, jangan biarkan susu terlalu lama di dalam botol dan rebus air untuk menghapuskan bakteria, serta hidang makanan dengan cara bersih," kata Dr. Zulkifli.

Selain itu beliau menjelaskan, setiap kanak-kanak yang baru lahir harus melalui program imunisasi secukupnya seperti yang disaran oleh pihak berkuasa perubatan di negara ini. Ini bagi mencegah dan melindungi anak-anak daripada penyakit.

Antara vaksin yang perlu diambil oleh setiap bayi yang dilahirkan ialah vaksin demam campak yang diambil sebanyak dua dos, manakala vaksin rotavirus pula diberikan kepada anak sebelum usianya menjangkau enam tahun

Vaksin hepatitis A pula diberikan pada anak yang menjangkau usia dua tahun. Vaksin-vaksin lain yang perlu diberi perhatian seperti, pneumoccal conjugate, meningococcal conjugate dan influenza.

Menurut Dr. Zulkifli, gejala pneumokokal telah menyebabkan kematian 1.6 juta kanak-kanak seluruh dunia setiap tahun walaupun penyakit itu boleh dicegah melalui vaksinasi.

"Sebab itu golongan paling berisiko menghidap pneumokokal ini ialah bayi baru lahir hingga usia dua tahun dan dewasa berusia 65 tahun ke atas yang disebabkan antibodi yang lemah," jelasnya.

Pneumokokal sebenarnya adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria streptococcus pneumonia yang menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, meningitis atau jangkitan pada membran selaput otak serta saraf tunjang dan sebagainya.

Oleh Nur Ezzati Amani Manirul
Sumber: Utusan

1 comments:

Mizz Aiza berkata...

anak kawan aiza menghidap jangkitan kuman di otaknya sejak berusia 2 bulan.. kini dah masuk 3 tahun umurnya, tapi pemikirannya masih seperti bayi.. tak mampu bercakap&tak boleh berjalan.. kasihan tengok dia..