Nuff Atas

30 Jun 2013

Piala FA Malaysia 2013 Milik Kelantan

Final Piala FA: Red Warriors benam JDT
PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kejayaan menjuarai Piala FA 2013
Tahniah diucapkan buat Pasukan Bola Sepak Kelantan

Jaringan tunggal oleh penyerang Kelantan (The Red Warriors), Norfarhan Mohammad pada minit ke-16 sudah cukup untuk membolehkan pasukan dari pantai timur itu terus kekal menjadi juara Piala FA dengan menewaskan Johor Darul Takzim (Harimau Selatan) untuk edisi tahun 2013 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun 2013. [Kosmo : 29/06/2013]

Kelantan membuktikan masih merupakan gergasi bola sepak negara selepas berjaya mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu. Kejuaraan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Kelantan dalam saingan Piala FA yang mula diperkenalkan sejak tahun 1990.


Sementara impian Johor DT untuk mengulangi pencapaian Johor pada tahun 1998 tidak kesampaian di samping gagal muncul kelab pertama memenangi trofi berkenaan.

Di hadapan 90,000 penonton dengan kehadiran penyokong yang seimbang antara kedua-dua pasukan, kegagahan The Red Warriors jelas terlalu sukar dicabar oleh Harimau Selatan dengan penguasaan mutlak dipamerkan bahagian tengah diketuai Mohd. Badhri Mohd. Radzi. [Utusan : 30062013]

Info Final Piala FA 2013 [Sumber: BHarian]
* Norfarhan Muhammad jaringkan gol tunggal minit ke-15
* Kelantan layakke Piala AFC 2014
* Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi pemain terbaik

'Gelora Bukit Jalil'

Pasukan Kelantan Diramal Menang

Sejak awal lagi, Kelantan diramal mampu mempertahankan kejuaraan Piala FA ketika berdepan Johor Darul Takzim (DT) pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain berpengalaman dalam tiga aksi final piala itu, Kelantan mempunyai kelebihan kerana dibarisi pemain handalan seperti Badhri Radzi, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad, Obinna Nwaneri, Dickson Nwakamae dan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang mampu mengatasi cabaran anak buah Fandi Ahmad.

Kedua-dua pasukan kelihatan sama hebat tetapi Kelantan mempunyai pengalaman beraksi di pentas final di mana ini akan membantu mereka untuk menangani cabaran dari Johor DT,” Datuk M Karathu, bekas jurulatih Kelantan

Johor DT sebaliknya, walaupun dibarisi pemain bintang seperti Norshahrul Idlan Talaha, Leonel Nunez, Nurul Azwan Roya, Andrezinho dan Safee Sali, terpaksa akur dengan ketiadaan pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak yang digantung perlawanan.

 
Kapten pasukan Johor DT, Kamarul Afiq Kamaruddin (kanan) bersama Mohd. Badhri memegang Piala FA yang akan menjadi rebutan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil,.

Jurulatih Tentera, B Sathianathan, berkata kelebihan berpihak kepada Kelantan kerana mereka mempunyai pengalaman beraksi di pentas final dan masih segar dengan kejayaan menjulang trofi tahun 2013 lalu.

“Sekalipun Johor mempunyai ramai pemain berbakat, mereka tidak pernah beraksi di pentas final sebelum ini dan ia agak menyukarkan mereka,” katanya.

Bagi jurulatih Pahang, Dollah Salleh, kedua-dua pasukan sama hebat dan ada kelebihan masing-masing, tetapi jika berpandu kepada pengalaman, ia memihak Kelantan kerana ini kali ketiga mereka ke final.

“Tidak boleh dinafikan, pengalaman itu akan banyak membantu mereka pada perlawanan itu nanti. Selain itu, Johor DT saya rasa bakal berdepan masalah terutama di bahagian pertahanan dengan ketiadaan Aidil Zafuan Abd Razak yang digantung perlawanan,” katanya.

Oleh Syed Riduan Ahmad, Khairil S Iswan dan Sukhairi Thani
Sumber: BHarian

Semangat Farhan berkobar-kobar


FARHAN penjaring gol kemenangan pasukan Kelantan di pentas Final Piala FA 2013.

MUSIM 2012 lalu, beliau antara pemain yang menyumbang jumlah gol yang agak banyak untuk pasukan Kelantan pada saingan Piala FA namun, nasibnya tidak begitu baik apabila hanya sekadar menjadi penonton tatkala rakan sepasukannya meraikan kemenangan menewaskan Sime Darby untuk merangkul kejuaraan Piala FA.

Semuanya gara-gara memungut kad kuning kedua ketika aksi separuh akhir ketika menentang Selangor dan ia menyebabkan Norfarhan Muhammad terpaksa akur dengan peraturan yang ditetapkan menyebabkan dia digantung satu perlawanan sekali gus terlepas aksi final.

Musim 2013 ini, beliau antara watak penting dalam kesebelasan utama Kelantan yang berjaya membawa pasukan tersebut sekali lagi menjejakkan kaki ke pentas perlawanan akhir namun, skripnya berbeza apabila beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk disenaraikan.

Beraksi pada perlawanan akhir ditambah pula lawan yang bakal ditentang antara pasukan terbaik dalam negara, nyata auranya cukup berbeza dan cukup untuk membuatkan beliau dan rakan-rakan sepasukan kini bersaing hebat untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Menurutnya, ketua jurulatih, Bojan Hodak sudah pasti akan menurunkan pasukan terkuat bagi memastikan kemenangan musim lalu dapat diulangi sekali lagi selain beliau juga mahu melengkapkan detik penting sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional untuk beraksi di pentas sebesar itu.

"Final kali ini cukup bermakna untuk saya sekiranya disenaraikan untuk beraksi, musim lalu saya terlepas peluang kerana digantung. Pada aksi final 2009, saya menjaringkan gol biarpun kita tewas kepada Selangor menerusi sepakan penalti dan kali ini, saya berhasrat untuk sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada perlawanan akhir.

"Pertembungan Kelantan dengan Johor DT merupakan detik yang sentiasa ditunggu peminat, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dan pertembungan ini akan membuktikan siapa lebih baik," katanya.

Jelasnya, persediaan mental cukup penting untuk berdepan puluhan ribu penyokong sendiri dan lawan kerana secara fizikal tidak begitu banyak yang membezakan namun, pasukan yang memiliki kekuatan mental, mampu bertahan untuk memenangi perlawanan.

"Saya fikir semua pemain menyedari perkara tersebut. Bukan mudah beraksi pada tahap setinggi itu terutama apabila puluhan ribu penonton membanjiri stadium untuk melihat kita beraksi dan ia sudah tentu memerlukan kekuatan mental.

"Di sini, kita mempunyai sedikit kelebihan berbanding Johor DT biarpun mereka mempunyai ramai pemain bintang, pemain-pemain yang kita ada sebahagian besarnya pernah beraksi empat atau lima kali di pentas perlawanan akhir, ia mungkin membantu kita untuk lebih tenang," ujarnya. [Kosmo]

Norfarhan yang menerima umpanan sempurna daripada kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi menampilkan aksi tenang untuk menyudahkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 sekali gus membantu Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi mereka tahun lalu.

"Saya sangat gembira serta berbangga kerana menjadi sebahagian dalam sejarah gemilang pasukan Kelantan dan saya anggap kejayaan ini hasil usaha keras semua pihak yang terlibat dalam membangunkan bola sepak Kelantan.

"Saya tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol, namun apa yang paling penting bagi saya adalah dapat bermain dalam perlawanan akhir ini.

"Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil permainan berpasukan dan kerjasama semua pihak," kata Norfarhan. [Kosmo]

1 comments:

Mizz Aiza berkata...

tahniah kepada pasukan kelantan..