Nuff Atas

29 Jun 2013

Tragedi 'Perang' Dalam Bola Sepak 1964


KEMUSNAHAN akibat rusuhan penonton Peru yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil membatalkan gol penyamaan pasukan mereka.

KEJADIAN yang berlaku pada 24 Mei 1964 ini dianggap sebagai tragedi terburuk melibatkan penyokong bolasepak fanatik.

Dalam kejadian yang berlaku di Stadium Estadio Nacional di Peru, dikatakan seramai 318 orang terbunuh dan lebih 500 orang cedera.

Perlawanan tersebut melibatkan pasukan Peru dan Argentina yang dalam cubaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo jika salah satu pasukan menang dalam perlawanan itu.


Dikatakan hampir 50,000 penonton menyaksikan perlawanan tersebut dan pasukan Peru hanya memerlukan seri untuk melayakkan diri.

Di peringkat awal, perlawanan masih tenang walaupun kedudukan menyebelahi Argentina yang mendahului 1-0 dan berlanjutan sehingga ke hampir wisel penamat.

Bagaimanapun pasukan Peru berjaya menjaringkan gol pada saat-saat akhir mengakibatkan stadium bergegar dengan sorakan penyokong yang menyorak kegembiraan.

Bagaimanapun kedudukan tersebut hanya untuk seketika apabila pengadil dari Uruguay, Angel Pazos membuat keputusan membatalkan jaringan tersebut.

Keadaan ini mengakibatkan penyokong berang dan salah seorang penyokong berlari ke tengah padang dan cuba membantah keputusan pengadil.

Namun kemunculan pemuda yang dikenali ‘Negro Bomba’ itu telah ditahan anggota polis yang kemudian bertindak memukulnya.

Kejadian itu telah membangkitkan kemarahan penyokong tempatan yang mula bertindak ganas dan turun ke padang.

Pihak berkuasa pula telah bertindak melulu dengan melepaskan gas pemedih mata yang mengakibatkan para penonton mula panik.

Mereka yang cuba keluar pula telah dihalang apabila kebanyakan pintu ditutup mengakibatkan ramai yang terbunuh akibat dipijak ketika dalam cubaan menyelamatkan diri.

Apabila keadaan di dalam stadium kembali tenang kelihatan ratusan mayat bergelimpangan akibat dipijak oleh mereka yang mahu menyelamatkan diri.

Namun keadaan di luar stadium masih tegang apabila pihak penyokong dan pihak berkuasa bertempur antara satu sama lain.

Keadaan semakin buruk apabila ahli keluarga mereka yang terbunuh tidak boleh menerima kenyataan itu dan bertindak ganas mengamuk di luar stadium.

Keadaan hanya kembali tenang apabila pihak kerajaan melaksanakan perintah berkurung dan menguatkuasakan undang-undang tentera.

Sumber: Utusan

p/s: Semoga tidak berlaku tragedi sedemikian dalam sejarah bola sepak Malaysia ...