14 Jun 2013

Rawat Segera Demam Berlarutan Balik Umrah



Keterangan Gambar:

Pemandangan dari udara menunjukkan kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram di Mekah yang bermula pada tahun 2012 lalu. Kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram di Makkah giat dijalankan untuk menambahkan 400,000 meter persegi lagi keluasannya. 

Peluasan Masjidil Haram di Mekah akan menambah kapasiti dan keluasan yang membolehkan kira-kira 2.2 juta orang menggunakannya pada satu-satu masa. Kerja menaik taraf itu bagi membolehkan mataf (kawasan tawaf) menampung kira-kira 130,000 jemaah sejam b erbanding hanya 39,000 sekarang.

Kerja pembesaran Masjidil Haram ini menyebabkan pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan untuk mengurangkan kuota jemaah semua negara sebanyak 20 peratus. 

Sumber: BHarian, Kosmo, Utusan


Rawat Segera Demam

Rakyat negara ini yang mengalami simptom demam, batuk dan sesak nafas berlarutan selepas mengerjakan umrah dinasihatkan mendapatkan rawatan ke klinik dengan segera.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, tindakan itu adalah sebagai langkah berwaspada terhadap penularan wabak novel coronavirus atau Middle East Respiratory Syndrom Coronavirus (MERS-CoV) di Asia Barat dan Eropah termasuk Arab Saudi baru-baru ini.

Beliau berkata, mereka juga perlu memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan masing-masing agar pemeriksaan yang lebih teliti dapat dilaksanakan.

"Bakal jemaah haji dan umrah yang akan pergi ke Arab Saudi pada masa akan datang perlu sentiasa menjaga kesihatan, lihat panduan, rujuk kepada kakitangan kesihatan dan jika ada masalah dapatkan rawatan segera," katanya.

Jangkitan MERS-CoV dilapor oleh WHO pada September 2012 lalu dan setakat 5 Jun 2013 lepas, sejumlah 54 kes MERS-CoV disahkan melalui ujian makmal dilaporkan di seluruh dunia, meliputi 30 kematian.

Gejala utama MERS-CoV adalah demam, kesukaran bernafas, cirit birit dan lebih membimbangkan tiada vaksin untuk penyakit itu malah, punca jangkitan juga masih belum dikenal pasti.

Dr. Lokman berkata, pihak kementerian sentiasa mengambil langkah berwaspada biarpun sehingga kini WHO belum mengeluarkan sebarang larangan untuk ke negara yang terlibat.

Katanya, antara langkah tersebut termasuk meningkatkan kapasiti makmal bagi mengesan kehadiran virus baru itu dan memberikan pendidikan kepada orang awam mengenai penyakit tersebut.

"Selain itu, pihak kementerian sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa berhubung agensi pelancongan yang menganjurkan umrah.

"Perancangan juga akan dilakukan untuk beri pendidikan kepada bakal jemaah haji mengenai isu tersebut," katanya.

Sumber: Utusan [11062013]



Kemudahan daftar haji menerusi mesin ATM

Sementara itu ....

Orang ramai kini boleh melakukan pendaftaran haji menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tanpa perlu lagi berkunjung ke kaunter Tabung Haji (TH).

Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Kamarudin Mat Ali berkata, kemudahan itu disediakan di mesin ATM Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), Maybank dan Bank Islam Malaysia Berhad.

"Individu berkenaan mestilah mempunyai akaun TH dengan simpanan minimum RM1,300 dan pemegang kad bank berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, orang ramai juga boleh mendaftar haji secara online menerusi laman web Tabung Haji di www.tabunghaji.gov.my.

Sumber: Utusan [12062013]

0 comments: