25 Julai 2013

Bilik Persalinan Sebagai Kantin Sementara


GAMBAR yang dimuat naik dalam Facebook menunjukkan meja yang diletakkan di bilik persalinan untuk jadi kantin sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh.

Sekumpulan pelajar bukan beragama Islam Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di sini mendakwa terpaksa menjamu selera di bilik persalinan selepas kantin sekolah tersebut ditutup sepanjang bulan Ramadan.

Perkara itu mengundang kontroversi apabila salah seorang ibu kepada pelajar di sekolah itu merakam gambar-gambar suasana di dalam bilik persalinan tersebut sebelum ia dimuat naik ke laman sosial Facebook milik wanita berkenaan pada pukul 3 petang 22 Julai 2013.

Berdasarkan 10 keping gambar yang dimuat naik, kira-kira 15 pelajar berkenaan kelihatan menggunakan bilik persalinan terletak bersebelahan tandas yang digunakan untuk mandi sebagai tempat berehat dan menjamu selera.


Turut kelihatan di dalam beberapa keping gambar itu botol minuman serta bekas makanan pelajar diletakkan di atas meja panjang di tengah-tengah bilik persalinan tersebut.

Wanita yang dikenali sebagai Guneswary Kelly menerusi status Facebook miliknya memberitahu, dia mengetahui perkara itu sewaktu melawat sekolah anaknya dan mendapati kantin tersebut tidak beroperasi.

Dakwa wanita itu, pihak sekolah menyediakan satu bilik persalinan di sekolah itu yang dilengkapi meja panjang dan kerusi sebagai kantin sementara untuk pelajar-pelajar yang bukan beragama Islam pada waktu rehat sekolah.

Sumber: Kosmo [24072013]

Siasat isu murid makan dekat tandas
Guru Besar, Mohamad Nasir Mohd Noor (kiri), memberi keterangan kepada penjaga mengenai tempat makan bagi murid-murid bukan Islam di bilik persalinan perempuan.

Seorang ibu murid sekolah itu mendakwa, murid sekolah terbabit diminta makan dan minum dekat bilik air berikutan kantin sekolah sedang dinaik taraf. Katanya, mereka hairan kenapa murid sekolah terbabit diminta makan dekat bilik yang masih berbau hanyir, biarpun sudah dibersihkan.

“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah mengarahkan murid bukan Islam makan dan minum dekat bilik air, sedangkan sepatutnya pihak sekolah boleh menyediakan khemah sementara,” katanya.

Katanya, pihak sekolah tidak sepatutnya memindah kawasan makan dekat bilik air dan sekiranya kantin berkenaan ditutup untuk proses naik taraf, satu kawasan yang lebih sesuai perlu digunakan sebagai ruang makan.

Bilik persalinan jadi kantin

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kantin sementara yang dikatakan tandas itu sebenarnya adalah sebuah bilik persalinan yang sudah diubah suai dan dilengkapi dengan meja dan sinki.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim berkata, murid di sekolah berkenaan terpaksa makan dan minum di bilik persalinan sejak Mac 2013 lalu sebagai tambahan ruang kantin yang ketika ini gagal menampung murid yang ramai iaitu 1,375 orang.

Katanya, berikutan itu pihak sekolah menaik taraf kantin bermula 17 Julai lalu sehingga semalam. Dakwaan pihak tertentu kononnya tapak berkenaan tandas adalah tidak benar, sebaliknya ia bilik persalinan yang bersih serta sudah diubah suai menjadi tempat makan.

“Saya kesal kerana isu ini dibangkitkan pihak luar yang tidak tahu perkara sebenar, tetapi bertindak membuat tuduhan melulu yang menjejaskan reputasi sekolah. Saya sudah mengarahkan pihak kantin untuk beroperasi semula seperti biasa esok (hari ini) bagi mengelak isu ini berpanjangan,” katanya Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim.

Sumber: BHarian


Pelajar makan di bilik persalinan, bukan tandas

Sementara itu Kementerian Pendidikan mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) supaya memindahkan tempat makan sementara Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, ke tempat lebih bersih dan munasabah.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata menjadikan bilik persalinan sebagai tempat makan sementara untuk para pelajar bukan beragama Islam pada bulan Ramadan adalah tidak sesuai sama sekali.

"Perkara ini tidak harus berlaku. Saya kecewa. Kementerian memandang serius perkara ini dan meminta BPSH membuat siasatan serta-merta dan katakan pada kita mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap pegawai yang membuat keputusan ini (makan di bilik persalinan)," katanya.

"Ia hanya bilik persalinan dan bukanlah tandas. Walaupun ia bilik persalinan, itu bukanlah tempat untuk kita makan, no foods allowed," tegasnya.

"Sekiranya kantin dalam proses baik pulih, mereka harus mencari lokasi yang sesuai di mana ada keperluan untuk sesebuah kantin seperti tempat yang bersih, ada tempat untuk mencuci tangan dan ada tempat duduk untuk makan dan minum."

Sumber: Utusan

Tiada kaitan agama, bangsa

Masalah berkaitan lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh dekat sini, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa, kata Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan sesetengah pihak sebelum ini yang mengatakan ia bersifat perkauman adalah tidak benar.

"Bilik itu digunakan sejak Mac lepas dan semua murid termasuk pelajar Muslim menggunakannya kerana kantin sekolah itu tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai. Oleh itu tanggapan bahawa hanya pelajar bukan Islam sahaja yang makan di situ adalah salah.

"Keputusan untuk menggunakan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara dibuat setelah dibincangkan dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) berikutan kantin sekolah ini agak kecil dan hanya boleh menampung kira-kira 600 pelajar sahaja sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar," katanya.

Katanya, cadangan untuk menjadikan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara juga telah dipersetujui dalam masyuarat PIBG dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.

Kamalanathan berkata, pihaknya sedar bahawa bilik itu tidak sesuai dan telah berbincang dengan pihak sekolah itu supaya tidak lagi menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara.

"Saya juga menerima permohonan daripada pihak sekolah untuk meminta bantuan bagi pengubahsuaian kantin asal bagi menampung lebih ramai pelajar, dan kami akan pertimbangkan permohonan itu.

"Sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor saya juga akan memberikan sumbangan RM10,000 dan saya berharap kantin itu boleh disiapkan secepat mungkin," katanya.

Sumber: Utusan

0 comments: