15 Julai 2013

Jerat Telefon Pintar



Kecanggihan telefon bimbit sekarang begitu hebat dan perkembangannya amat pesat. Banyak syarikat berlumba-lumba menyediakan aplikasi tertentu dan sering memperkenalkan teknologi terkini bagi menarik minat pengguna membeli produk mereka.

Pengguna pula perlu lebih bijak dan peka terhadap perubahan itu, pada masa sama, jangan terperangkap dengan aplikasi disediakan sehingga terdedah kepada risiko jenayah siber.

Kajian Indeks Keselamatan Unisys mendedahkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar berada dalam risiko maklumat peribadi dicuri. Satu pertiga saja pelanggan menyimpan data peribadi secara selamat ketika menggunakan aplikasi pintar.


Sehingga Mei 2013 lalu, Apple melaporkan lebih 50 bilion aplikasi dimuat turun menerusi Apple Store. Laporan menunjukkan penyebaran maklumat peribadi berlaku ketika urusan melakukan pelbagai urusan menerusi telefon pintar.

Pengarah Program Keselamatan Unisys Asia Pasifik, John Kendall, berkata ia berlaku mungkin disebabkan pengguna tidak faham mengenai terma dinyatakan selain percaya maklumat itu tidak dibocorkan.

Ada pengguna mudah bersetuju untuk berkongsi maklumat peribadi mereka apabila diminta oleh sesebuah program tanpa meneliti terma ketika memuat turun aplikasi. Pengguna hanya akan butang yes atau accept terutama aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma.

Mereka menganggap maklumat peribadi diberi seperti nama ibu, tarikh perkahwinan serta nama haiwan kesayangan tidak menjejaskan privasi sedangkan itu antara kata kunci maklumat mereka dicuri.

Ini kerana telefon pintar dilengkapi dengan aplikasi mengenai maklumat peribadi individu seperti alamat tempat tinggal, tarikh lahir dan transaksi kewangan.

Maklumat itu boleh dikumpul oleh aplikasi dan ia dijual kepada pihak lain, risiko maklumat identiti dipalsukan, mencuri data atau mengakses akaun bank, katanya mendedahkan Indeks Keselamatan Unisys 2013, baru-baru ini.

Unisys adalah syarikat teknologi maklumat yang menyediakan perkhidmatan keselamatan di seluruh dunia manakala CyberSecurity Malaysia adalah agensi pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Kendall berkata, dengan pelbagai tawaran menarik membuatkan ramai pelanggan tertarik membeli.

Lebih berhati-hati

Pengguna sepatutnya lebih lebih berhati-hati tanpa memuat turun sebarang aplikasi sesuka hati dan tidak memberi maklumat peribadi.

Mereka perlu membaca dan memahami perjanjian pelesenan keseluruhan dan dasar privasi bagi aplikasi sebelum memuat turun bagi mengelak dieksploitasi pihak lain. Jangan terpedaya dengan aplikasi yang berselindung di sebaliknya syarikat gergasi yang dipercayai di seluruh dunia, katanya.

Dr Amirudin berkata, ada pengguna yang tidak membaca terma dengan teliti dan kurang berhati-hati dengan mudah memberi maklumat peribadi.

Kita tidak boleh menyalahkan kecanggihan teknologi sebaliknya manusia yang perlu ada ilmu dan membataskan urusan dalam telefon pintar atau gajet kerana ia membabitkan internet serta perkongsian maklumat peribadi, katanya.

Sementara itu, Kendall berkata, Malaysia merekodkan tahap tertinggi dalam capaian tidak sah kepada atau penyalahgunaan maklumat peribadi berbanding 12 negara iaitu sebanyak 76 peratus.

Malaysia adalah antara 12 negara selain Australia, Belgium dan Jerman terbabit dalam kajian membabitkan 929 dewasa dijalankan oleh Lieberman Research, pada April 2013 lalu untuk melihat Isu dalam Indeks Keselamatan Unisys 2013.

Laporan juga menunjukkan 74 peratus respondan mengadakan pelbagai urusan menerusi telefon pintar tidak mustahil mereka juga berhadapan dengan serangan virus dan e-emel tidak diundang, iaitu meliputi 58 peratus.

Sumber: BHarian

1 comments: