14 Julai 2013

Creche Jamin Wanita Terus Berkhidmat



Akhirnya kerajaan berazam mensyaratkan semua syarikat kaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak dan bayi (creche) untuk kepentingan pekerja wanita mereka yang mempunyai anak kecil.

Definisi Creche (disebut 'krech') adalah satu tempat di mana bayi dan kanak-kanak kecil diletak dan dijaga ketika ibubapa mereka sibuk bekerja. [Rujuk: macmillandictionary]

Soal mengadakan pusat sedemikian sudah lama dibincangkan dan diperkatakan hinggakan suatu akta mengenainya pun sudah diadakan sejak 1984 lagi. Malangnya hingga kini kewujudan pusat demikian itu tidak begitu menggalakkan hingga menyusahkan wanita yang bekerja untuk terus berkhidmat apabila mempunyai anak.


Perkara ini amat dirasai oleh pasangan muda yang baru bekerja dua tiga tahun dengan berpendapatan menyeluruh yang tidak seberapa apabila mendapat zuriat. Mereka ini tidak mampu untuk mendapatkan pembantu rumah apatah lagi dengan kos mendapatkan amah dari Indonesia kini sudah ditetapkan sehingga sebanyak RM8,000.

Pasangan muda bagaimana yang mampu mengeluarkan wang pendahuluan begitu banyak dan ditambah pula dengan gaji yang juga sudah tinggi.

Masalah dihadapi

Apakah pilihan yang ada bagi pasangan demikian ini?

Tidak menghairankan ada kalanya si ibu muda terpaksa berhenti kerja hanya untuk menjaga anak kerana tidak memperoleh tempat yang boleh dipercayai untuk tinggalkan bayinya mendapat penjagaan baik.

Fenomena ini amat dirasai pasangan yang hidup bersendirian khususnya di Lembah Klang dan bandar besar seperti Johor Bahru dan Georgetown tanpa mempunyai sokongan keluarga yang boleh membantu mengasuh bayi dan anak kecil waktu ibu mereka keluar bekerja.

Tidak diketahui berapa ramai wanita, termasuk golongan profesional yang terpaksa berhenti bekerja hanya kerana sukar untuk mendapatkan tempat atau orang yang boleh menjamin ketenangan pasangan itu berhubung penjagaan bayi mereka.

Implikasi sektor pekerjaan

Pemberhentian ibu-ibu muda demikian bukan saja lebih membebankan kehidupan keluarga muda yang baru saja menempuh kehidupan berumahtangga dan pekerjaan tetapi juga merugikan negara.

Perkara ini akan bertambah rumit lagi dengan kedudukan sekarang di mana lebih 70 peratus pelajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) adalah golongan hawa. Apakah implikasi apabila mereka lulus, mula bekerja dan berumahtangga dan mempunyai anak kelak?

Diberi pertimbangan serius

Perkara ini harus diberi pertimbangan serius oleh pihak berkuasa supaya bakat-bakat ini boleh terus memberi sumbangan kepada kemajuan negara dan tidak tersisih kerana terpaksa berhenti bekerja hanya untuk menjaga anak.

Maka penubuhan creche atau pusat jagaan kanak-kanak dan bayi di tempat bekerja amat mendesak. Jaminan Menteri Kemajuan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, untuk menggalakkan penubuhan pusat jagaan bayi demikian dialu-alukan.

Masalahnya, beliau berkata, Kabinet akan disarankan untuk mengadakan syarat penubuhan pusat jagaan bayi itu hanya kepada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional saja. Bagaimana pula dengan kira-kira 600,000 syarikat yang lain?

Syarat perlu diperluas

Mungkin sudah tiba masa kerajaan mensyaratkan semua tempat kerja baik sektor awam mahu pun swasta mengadakan pusat jagaan kanak-kanak dan bayi sedemikian.

Ternyata beberapa syarikat dan agensi yang menyediakan pusat creche seperti Tenaga Nasional, PROTON, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Sekuriti dan Citibank menyaksikan produktiviti pekerja wanita mereka yang mempunyai anak kecil meningkat kerana tidak lagi dibebani perasaan risau terhadap anak kecil yang terpaksa ditinggalkan di tempat yang tidak meyakinkan.

Pusat penjagaan anak demikian itu juga boleh menyediakan pelbagai aktiviti berkualiti untuk mendidik anak-anak itu membesar dalam suasana dan keadaan terbaik dan terurus.

Tentunya faedah demikian boleh dimanfaatkan secara berkesan dengan kewujudan pusat jagaan demikian di semua tempat kerja.

Oleh Rejal Arbee
Sumber: BHarian [2013/07/11]

0 comments: