03 Julai 2013

Perginya Awang Had Salleh Cendekiawan Melayu



"BELIAU telah banyak berjasa bagi memberi motivasi kepada para pendidik untuk mencurah bakti sebanyak mungkin demi kemajuan anak bangsa."

Itulah ungkapan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom apabila diminta mengulas mengenai tokoh pendidikan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru, pada hari Isnin, 1 Julai 2013.

Menurut Alimuddin, beliau banyak membaca tulisan Awang Had, 79, yang sering disiarkan oleh akhbar, majalah dan ketika sesi pembentangan kertas kerja dalam seminar.

"Ketika itu saya bertugas sebagai guru dan tulisan beliau ini telah memberi motivasi kepada saya untuk meningkatkan lebih jauh dalam bidang kerjaya saya," katanya.


Kata beliau, satu contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Allahyarham adalah untuk terus menyambung pengajian walaupun telah bekerja.

"Allahyarham memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan bermula di peringkat bawah iaitu sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Alor Setar, Kedah pada 1950.

"Selepas itu dari 1951 hingga 1954 telah belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) dan selepas itu diterima mengajar di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar," ujarnya.

Kegigihan Allahyarham untuk belajar jelas terserlah apabila terus belajar sambil bekerja sehingga berjaya mendapat Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) pada 1964 dan Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat (AS) pada 1972.

Pada 1956, Allahyarham telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 dan selepas itu memegang jawatan penolong pensyarah di Day Training Centre, Alor Setar serta pensyarah Maktab Bahasa Kuala Lumpur sehingga 1966. Pada 1967, beliau menyertai UM sebagai Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan.

Allahyarham yang berkhidmat di UM sehingga 1978 telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Menurut Alimuddin, satu lagi sumbangan Allahyarham yang tidak boleh dilupakan oleh sesiapa adalah sebagai seorang pentadbir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang cemerlang.

"Banyak jasa yang telah Allahyarham sumbangkan ketika menjadi Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.

"Kita juga tidak boleh melupakan jasa Allahyarham dalam membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989," katanya.

Selepas persaraan di UUM, Awang Had yang dilahirkan di Kampung Bagan, Pulau Bentong, Balik Pulau, Pulau Pinang telah menumpukan khidmatnya sebagai Penasihat Khas kepada Kementerian Pendidikan sehingga 1990.

Selain itu, beliau juga memegang pelbagai jawatan lain termasuk sebagai Felo Cemerlang, Institut Kajian Strategik dan Dasar (ISIS), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kemudiannya sebagai Pro Canselor universiti berkenaan.

Allahyarham turut terlibat dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Anakku Corporation Bhd., Pengerusi Fomema Sdn. Bhd. dan Pengerusi Kumpulan Ikram Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, penulis, Haris Fadillah yang menulis buku biografi bertajuk Awang Had Salleh: Tokoh Pendidikan Negara menyebut Allahyarham adalah seorang tokoh cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.

Menurutnya, Allahyarham mula menulis ketika menuntut di UM dengan cerpen yang pertama berjudul Simpati telah disiarkan akhbar Berita Harian.

"Cerpen itu memenangi hadiah sebanyak RM100 setelah menjadi cerpen terbaik mingguan kelolaan akhbar berkenaan.

"Bakat kreatifnya turut digilap ketika bekerja sambilan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika cuti semester di UM pada 1963. Antara tokoh penulis yang telah membimbing beliau ialah Keris Mas dan Usman Awang," tulisnya.

Tahun 1966 merupakan tahun yang cukup penting bagi beliau apabila dua karyanya iaitu kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna diterbitkan.

Skrip dramanya bertajuk Buat Menyapu Si Air Mata pula telah diterbitkan pada 1975.

Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat beliau dan ini termasuk ketika menjadi penulis jemputan, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM pada 1994.

"Awang Had terus menjadi tokoh rujukan masyarakat di mana buah fikirannya dalam bidang pendidikan terus mendapat perhatian pelbagai tokoh akademik dan institusi pengajian tinggi di tanah air kita," tulis Haris.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti bapa kepada tujuh anak ini, maka pada 1982 beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Anugerah akademik yang diterima beliau pula adalah Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari UKM dan Profesor Emeritus dari UUM.

Allahyarham yang berkahwin dengan Puan Sri Salmah Abu Bakar turut mempunyai hobi melukis, menggesek biola dan menyimpan barangan antik seperti jam, keris serta lukisan.

Semangat Allahyarham untuk terus berjuang demi anak bangsa jelas kelihatan daripada bait-bait sajak yang ditulisnya bertajuk Aku Penyambung Zaman.

Tuhanku,
Jadikanlah aku kuat gagah,
Menunaikan fungsi khalifah,
Di bumi bertuah,
Betapapun payah,
Menahan semangat jangan mudah patah,
Menahan hasrat jangan cepat 'rebah',
Sehingga perjuangan tercapai sudah.

Sebagai seorang tokoh akademik Melayu yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan, jasa Allahyarham sudah pasti akan tetap dikenang oleh masyarakat selama-lamanya.

Al-Fatihah.

Oleh NIZAM YATIM
Sumber: Utusan

Awang Had ikon pendemokrasian sistem pelajaran

Menjadi impian setiap guru pelatih sekolah Melayu untuk masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) yang merupakan 'Universiti Guru Melayu' ketika itu.

Setelah menduduki peperiksaan beradu untuk masuk ke SITC beliau mendapat tempat pertama di seluruh Kedah dan diterima masuk sebagai guru pelatih di SITC Tanjong Malim pada tahun 1951.

SITC mendewasakan beliau dalam bidang perguruan dan juga semangat kebangsaan. Salah seorang pensyarah yang meniupkan semangat kebangsaan ialah Cikgu Aminuddin Baki yang baru pulang dari England dengan ijazah sarjana pendidikan.

Tidak lekang dari ingatan Awang Had nasihat Cikgu Aminuddin; "jangan biarkan ayam mati di kepok padi, itik mati kehausan di kolam".

Cikgu Aminuddin juga menasihati guru-guru SITC supaya jangan berhenti belajar selepas lulus dari SITC dan belajarlah setinggi mana yang boleh.

Apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1987 dan mengeluar guru ijazah yang pertama pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Pro-Canselor UPSI dan sebagai seorang 'anak kandung', pelantikan ini adalah satu penghormatan yang beliau amat hargai.

Sebenarnya Awang Had tidak pernah lupa asal usulnya sebagai seorang guru Melayu SITC. Ini kerana sejak di Universiti Malaya pada 1974, beliau terlibat secara aktif sebagai Yang Dipertua Persatuan Bekas Pelajar SITC yang dikenali sebagai Persatuan Suluh Budiman (PSB).

Di SITC dewan besar dinamakan Bangunan Suluh Budiman dan semasa di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) beliau namakan dewan besar ITM sebagai Dewan Suluh Budiman.

Nama ini asalnya terbit daripada cogan kata peranan guru Melayu sebagai "suluh kampung, matahari bangsa" di mana di bahu guru-guru Melayulah diamanah tugas untuk mencerahkan orang Melayu dari segi pelajaran dan membuka minda yang lebih luas.

Jika Cikgu Aminuddin Baki sebagai pemimpin GPMS terkenal dengan "Gerakan Obor", sebagai pemimpin PSB, Awang Had terkenal dengan Konvensyen Pendidikan (KONPEN) yang menjadi forum dwitahunan golongan pendidik membincang isu-isu pendidikan dari setiap aspek seperti falsafah pendidikan, dasar pelajaran, latihan guru, kurikulum (KBSR dan KBSM), pedagogi dan sebagainya.

Sepanjang hampir 20 tahun sebanyak 12 KONPEN dianjurkan oleh PSB dan uniknya setiap kali ia diadakan di negeri yang berbeza, tujuannya untuk memberi peluang guru-guru SITC/MPSI yang jauh dari Kuala Lumpur untuk menjadi penganjur bersama dan yang paling disukai oleh Awang Had dan AJK PSB ialah dapat bertemu semula kawan-kawan yang sudah lama terpisah.

Semasa kembali semula di SITC yang dinaik taraf sebagai sebuah universiti (UPSI), beliau melihat keperluan golongan pendidik membina sebuah muzium pendidikan kerana mengikut beliau jika kaum guru tidak memulihara khazanah perguruan, lama-kelamaan semua barang lama akan pupus hilang ditelan zaman.

Beliau sendiri penggemar barang antik dan memiliki kereta antik dan menyimpan papan batu yang diguna ketika belajar di sekolah rendah dulu.

Katanya, mengapa kita tidak menyimpan papan hitam, mesin taip, mesin siklostyle, buku-buku teks lama yang diterbit dalam Malay School Series, dan sebagainya?

Atas usaha beliau rumah kediaman Pendita Za'ba yang mengajar di SITC dan menjadi pengarang di Jabatan Karang Mengarang selama 15 tahun (1924 - 1939) dikekalkan, jika tidak ia telah dirobohkan untuk membina padang letak kereta.

Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, beliau banyak menulis antaranya rencana mingguan dalam Utusan Malaysia mengenai kisah perjalanan hidup beliau. Rencana ini telah dibukukan dalam satu kompilasi buku yang bertajuk Warna-warna Pengalaman Seorang Guru (1993).

Sajak beliau Merpati Putih, Dari Ramadan ke Ramadan dan Usia Dalam Lipatan Rasa diterbitkan oleh Penerbit UPSI dalam buku Balada Suluh Budiman (2002).

Ketika penulis di Utusan Publications & Distributors (UPND) pada tahun 1995 buat pertama kali diperkenalkan Anugerah Sasterawan Sako di mana johan mengarang novel diberi hadiah RM30,000.

Awang Had dilantik sebagai Pengerusi Panel Juri dan ahli-ahli juri terdiri daripada pensyarah sastera berbilang bangsa dan saya sebagai setiausaha.

Kami semua berkampung di Hyatt Saujana selama hampir seminggu untuk menilai lebih 125 manuskrip yang dihantar dan akhirnya novel Imam karya SN Abdullah Hussain dinobatkan sebagai pemenang pertama.

Pada tahun 2002 ketika SITC - UPSI telah menyambut ulang tahun ke-80 dan pada majlis khas, Awang Had bersama tokoh-tokoh sastera SITC yang lain seperti Profesor A Wahab Ali, Masuri SN, Dr. Ahmad Kamal @ Kemala, Kamaruzaman Abd Kadir @ Dharmawijaya, Datuk Ismail Abas @ Amil Jaya telah dianugerahkan Tokoh Pujangga UPSI. Mereka semua memegang falsafah Guru Melayu yang menyebut dalam pantun;

Buat baik ayohai rakan,
Jika ke laut kamu campakkan,
Jika tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iakah bukan?

Awang Had ialah seorang ikon yang telah membuktikan pendemokrasian sistem pelajaran di negara kita di mana seorang pelajar sekolah Melayu yang miskin tetapi cerdik dan berbakat boleh berjaya sehingga ke peringkat tinggi sebagai seorang sarjana kedoktoran daripada sebuah universiti terkenal Universiti Stanford.

Sebagaimana juga seorang lagi anak kandung SITC, Tun Ghafar Baba telah membuktikan demokrasi dalam politik di mana seorang guru Melayu SITC yang rendah diri boleh naik sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri. Al-Fatihah untuk mereka berdua dan guru-guru SITC yang telah meninggalkan jasa yang besar kepada kita semua.

Oleh Mohd Zuber Zain
Bekas Pengurus Penerbitan Utusan Publications & Distributors.
Sumber: Utusan

Sasterawan berjasa

Awang juga sasterawan yang berjasa. Novel beliau satu-satunya ialah Biru Warna yang pertama kali terbit pada tahun 1966. Beliau juga banyak menulis cerpen, kumpulan cerpen persendiriannya ialah Merah Kuning Biru, juga terbit pada tahun 1966. Cerpen beliau banyak diantologikan, antaranya dalam Angin Retak, Tinta Pena dan Dongeng Merdeka. Novel Biru Warna menyentuh kehidupan rakyat Malaysia pelbagai kaum dengan segala kerumitannya. Latar tahun 60-an yang digunakannya merupakan waktu yang penuh konflik, sebuah negara yang baru merdeka dengan permasalahan pembinaan negara bangsa, isu integrasi kaum dan jurang generasi.

Awang juga menulis drama pentas, dua buah dramanya Buat Menyapu Si Air Mata dan Pelarian Seorang Tua meletakkan beliau sebagai dramatis aliran ‘realis’ yang sebaris dengan Kala Dewata dan Usman Awang. Era 60-an menandakan kemunculan drama yang mendedahkan kehidupan semasa yang penuh hipokrasi dan cabaran. Kala Dewata (nama pena Mustapha Kamil Yassin) menghasilkan Atap Genting Atap Rumbia dan Dua Tiga Kucing Berlari sementara Usman Awang menghasilkan Degup Jantung.

Awang juga pengkaji dan penelaah sastera yang dihormati. Beliau menghasilkan buku kajian Selindung Bulan Kedah Tua, selain esei sasteranya dikumpulkan dalam Kritik Sastera Di Malaysia dan Penulisan Kreatif.

Oleh: Johan Jaafar
Sumber: BHarian

0 comments: