22 Julai 2013

Khasiat Susu


Membekalkan nutrisi, mengekalkan tenaga dan tulang reput

Kajian kepenggunaan terbaru yang dijalankan di Malaysia mendapati 72 peratus daripada 1,000 rakyat di negara ini percaya tenusu adalah sebahagian menu penting untuk mengimbangi diet seimbang. Walaupun ramai tahu kepentingan susu, hanya 38 peratus saja minum susu setiap hari.

Pemeriksaan kesihatan mendapati tulang saya cukup kuat dan tidak rapuh. Ramai wanita mengadu sakit tulang, jadi minumlah susu." Aminah Abdullah, Pakar Sains Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi UKM


Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat minum susu setiap hari menyebabkan kegemukan dan kanser.
Hakikatnya, mengambil susu setiap hari membekalkan tenaga kerana ia lengkap dengan pelbagai nutrisi penting, pembekal sumber Vitamin D. Orang dewasa tidak suka susu disebabkan rasanya dan hanya sesuai untuk bayi serta kanak-kanak.

Amalan minum susu baik untuk membantu mengelak kerapuhan tulang dalam kalangan orang dewasa. Susu membekalkan nutrisi termasuk kalsium, kalium, fosporus, protein, vitamin A, D dan B12, yang mana melengkapkan diet harian akan membawa kesemua nutrisi penting ini ke dalam tubuh seseorang, lantas menjadikan peminum susu lebih bertenaga.

Untuk menggalak dan meningkatkan minat minuman itu, syarikat susu mengeluarkan susu berperisa untuk memberi kelazatan berbeza daripada biasa. Majlis Tenusu Kebangsaan United Kingdom menjelaskan, minuman susu berperisa membekalkan sembilan keperluan nutrisi setanding dengan susu tidak berperisa.

Ini meredakan kebimbangan ramai ibu bapa yang risau khasiat susu berperisa tidak setanding dengan susu putih atau susu tidak berperisa.

Jadikan tabiat minum susu

Pakar Sains Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Aminah Abdullah, berkata masih ramai yang tidak mahu menjadikan minum susu setiap hari sebagai amalan.

“Kaji selidik mendapati 72 peratus rakyat Malaysia sedar susu bagus untuk diet seharian tetapi tidak kisah untuk mengamalkannya.

“Saya sendiri pernah bertanya pelajar sama ada mereka minum susu atau tidak setiap hari. Menyedihkan apabila sekadar dua tiga orang saja yang mengangkat tangan menandakan hanya bilangan itu saja yang minum susu” katanya ketika membentangkan Indeks Tenusu Ke-6 Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, baru-baru ini.

Beliau turut menyarankan ibu menyusukan bayinya sehingga dua tahun untuk memberikan khasiat yang baik.

“Tiada minuman susu yang paling berharga dan lebih baik daripada susu ibu kerana lengkap dengan nutrisi. Cuma yang menghairankan ketika usia kecil, bayi dibekalkan dengan susu badan atau formula tetapi apabila meningkat usia susu tidak lagi dijadikan amalan.

“Sepatutnya amalkan minum dua kali sehari iaitu pagi, petang atau malam. Lebih bermanfaat selepas segelas susu minum jus untuk mendapatkan khasiat vitamin C,” katanya.

Gemuk, kanser cuma mitos

Prof Dr Aminah, berkata pendapat yang mengatakan susu hanya menggemukkan dan menyebabkan kanser tidak benar dan itu cuma mitos saja.

“Ketika belajar di luar negara, saya dan rakan amalkan minum susu dan sehingga kini masih amalkan. Pemeriksaan kesihatan mendapati tulang saya cukup kuat dan tidak rapuh. Ramai wanita mengadu sakit tulang, jadi minumlah susu.

“Malah tiada fakta mengatakan minum susu penyebab gemuk. Anda boleh memilih minum susu rendah lemak dan bukan susu krim penuh,” katanya.

Beliau turut menyarankan pengambilan susu dimulakan dari usia kecil dan bagi mereka yang berusia 20-an hingga 30-an, kerap minum susu untuk memelihara tulang.

“Sebenarnya mengambil susu ketika usia 40-an hanya untuk menstabilkan keadaan kesihatan tulang,” katanya.

Beliau berkata, kajian di Kanada mendapati kehadiran vitamin D dalam badan berupaya mengurangkan risiko beberapa penyakit kanser.

Lantaran itu mula mengambil vitaman D kerana mereka lebih banyak berada dalam bangunan dan kurang terdedah kepada cahaya matahari.

“Berbeza di negara ini, kita cukup cahaya matahari dan mudah mendapat vitamin D. Namun, bagi mereka yang lebih banyak berada dalam bangunan dan tidak terdedah kepada matahari seperti nelayan, lebih baik dapatkan vitamin D daripada sumber makanan seperti susu,” katanya yang sangat menyarankan susu sebagai sumber minuman.

Beliau menambah, lebih baik minum susu berperisa daripada minuman coklat kerana susu berperisa mengandungi nutrisi pelengkap.

Dorong minum susu

Malaysia adalah negara paling tinggi dalam penggunaan susu berperisa iaitu sebanyak 21.3 liter setahun untuk seorang.

Laporan kaji selidik menjelaskan, rasa lazat menjadi faktor kebanyakan rakyat negara ini memilih minuman susu berperisa seperti coklat, vanila, strawberi dan kopi.

Pengarah Pemasaran dan Pengurusan Produk Tetra Pak Malaysia, Singapura dan Filipina, John Jose, berkata menerusi kajian itu, peratusan penggunaan susu berperisa mencapai kepada 41 peratus berbanding susu tidak berperisa (21 peratus) serta bayi dan anak kecil (20 peratus).

“Setakat ini, coklat, strawberi dan vanila adalah pilihan utama pembeli. Perisa lain termasuk mangga, peach, nanas dan teh hijau” katanya.

Lantaran peka terhadap permintaan di negara ini, Tetra Pak komited dalam memberi kepelbagaian rasa kepada penggemar minuman susu berperisa sejak 2009.

Katanya, berkenaan susu tidak berperisa pula, kajian oleh Tetra Pak mendapati secara kasarnya 70 peratus susu tidak berperisa digunakan di seluruh dunia.

“Kajian kami mendapati susu tidak berperisa digemari kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun. Golongan ini minum susu pada waktu pagi dan malam,” katanya.

INFO: Khasiat susu

* Minum susu dua kali sehari dan bukan dua kali seminggu bersama minuman berjus bagi menambah vitamin C dalam badan.
* Segelas susu mampu membekalkan sembilan nutrisi lengkap untuk tubuh badan bagi mencergaskan minda, menyihatkan badan dan menguatkan tulang.
* Susu bukan menggemukkan badan dan menyebabkan kanser.
* Susu sumber makanan yang membantu mendapatkan vitaman D selain cahaya matahari.

Oleh Nor Hatina Shuib
Sumber: BHarian [2013/06/25]

1 comments:

Unknown berkata...

tp sy x suka minum susu :)