12 Julai 2013

Puasa Terbahagi Tiga Tingkatan



Kehadiran Ramadan sangat dinanti-nantikan oleh mereka yang beriman kerana mereka sedar bahawa ia adalah rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Mereka memahami bahawa Ramadan bukan hadir dengan 'tangan kosong', tetapi dipenuhi ganjaran dan dilimpahi dengan 'buah tangan' daripada Allah SWT.

Justeru, kita sepatutnya menerima kehadiran Ramadan kali ini dengan memuliakannya dan tidak membiarkan ia berlalu begitu saja.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”


Qada puasa sebelum Ramadan

Mereka yang mempunyai hutang puasa dan fidyah yang diwajibkan, sepatutnya telah melunaskannya sebelum Ramadan menjelang.

Tanggungjawab ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia tetap akan menjadi perhitungan kita di dunia mahupun di akhirat. Justeru, janganlah kita cuai daripada melunaskannya mengikut garis panduan yang dikehendaki Allah SWT.

Ramadan adalah bulan tarbiah iaitu bulan yang mendidik setiap individu Muslim agar kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ibadah puasa misalnya, bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga berperanan mendidik mata daripada melihat perkara yang diharamkan, telinga daripada mendengar umpatan, lidah daripada menuturkan fitnah dan cacian, tangan daripada melakukan dosa dan permusuhan, kemaluan daripada melakukan kemaksiatan dan kaki daripada melangkah ke arah kejahatan dan kemungkaran.

Ibadah puasa juga mendidik kita bersifat ihsan dan melaksanakan tuntutan agama dengan penuh keikhlasan. Fikirkanlah, apakah balasan daripada Allah yang akan kita terima jika kita berpuasa, namun dalam masa, kita masih lagi terus melakukan kemungkaran?

Tiga tingkatan puasa

Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah di dalam karya agungnya, Ihya Ulumuddin telah membahagikan puasa kepada tiga tingkatan. Tingkatan paling rendah ialah puasa orang awam iaitu hanya menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.

Tingkatan pertengahan pula ialah puasa orang khusus iaitu turut berpuasa daripada melakukan segala bentuk maksiat dan dosa, manakala tingkatan tertinggi ialah puasa orang khusus lagi istimewa iaitu berpuasa dengan penuh ikhlas dan menjaga hati daripada dikotori dengan sifat mazmumah.

Pembahagian ini memberikan umat Islam ruang untuk berfikir tingkatan manakah mereka berada, seterusnya memperbaiki kualiti puasa mereka. Justeru, nilailah di manakah tingkatan puasa kita selama ini, mudah-mudahan dengan kehadiran Ramadan kali ini ibadah puasa kita mencapai matlamat puasa sebenar iaitu takwa seperti firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang se belum kamu agar kamu bertakwa.”

Marilah kita jadikan Ramadan ini masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah dan menghitung diri. Cerminlah diri kita! Adakah selama ini anggota tubuh yang Allah kurniakan terutama mulut, tangan, mata dan kaki kita gunakan untuk beribadah dan memberi manfaat kepada masyarakat, agama dan negara? Ataupun hanya kita gunakan untuk melakukan kerosakan, kehancuran dan kemudaratan.

Renungkanlah, jika selama ini kita tersalah perbuatan, kembalilah ke pangkal jalan sempena kedatangan bulan yang mulia ini. Bayangkanlah, betapa besar fadilat yang pasti dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya yang ingin merebut peluang ini.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari Rahimahullah, daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: “Apabila datangnya Ramadan, nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syai tan.”

Hadis ini menggambarkan keistimewaan bulan Ramadan dan betapa luasnya kesempatan untuk meraih pahala. Bahkan, Allah SWT juga membuka seluas-luasnya pintu keampunan untuk menerima taubat hamba-ham banya yang benar-benar bertakwa kepada-Nya.

Ketahuilah! Dari sudut kesihatan, puasa adalah kaedah terbaik bagi memelihara anggota badan daripada penyakit. Melalui berpuasa unsur racun di dalam makanan dapat dihapuskankan. Dr Hisyam Ibrahim AI-Khatib dalam karyanya ‘Al-Wafi Fi Al-Tib’ menjelaskan puasa juga telah memberi peluang kepada organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Ia juga menjadi penawar mujarab kepada penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah.

Lihatlah betapa besarnya hikmah Allah SWT mewajibkan hamba-Nya berpuasa. Selain meningkatkan ke imanan dan ketakwaan, ia juga bermanfaat kepada tubuh badan.

Sumber: BHarian

Hikmah lapar

Ibadah yang paling utama pada bulan Ramadan ialah berpuasa. Kita diharamkan untuk makan dan minum kecuali bagi yang uzur. Itu kerana perut yang kosong dan rasa lapar ialah asas terpenting untuk proses pembersihan jiwa.

Kenikmatan ibadah sangat ditentukan oleh sejauh mana kita merasakan lapar dan dahaga. Apabila tubuh terasa lemah, fikiran menjadi jernih dan ibadah terasa nikmat. Kita akan merasakan indahnya terawih, membaca al-Quran, bangun tahajud di sepertiga malam, istighfar di waktu sahur dan pelbagai ibadah lainnya.

Maka itu, kita dituntut supaya pandai mengekang nafsu di waktu siang dengan memperbanyak aktiviti ibadah dan mengurangkan tidur. Selain itu, kita juga mesti mahir mengikat nafsu di waktu malam terutama saat berbuka dengan mengawal pemakanan dalam had bersederhana.

Berkata Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin: "Di antara adab puasa ialah tidak memperbanyak tidur di waktu siang agar terasa lapar, haus dan kelemahan tubuh. Dengan begitu, hati akan menjadi terang. Disukai juga agar dikekalkan sebahagian daripada kelemahan tersebut pada waktu malam agar terasa ringan bangun tahajud dan membaca wirid."

Sumber: Utusan

Mukmin bertakwa merindui kedatangan Ramadan

Allah SWT menerangkan dalam firman-Nya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

Justeru, perlu diingatkan kepentingan menunaikan puasa kerana ia adalah amalan yang dilaksanakan semata-mata untuk Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Allah berfirman: “Semua amalan manusia adalah untuk mereka kecuali puasa. Ini kerana puasa itu adalah untuk-Ku. Dan aku yang menentukan balasannya”.
Puasa adalah perisai daripada melakukan maksiat dan pendinding daripada api neraka. Justeru, apabila saudara berpuasa, janganlah bercakap perkara sia-sia ataupun bergaduh.

Antara hadis menerangkan doa ketika melihat anak bulan ialah daripada Talhah bin Ubaidullah, “Apabila Rasulullah melihat anak bulan, beliau mengucapkan doa yang bermaksud: Ya Allah, terbitkanlah anak bulan itu bersama dengan keamanan, keimanan, keselamatan dan keislaman untuk kami. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah. Inilah anak bulan yang memberi petunjuk dan kebaikan.” (Riwayat Tirmizi - beliau mengatakan hadis ini adalah hadis hasan)

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah apabila saudara melihat anak bulan Ramadan. Dan berhentilah puasa apabila saudara melihat anak bulan Syawal. Jika anak bulan Ramadan tidak kelihatan, cukupkanlah bilangan 30 hari bulan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumber: BHarian

0 comments: