Nuff Atas

05 Ogos 2013

Baju Raya ~ Beli atau Tempah?



Beli atau tempah?

Ada yang berpendapat lebih mudah beli kerana tidak perlu fikir untuk keluar mencari fabrik dan tidak payah pilih tukang jahit. Harga pakaian siap pada masa kini juga ada kalanya lebih murah berbanding pakaian ditempah.

Begitu juga dari segi kualiti untuk pakaian siap, jahitannya tetap kemas, tiada cacat-cela, sedap saja mengikut saiz badan. Lebih-lebih lagi, bagi koleksi pakaian berjenama yang diketahui sentiasa menjaga mutu pembuatan dihasilkan.

Lebih menarik, pada masa kini, ada pereka terkenal yang turut menawarkan koleksi pakaian siap mereka. Justeru, bagi yang teringin membeli pakaian yang direka cipta pereka idaman, mereka boleh memilikinya pada harga berpatutan.


Satu lagi kelebihan membeli pakaian siap, hari ini ia bukan saja boleh didapati di butik, kedai atau pusat beli-belah, tetapi juga boleh dibeli melalui jualan dalam talian. Tanpa bersusah payah keluar dan berjalan jauh ke kedai atau butik serta berebut-rebut dan beratur membayar, pakaian siap kini boleh dibeli dengan hanya hujung jari. Tepat pada masa, pakaian siap dibeli sudah pun berada di depan mata.

Lain orang, lain cita rasa

Bagaimanapun, bagi segelintir yang lain, baju tempah diakui lebih selesa terutama untuk mereka bertubuh gempal atau terlalu kecil, yang sukar mencari saiz baju siap.

Bagi yang terlalu memilih dan inginkan gaya eksklusif atau lain daripada yang lain, pakaian ditempah mungkin lebih sesuai. Malah, mereka boleh memberikan idea dan mungkin mereka cipta sendiri gaya rekaan yang bagaimana diinginkan. Kemudian, suruh saja tukang jahit menyiapkan pakaian berkenaan.

Begitu juga bagi yang sukakan hiasan tambahan seperti penambahan manik, labuci, kerawang dan sebagainya, lebih baik menempahnya kerana ia sudah pasti memberikan lebih kepuasan.

Bagaimanapun, semuanya terserah kepada empunya badan. Tepuk dada tanya selera kerana sekarang ini, pilihan baju siap tidak kurang cantik, malahan hasil buatannya juga elok dan kemas. Begitu juga kedai jahit, ada banyak dan terdapat di mana-mana. Cuma, anda perlulah membuat tempahan lebih awal.

Beli lagi mudah

Bagi Nur Hashakira Shafie, 24, beliau lebih suka baju yang dibeli siap berbanding tempah.

“Beli baju siap lebih cepat. Kadang kala, kalau tempah tak kena dengan cita rasa, minta lain, dijahit lain, buat kita sakit hati.

“Tapi saya akui, kalau pakai baju tempah yang dihasilkan mengikut rekaan seperti kita ingin, tentunya lebih bersemangat hendak sambut raya,” katanya.

“Bajet bawah RM200 sudah boleh dapat baju seperti diinginkan,” katanya yang lebih suka membeli baju siap kerana pilihan ditawarkan pelbagai.

“Buat apa hendak tempah kalau kita boleh beli siap dengan pilihan yang banyak. Tidak berkenan yang A, kita boleh cuba sampai jumpa yang berkenan di hati.

“Kalau tempah, tapi tukang jahit buat tidak menepati kehendak, tentu sakit hati dan tambah lagi, kain pun rosak, membazir,” katanya.

Lebuh suka baju tempah

Siti Nor Hana Ibrahim, 31, berkata sebelum ini dia memang suka menempah berbanding beli siap kerana ia lebih selesa, mengikut ukuran tepat badan sendiri.

“Lagi pun menjadi kelaziman kalangan wanita, ingin tampil lain daripada lain terutama pada hari lebaran. Jadi apabila tempah, kita boleh gayakan baju dengan rekaan tersendiri, tidak sama dengan orang lain.

“Tambah lagi, apabila reka baju raya sendiri dan hasilnya sempurna, ia memberikan kepuasan berganda kepada diri sendiri,” katanya.

Nor Hana mengaku memang susah hendak mencari baju siap yang selesa potongan dan cantik rekaannya. Justeru, beliau hanya memilih yang serasi supaya berbaloi membelinya.

“Bukan saya kata baju siap itu tidak elok, tapi apabila perlu bayar sesuatu dengan harga yang lebih tinggi, kita akan jadi teliti dan cerewet,” katanya yang meletakkan bajet tidak melebihi RM300 bagi sepasang baju.

Serik tempah baju

Sementara itu, Hairun Nizah Abdul Syukur, 37, berkata ‘terkena’ dengan tukang jahit yang tamak mengaut keuntungan pada musim perayaan membuatkan beliau serik menempah baju raya lagi.

“Dulu saya suka tempah, tapi kali pertama tukar tukang jahit, baju yang dihantar dua bulan awal tidak siap semuanya, malahan kualiti jahitan juga teruk menyebabkan saya memilih untuk membeli.

“Tapi, biasalah, bila baju siap mesti ada saja yang tidak kena. Macam saya, bahagian badan okey, tapi kainnya pula terlalu panjang dan perlu diubah suai,” katanya.

INFO:

Kelebihan beli siap

* Mudah dan menjimatkan masa.
* Banyak pilihan dari segi warna, saiz, rekaan, fabrik dan harga.
* Tidak perlu persediaan awal. Boleh beli bila-bila masa.

Kelebihan menempah

* Kepuasan kerana menepati bentuk badan sendiri.
* Boleh hasilkan rekaan mengikut cita rasa sendiri.
* Boleh jahit warna sedondon untuk satu keluarga.
* Boleh beli material ikut corak diingini.

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
Sumber: BHarian

3 comments:

Harith Iskandar berkata...

sy beli jer...serik dah nak tempah

MyFreeMinded berkata...

beli je.. tak sempat sokmo nak menempah2 ni... tapi bila bab membeli pun pening gak bila nak matching kaler ni.. hehehe... kalau sebelum2 ni, sanggup pi ronda2 sebab nak gak warna sama sebijik sebijan.. tapi tahun ni.. janji ada iras2 kira ok lah... as long as anak2 gembira dengan baju baru..

PiNkYCaT berkata...

Lebih suka beli yg dah siap...tp tempah jugak sehelai buat raya sbb tukang jahit baju adalah sedare sendiri...hehe:) kalau tudung mmg tak beli lah sbb butik sendiri pun dah hasilkan tudung...hikhik;p