04 Ogos 2013

Puasa Bentuk Emosi Empati


PADA bulan Ramadan, seseorang itu lebih cenderung melakukan kebajikan dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik. - Gambar hiasan

SETIAP kali tibanya Ramadan, kita merasakan seperti ada perasaan lain apabila kita melihat manusia yang kurang bernasib baik. Kita sepertinya ada rasa simpati dan ingin membantu mereka sekalipun mereka tidak meminta apa-apa pun daripada kita. Kita berasa seperti ada emosi yang tidak ada pada hari-hari biasa.

Mengapa emosi seperti ini hanya muncul apabila tibanya bulan Ramadan?

Inilah hakikatnya proses psikologikal yang diwujudkan apabila kita berlapar dan dahaga. Dengan merasai keperitan berpuasa, menjadikan kita juga merasa insaf bahawa ada orang lain yang patut kita tolong dan bersimpati.


Kita mula merasakan bahawa jika selama ini kita mungkin sedang diuji dengan musibah, orang lain juga mungkin sedang diuji dengan lebih teruk lagi.

Puasa bukan hanya sekadar ibadat yang mengawal nafsu manusia, puasa juga merupakan sekolah membentuk emosi mulia individu.

Sebenarnya, kajian-kajian psikologi ada menerangkan fenomena ini. Ia dinamakan sebagai perceived self-other similarity, atau dalam bahasa yang mudah iaitu menilai orang lain sebagai sama dengan kita.

Misalnya, apabila kita berada dalam kumpulan tertentu yang mempunyai minat yang sama dengan kita, kita akan merasakan bahawa mereka juga adalah sebahagian daripada kita.

Begitu jugalah dengan proses berpuasa. Kita melihat semua orang lain yang mengalami kepayahan dan kesulitan sebagai mempunyai ciri yang sama dengan kita, menjadikan kita terasa ingin membantu mereka.

Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa kewujudan rasa persamaan dan ingin membantu ini lebih mudah muncul apabila seseorang itu ditimpa kesusahan.

Mereka yang pernah mengalami pengalaman yang buruk lebih cenderung untuk menolong orang lain yang mengalami keadaan yang sama, dibandingkan dengan mereka yang tidak.

Perasaan empati ini pula dikatakan berlaku dalam dua proses utama, iaitu (i) sama ada kita melihat seseorang itu memerlukan bantuan atau tidak, dan keduanya (ii) meletakkan diri kita pada tempat individu yang sedang menanggung penderitaan tadi.

Walaupun emosi ini kelihatannya mudah, tetapi ia tidak berlaku dengan mudah. Sebab itulah, ada individu yang bersimpati dengan individu yang terlibat dengan kemalangan dan ada yang tidak.

Falsafah berpuasa

Ada pula orang yang sangat kasihan melihat anak-anak yatim, tetapi ada pula yang melihat golongan ini sebagai insan biasa sahaja.

Ini semua adalah bergantung kepada sejauh mana deria emosi kita mampu meletakkan diri pada tempat mereka yang bernasib malang tadi.


RAMAI orang lebih sensitif untuk membantu insan-insan kurang bernasib baik ketika Ramadan.

Kita mungkin akan lebih merasakannya jika kita pernah mengalami pengalaman yang sama sebelum ini. Kita merasakan bahawa mereka yang sedang ditimpa kesusahan itu bukan orang lain, tetapi adalah kelompok yang sama dengan diri kita.

Sebenarnya, inilah antara falsafah berpuasa yang sedang melatih deria psikologi kita semua untuk menginsafi kepayahan yang dihadapi orang lain.

Selama ini, kita mungkin melihat mereka yang tidak bernasib baik sebagai malas atau tidak berusaha. Kita juga mungkin menilai mereka yang gagal sebagai tidak mempunyai kegigihan seperti mereka yang berjaya.

Tafsiran seumpama itu mungkin muncul apabila kita tidak meletakkan diri kita pada tempat individu yang bernasib malang tadi.

Kita juga mungkin tidak menafsirkan mereka sebagai mempunyai ciri yang sama dengan diri kita. Ini akan menjadikan kita lebih mudah untuk membantu, dibandingkan sekiranya kita melihat orang yang ditimpa musibah sebagai bukan dalam kumpulan yang sama.

Sedar atau tidak, setiap kali tibanya Ramadan kita akan lebih merasakan simpati dengan apa yang berlaku terhadap saudara sesama Islam di seluruh dunia, walaupun pada waktu yang lain kita mungkin tidak mempunyai rasa seumpama itu.

Kita melihat apa yang berlaku di Mesir atau Syria sebagai perkara malang yang sedang menimpa saudara seagama, walaupun pada waktu yang lain kita mungkin melihat apa yang berlaku lebih merupakan konflik dalaman sesebuah negara.

Bayangkan, ujian berpuasa sahaja, sudah mampu mengubah tingkah laku dan penilaian manusia, apatah lagi kalau kita dihadapkan dengan cabaran yang lebih besar.

Sebab itulah, kita dapati begitu banyak kebaikan dilakukan umat Islam setiap kali Ramadan.

Kita dapati banyak derma kebajikan dilakukan, dan kita lebih banyak bersabar menghadapi situasi tertentu.

Malah, kita mula memberikan sedikit juadah untuk jiran kita, walaupun pada waktu yang lain mungkin jarang bertegur sapa.

Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi puasa juga membentuk emosi empati manusia agar lebih bersimpati dengan orang lain dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

Sumber: Kosmo

2 comments:

Unknown berkata...

tp tu lah kkadang nafsu yg diasuh syaitan tu kkdang kuat jugak kan?sbb tu ade jg maksiat bulan2 pose ni

MyFreeMinded berkata...

puasa dibulan ramadan sememangnya mendidik kita untuk menundukkan nafsu kita sebab masa bulan ni, syaitan tak de untuk mempengaruhi kita.. kalau kalah untuk mematuhi suruhan Allah, maknanya kita memang sendiri gagal mengawal nafsu kita.