Nuff Atas

28 Ogos 2013

Getaran Parkinson


PESAKIT Parkinson memakai gelang yang mengisytiharkan penyakit mereka jika berlaku kecemasan.

Terasa seperti manusia disumpah menjadi batu. Segala pergerakan keras dan kaku secara tiba-tiba dan disebabkan itu lelaki itu terpaksa membataskan rutin hariannya. Jika dulu, beliau suka menghabiskan masa lapangnya dengan aktiviti membaiki alat peralatan elektrik, kini Abdul Majid Abdul Rahman, 60, terpaksa meninggalkan hobinya kerana tidak boleh memberi fokus kerja itu terlalu lama.

Bergantung pada ubat dibekalkan pihak hospital dan penjagaan isterinya, bekas anggota askar pencen itu juga tidak pernah menyangka dirinya akan diserang Parkinson memandangkan kesihatannya normal.

“Sejak 15 tahun lalu, saya terpaksa bergantung dengan ubat untuk melegakan kesakitan saya. Badan akan mula kaku dan ketar apabila ubat habis dan pengambilannya perlu mengikut masa.


“Mujurlah isteri banyak membantu dan keluarga juga memberi sokongan kerana jiwa saya kini makin sensitif dengan keadaan sekeliling. Keadaan diri yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda juga membuatkan saya terasa seakan hilang semangat,” jelasnya ketika ditemui di Persatuan Parkinson Malaysia (MDA.

Sembunyi kesedihan

Biarpun pernah menyembunyikan keadaan dirinya daripada pengetahuan isteri kerana sukar menerima kenyataan, bapa kepada lima anak itu, berkata beliau amat terharu apabila isterinya sanggup melepaskan jawatan sebagai pengetua sekolah demi menjaganya.

“Pengorbanan isteri tidak mampu saya balas. Syukur berkat pengorbanannya dan kecekalan ditunjukkan membuat saya menjadi lebih kuat dan mula menghargai setiap masa dimiliki sekali gus mendekatkan diri kepada yang Maha Esa.

“Isteri juga tidak pernah jemu melayan kerenah agar saya tidak terasa terasing daripada kehidupan. Sememangnya tidak sama apabila dijaga oleh jururawat berbanding insan yang kita cintai,” katanya.

Berkongsi pengalaman dalam menjalankan tuntutan sebagai isteri, Siti Khalijah Isa, memberitahu biarpun terpaksa melepaskan kerjayanya demi menjaga suami beliau sedikit pun tidak kesal.

“Biarpun terpaksa mengambil masa untuk melepaskan sepenuhnya jawatan disandang, ia tidak menyedihkan berbanding mengenangkan keadaan suami yang terpaksa ditinggalkan dengan jururawat.

“Pada mulanya memang sukar untuk mengawal keadaan terutama apabila tiba masa membawa suami ke tandas kerana saya tidak kuat untuk mengangkat suami dari kerusi rodanya.

“Selepas banyak belajar dari MDA dan berbicara dengan doktor serta jururawat, keadaan semakin mudah. Dalam keadaan ini, bukan saja emosi suami terganggu, saya turut merasainya kerana harus melepaskan aktiviti lain demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadapnya,” jelasnya.

Kurang pengetahuan Parkinson

Sementara itu, Profesor dan Pakar Perunding Neurologi Hospital Universiti Malaya (UM) Prof Dr Lim Shen-Yang, berkata walaupun penyakit ini sudah pun diketahui sejak beratus tahun lalu, masyarakat masih belum begitu jelas mengenai penyakit berkenaan.

Ketika ini, kira-kira 20,000 orang di negara ini menghidap Parkinson dan jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh 20 tahun akan datang. Paling membimbangkan penyakit itu dijangka dihidapi oleh orang muda.

“Parkinson menyerang lelaki dan perempuan biarpun ada kajian menunjukkan lelaki lebih cenderung mengalaminya. Tapi harus diingat, ia bukan penyakit orang tua kerana kami pernah merawat pesakit semuda 16 tahun.

“Walaupun punca penyakit masih belum diketahui, tapi ia boleh dikaitkan dengan genetik dan faktor persekitaran. Parkinson lazimnya dapat dikesan selepas penghidap membuat pemeriksaan kesihatan penyakit lain,” katanya.

Boleh lakukan aktiviti

Menyambung penjelasannya, biarpun Parkinson berlaku akibat degenerasi otak apabila kekurangan dopamine atau bahan kimia yang diperlukan untuk mengawal pergerakan badan yang lancar, sesetengah pesakit masih mampu menjalankan rutin dan kerja mereka seperti biasa.

“Sesetengah pesakit masih menjalani aktiviti kehidupan seperti biasa jika keadaan mereka belum kritikal dan mengamalkan pengambilan ubat mengikut jadual. Pesakit sendiri perlu memainkan peranan bagi mengalihkan tumpuan mereka terhadap penyakit dihidapi dan berusaha mengekalkan kehidupan aktif untuk kembali gerakan motor mereka.

“Selain pesakit sendiri, keluarga dan masyarakat juga perlu terus memberi sokongan supaya mereka dapat merasakan diri masih berguna biarpun terpaksa bergelut dengan kesukaran pergerakan,” jelasnya.

Kawal peningkatan Parkinson.

Pengarah Eksekutif Kongres Parkinson Dunia Elizabeth Pollard, berkata dianggarkan hampir tujuh juta manusia di dunia menghidap penyakit ini dan dijangka ia bakal meningkat dua kali ganda menjelang 20 tahun akan datang.

"Jika tidak dikawal angka ini boleh menjadi lebih meningkat dan serius memandangkan penyakit ini bukan saja memudaratkan keadaan pesakit tapi termasuk keluarga dan sekeliling mereka. Semua perlu sedar Parkinson mempunyai ubat dan masih boleh dirawat. Oleh itu, kesedaran masyarakat penting untuk bersama membantu pesakit pulih sedia kala," katanya.

“Tujuan utama sambutan Hari Parkinson Sedunia, diraikan pada 11 April bukan saja menumpukan kesedaran kepada semua pesakit Parkinson supaya sedar bahawa lebih kerap mereka bergaul dengan masyarakat dan melakukan aktiviti luar rumah, lebih baik dan banyak membantu untuk pulih daripada penyakit terbabit," katanya

Foto
Bukan penyakit orang tua, remaja tetap berisiko dijangkiti

INFO: Parkinson

* Parkinson berlaku di kalangan lelaki dan perempuan tidak kira bangsa dan meskipun gejala ini biasa di kalangan warga tua.
* 10 peratus daripada pesakit mula menghidapnya pada usia 40 tahun.

* Penyakit itu mula dikesan sekitar 1817 oleh doktor Inggeris, James Parkinson dan menamakannya sebagai Shaking Palsy tetapi kemudian ia dikenali sebagai Parkinson.
* Masalah ketidakseimbangan dan kerap jatuh menjadi puncak kepada Parkinson.

* Batasan gerakan sebelah badan juga tanda awal perlu dititikberatkan.
* Antara tanda lain adalah termasuk kurang tumpuan, halusinasi visual, kemurungan, masalah sembelit, pening dan peluh berlebihan.

* Penyakit Parkinson adalah penyakit degeneratif sistem saraf, yang memberi kesan kepada otak, dan juga struktur sistem saraf periferal.
* Ia penyakit neurodegeneratif yang kedua lazim selepas penyakit Alzheimer yang boleh dialami oleh semua orang tanpa mengira bangsa.

* Masalah berkaitan pergerakan yang lazim bagi penyakit Parkinson ialah menggeletar (tremor) (walaupun ciri ini tidak dialami semua pesakit), ketegangan otot, dan kelembapan pergerakan atau pergerakan yang perlahan (bradykinesia).

* Kedua faktor genetik dan persekitaran menyumbang kepada risiko untuk mendapat penyakit Parkinson.
* Hanya lima hingga 10 peratus pesakit Parkinson mempunyai ahli keluarga lain yang turut diserang penyakit ini, dan itu sebabnya mengapa penyakit Parkinson biasanya dianggap penyakit sporadik dan bukan keturunan.

* Belum ada penawar ditemui dan ubatan hanya mampu mengawal dan meredakan gejala penyakit. Keadaan pesakit akan bertambah berat walaupun selepas mendapat rawatan.
* Tiada menu hidangan istimewa sebaliknya mereka memerlukan nutrisi yang mencukupi untuk menampung keperluan otak pesakit.

Tip Senaman

Berjalan adalah satu senaman baik untuk mengekalkan mobiliti dan rasa berdikari.

* Luaskan sedikit ruangan antara kedua belah kaki untuk dapatkan imbangan.
* Gunakan strategi seperti mengira atau bantuan visual untuk membantu gerakan itu.
* Beri perhatian lebih kalau berjalan di permukaan lantai tidak rata.
* Hayun tangan ketika berjalan.
* Pakai kasut yang sesuai.
* Elakkan risiko jatuh, licin dan sesak.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
Sumber: BHarian [13062013]

0 comments: