29 Ogos 2013

Universiti Al-Azhar Asal Daripada Sebuah Masjid


Pada 998 Masihi, Al-Azhar berkembang menjadi sebuah universiti Islam.

AL-AZHAR asalnya merupakan sebuah masjid sebelum berubah menjadi universiti terbesar dan termasyhur di dunia Islam, terletak di kota Kaherah, Mesir. Masjid Al-Azhar dibangun oleh penguasa Dinasti Fatimiyah pada 970 Masihi. Kemudian, bangunan tersebut juga berfungsi sebagai tempat belajar hingga peringkat universiti.

Sepanjang usianya yang sudah lebih 1,000 tahun, Al-Azhar telah beberapa kali mengalami pelbagai perkembangan, baik dari segi bangunan mahupun isi dan sistem pengajaran yang diaplikasikan. Kini masjid dan universiti itu menjadi salah satu pusat dan rujukan terpenting bagi kehidupan keagamaan dan kebudayaan kaum Muslim di seluruh dunia. Banyak mahasiswa, termasuk Malaysia, menimba ilmu di sini.


Pembangunan Al-Azhar bermula ketika Jauhar as-Siqilli, panglima perang Mu'izz Lidinillah (khalifah Fatimiyah) merancang membangun kota al-Qahirah (Kaherah), dengan sebuah masjid baru sebagai pusat peribadatan bagi khalifah al-Mu'izz dan pengikutnya.

Setelah selesai dibangun, masjid ini diberi nama Jami' al-Qahirah. Luasnya mencakupi setengah dari Masjid Al-Azhar ketika ini. Setelah beberapa lama, nama masjid ini diubah menjadi al-Azhar, yang dinisbahkan kepada nama Fatimah az-Zahra, puteri Rasulullah SAW.

Sejak pembangunannya, Masjid al-Azhar menjadi tempat pelaksanaan solat Jumaat secara besar-besaran. Penduduk berduyun-duyun datang untuk melaksanakan solat Jumaat dan mendengarkan khutbah daripada penguasa Fatimiyah.

Sesuai dengan aliran Syiah yang dianut, maka bentuk azan dan khutbah di Masjid al-Azhar pada masa itu mengikuti model yang berkembang dalam Islam Syiah. Masjid ini juga menjadi pusat perayaan hari-hari besar Islam oleh penguasa Fatimiyah.

Darul Hikmah

Pada 1005 Masihi, Khalifah al-Hakim memerintahkan pembangunan masjid yang kemudian diberi nama Masjid Al-Hakim. Bersamaan dengan itu, ia juga mengarahkan pembangunan sekolah dengan nama Darul Hikmah yang khusus mengajarkan doktrin Syiah. Dengan adanya sekolah ini, corak sectarian berkurang dalam pendidikan di Al-Azhar. Sebagai gantinya, Al-Azhar diubah menjadi tempat pendidikan yang bersifat umum. Di sini ajaran-ajaran bukan Syiah juga diajarkan.

Setelah Al-Azhar dibangun, al-Mu'izz memerintahkan kadinya, Ali bin al-Nu'man untuk membentuk halaqah (kelompok belajar) yang mempelajari fikh Syiah Ismailiyah. Halaqah pertama bermula pada 975 Masihi.

Pada 998 Masihi, Al-Azhar berkembang menjadi sebuah universiti Islam.

Khalifah Al-Aziz bersetuju dengan usul Ibnu Killis, salah seorang menteri untuk menstruktur pendidikan di Al-Azhar. Ia mengusulkan pelantikan guru-guru tetap sebagai pengajar.

Calon-calon guru dididik langsung oleh Ibnu Killis. Sistem ini bakal menjadi pendidikan akademi di Al-Azhar. Selain itu, guru-guru ini mengikuti kurikulum yang sudah disusun rapi dan menerima gaji tetap daripada pemerintahan Fatimiyah.

Pada masa kekuasaan Dinasti Ayubiyah (1174 M - 1252 M) peranan tradisional Al-Azhar tidak lagi berjalan kerana Salahuddin Yusuf al-Ayyubi, penguasa Ayubiyah daripada aliran Sunni, menghapuskan pengaruh Fatimiyah yang disebarkan melalui Al-Azhar.

Ia membangun banyak madrasah lain yang mengajarkan Islam Sunni, sehingga peranan Al-Azhar menjadi amat merosot. Walaupun demikian, pengembangan pengajian di Al-Azhar tetap berjalan, meski lebih banyak bergantung pada usaha peribadi dan orang-orang yang simpati dengan pendidikan agama.

Ijazah

Konsep pemberian ijazah kepada para mahasiswa di Al-Azhar dimulai ketika Al-Azhar di bawah Dinasti Mamluk. Ijazah itu dibahagi kepada tiga jenis. Yang pertama adalah ijazah yang menunjukkan bahawa seseorang sudah dapat memberikan fatwa atau mengajar.

Kedua adalah ijazah yang diberikan kepada seseorang yang sudah dapat menghafal dan memahami suatu kitab secara menyeluruh.

Ketiga adalah ijazah yang diberikan oleh seorang sarjana Al-Azhar terkenal kepada sarjana lain yang tinggal di luar Mesir setelah kemampuannya diuji.

Pada 1896, untuk pertama kali dibentuk Idarah al-Azhar (Dewan Pentadbiran al-Azhar). Langkah pertama dewan ini ialah mengeluarkan peraturan yang membahagi masa belajar di al-Azhar menjadi dua masa: pendidikan dasar dengan ijazah asy-syahadah al-ahliyah (ijazah kelayakan) serta pendidikan menengah dan tinggi dengan ijazah asy-syahadah al-alimiyah. Masa belajar untuk masa pertama berlangsung selama lapan tahun dan masa kedua enam tahun.

Sultan Baybars

Pada masa Dinasti Mamluk, al-Azhar yang telah tidak begitu aktif selama hampir satu abad dibuka kembali. Berkat Sultan Baybars (1260 Masihi - 1277 Masihi) dan wakilnya yang amat menonjol, Izuddin Aidmur, Al-Azhar kembali bangkit dan menempatkan diri sebagai salah satu pusat terpenting dalam pendidikan Islam.

Di atas saranan Izuddin, Sultan Baybars mengumpulkan segala sumber daya dan dana untuk membangun kembali Al-Azhar, baik masjid mahupun pusat pendidikannya. Solat Jumaat dan perayaan hari-hari besar Islam kembali dilaksanakan dengan kehadiran sultan.

Dalam beberapa dekad terakhir, Al-Azhar juga mulai memperhatikan hasil-hasil yang telah dicapai oleh sarjana-sarjana ketimuran dalam bidang pengajian keIslaman dan keAraban. Al-Azhar mulai memandang perlunya mempelajari sistem penelitian yang dilakukan universiti-universiti Barat dan mengirim alumninya yang dianggap mampu untuk belajar ke Eropah dan Amerika. Pengiriman ini dilakukan dengan tujuan untuk mengikuti perkembangan ilmiah di peringkat antarabangsa.

Pada tahun 1962, Al-Azhar membuka pintunya bagi kaum perempuan dengan dibukanya fakulti perempuan yang ditempatkan di gedung-gedung baru dengan jumlah mahasiswi lebih daripada 3,000 orang.

Mahasiswa Malaysia

Sejak awal berdirinya, sistem pendidikan al-Azhar selalu terbuka bagi semua orang dari seluruh pelosok dunia yang ingin belajar. Biasanya mereka tinggal bersama guru-guru di tempat pemondokan, khusus di sekitar Al-Azhar yang disebut ruaq dan harah. Banyak mahasiswa dari Malaysia pergi belajar ke al-Azhar dan dari sana lahir banyak pemimpin Muslim di Malaysia.

Sumber: Utusan

1 comments:

Jahirah berkata...

selalu dengar pasal al-azhar tp tak tahu sejarahnya...yg pasti ramai student malaysia yg belajar kat sana gak...:)