03 Ogos 2013
‘iKnife’ Pisau Bedah Pintar Kesan Kanser
Seorang daripada penyelidik yang membangunkan pisau pintar iKnife, melakukan demonstrasi menggunakan daging haiwan di Hospital St. Mary, London.
Sekumpulan saintis berjaya mencipta sebilah pisau bedah pintar yang boleh mengesan sama ada tisu yang dipotong mempunyai kanser dalam tempoh beberapa saat.
Pisau canggih itu, iKnife yang dicipta saintis di Kolej Imperial London, membolehkan doktor mengurangkan bilangan pembedahan untuk membuang sel kanser.
Teknologi itu, secara berkesan menggabungkan pisau pembedahan elektrik yang memotong menerusi tisu menggunakan haba dengan jisim spektrometer untuk analisis kimia, juga ditunjukkan berupaya membezakan daging lembu daripada kuda.
Kebiasaannya, pakar bedah sukar untuk mengenal pasti tisu yang masih elok atau tisu yang rosak akibat kanser, menyebabkan sel penyakit tersebut masih tertinggal pada tisu pesakit.
Situasi berkenaan membuatkan pesakit kanser terpaksa menjalani pembedahan kali kedua bagi membuang sel-sel tersebut.
Satu perlima daripada pesakit barah yang menjalani pembedahan membuang ketulan barah memerlukan pembedahan kedua.
Namun dengan iKnife ciptaan saintis Zoltan Takats dan kumpulannya, pisau berteknologi tinggi terbabit boleh mengesan sel kanser yang tertinggal dan memotong bahagian tisu yang berjangkit dengan menggunakan arus elektrik.
Pisau bedah baru, ‘iKnife’ direka untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera mengambil sampel asap ketika tisu dipotong menggunakan arus elektrik untuk melihat jika ia mempunyai kanser.
Dalam kajian pertama untuk menguji peralatan itu ke atas pesakit, iKnife mendiagnos sampel tisu daripada 91 pesakit dengan 100 peratus ketepatan, lapor penyelidik Sains Perubatan Terjemahan di Imperial College.
Seorang saintis menguji penggunaan pisau pintar yang mampu mengesan tisu sel barah.
Buat masa ini, tisu yang diambil daripada pesakit akan dihantar ke makmal sementara pesakit masih di bawah pengaruh ubat bius dan setiap analisis akan mengambil masa selama setengah jam.
Bagaimanapun, dengan iKnife, proses tersebut hanya mengambil masa tiga saat sahaja.
Ia melakukannya dengan menganalisis maklumat biologi diberi daripada tisu terbakar dan membandingkan penemuan itu dengan satu pangkalan data cap jari biologi daripada tumor dan tisu sihat.
Zoltan Takats dari Imperial College, yang mencipta peralatan itu, berkata beliau mensasarkan untuk mengujinya dalam kajian seperti itu, membabitkan antara 1,000 dan 1,500 pesakit dengan pelbagai jenis kanser.
Proses percubaan itu kemungkinan mengambil masa dua atau tiga tahun dan setelah itu barulah iKnife diserahkan untuk mendapatkan kelulusan, memberi laluan untuk mengkomersialkannya. Takats yakin hasil ciptaannya itu boleh membantu pakar bedah memudahkan kerja mereka.
"Kos pembuatan iKnife menelan belanja 200,000 pound (RM973,419), tetapi harganya akan diturunkan apabila dikomersialkan nanti," katanya.
Sumber: Utusan [20072013], BHarian [2013/07/21]
Labels:
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 comments:
wow hebat hebat
teknologi perubatan semakin maju dan ini bermaksud kos perubatan juga makin meningkat...
sebilah pisau pun dah berharga hampir satu juta...
Setiap penyakit kan ada ubatnya.. cuma para ilmuwan kena terus mancari penawarnya.. tapi kosnya sememangnya tak dapat dinafikan...
Catat Ulasan