Nuff Atas

09 Ogos 2013

Istiqamah Selepas Ramadan



SYAWAL adalah bulan kemenangan bagi umat Islam. Aidil Fitri diraikan bagi menggambarkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana dikurniakan kesempatan untuk memaksimumkan keseluruhan bulan Ramadan dengan penuh keinsafan dan kesungguhan.

Kemenangan yang disambut adalah disebabkan usaha dan kesungguhan untuk mengekang hawa nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika berpuasa. Kemenangan ini juga disambut kerana kejayaan melawan perasaan malas dalam melakukan ibadah.

Oleh kerana itu, umat Islam menyambut Syawal dengan membesarkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: ...Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.(al-Baqarah: 185)


Bulan Ramadan telah pun berlalu. Namun, apakah amalan puasa yang kita jalani pada bulan tersebut di terima Allah? Atau puasa kita hanya menjadi sia-sia sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah r.a, Sabda Rasulullah SAW: "Berapa ramai daripada orang berpuasa yang tiada mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga dan berapa ramai yang berjaga malam tiada mendapat apa-apa daripada bangunnya kecuali letih kerana berjaga" (riwayat Ahmad)

Salah satu indikator untuk kita melihat sama ada puasa yang kita kerjakan diterima oleh Allah SWT atau tidak ialah dengan melihat amalan yang dilakukan selepas Ramadan. Ini kerana, amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadan sepatutnya dapat membentuk jiwa sebagai seorang 'abid yang istiqamah dalam melakukan ibadah.

Walaupun terdapat ibadah-ibadah yang khusus untuk bulan Ramadan sahaja dan tidak harus dilakukan pada bulan yang lain, namun ibadah-ibadah seperti puasa sunat, qiamullail dan tadarus al-Quran boleh diteruskan.

Yang paling penting sekali ialah akhlak yang telah dibentuk dalam bulan Ramadan perlu dikekalkan dalam bulan yang lain seperti mudah menderma, menjaga mulut daripada mengumpat dan memfitnah, menjaga mata dan telinga daripada perkara haram dan sebagainya.

Kita telah menjaga kesemua anggota kita termasuk mulut kita daripada memperkatakan yang dusta dan sia-sia bagi menyahut seruan Nabi SAW: Barang siapa yang berpuasa tidak meninggalkan perkataan dusta, perkataan sia-sia dan beramal dengannya maka tiadalah hajat bagi Allah untuk menyuruh dia meninggalkan makan dan minumnya (iaitu puasa). (riwayat al-Bukhari)

Sumber: Utusan

1 comments:

Harith Iskandar berkata...

yg sy tau akhlak sy blom ckup smpurna hurmmm :/ xtau lah kenape huhu