Nuff Atas

10 Ogos 2013

Memaafkan Beri Ketenangan


SAMBUTLAH lebaran dengan saling bermaafan melupakan sengketa dan amarah sebelum ini.

Di samping keghairahan menyambut hari raya Aidil Fitri, kita juga tidak lupa budaya bermaaf-maafan sesama saudara Islam lebih-lebih lagi antara ahli keluarga sendiri. Pada hari mulia inilah, kita seharusnya melupakan persengketaan atau sikap bermasam muka.

Mungkin ada kejadian ibu bapa terasa hati dengan anak, si abang marah dengan sikap adiknya, menantu menjeruk hati dengan ibu mertua atau kejadian bertegang urat dengan jiran.

Janganlah kita lupa hakikat bahawa walau apa pun yang terjadi, ahli keluarga, jiran tetangga dan sanak saudara adalah mereka yang paling dekat dan rapat dengan kita.


Ibu bapa merupakan insan yang membolehkan kita melihat dunia dan membesar menjadi insan berguna. Mertua pula adalah mereka yang bertanggungjawab memberikan kehidupan kepada pasangan anda.

Sanak saudara dan ipar-duai mungkin tidak menyumbang banyak kepada kehidupan anda, tetapi mereka ialah rantaian darah daging anda. Walau ke mana anda pergi, walau ke mana anda lari, hubungan darah antara anda dan mereka tidak boleh dinafikan. Bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus.

Ikhlas dan hati akan tenang

Lantas, sempena dengan ketibaan Syawal ini, ikhlaskan hati, senyum dan maafkanlah insan-insan yang telah menjerukkan hati anda.

Walau kesalahan mereka setinggi langit atau seluas lautan sekalipun, maafkanlah. Sedangkan Allah yang Maha Esa mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya. Nabi Muhammad SAW juga mengampunkan umatnya, jadi siapalah anda untuk menghukum seseorang tanpa memberikan kemaafan.

Jika ada yang berkeras untuk enggan memberikan kemaafan, biarlah mereka dengan keegoan mereka. Walaupun mereka tetap menyalahkan anda jangan anda turut berkeras untuk tidak memaafkan mereka walau hakikatnya anda tidak bersalah.

Allah lebih tahu siapa yang benar. Insya-Allah, satu hari nanti, kebenaran pasti terserlah, jika bukan di dunia tetapi di akhirat nanti. Anda tidak akan hina di sisi-Nya jika memaafkan mereka. Pengadilan Allah yang Maha Kuasa lebih baik daripada pertimbangan manusia.

Apabila anda dengan rela memaafkan, hati akan akan lebih tenang. Anda tidak akan kisah jika berhadapan dengan mereka. Anda pasti mampu bersahaja seperti tidak pernah ada kelukaan yang anda alami.

Memang sukar melupakan. Ada ketikanya, hati telah memaafkan namun kesakitan masih terasa apatah lagi apabila bertentang mata dan bersemuka dengan penyebabnya. Jika itu berlaku, ingatlah Allah. Ingatlah bahawa Dia lebih tahu segalanya.

Pada masa yang sama, berdoalah agar mereka berubah, tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. Paling penting, anda tidak mengikut jejak mereka menyakiti hati orang lain dengan sengaja.

barangkali ada manusia yang akan berasakan dirinya menang apabila anda bersikap memaafkan. Biarlah anda bersikap mengalah kerana hakikatnya anda tidak kalah. Anda tidak rugi apa-apa apabila memaafkan mereka dan menerima kesilapan mereka.

Percayalah, hati dan jiwa anda akan lebih tenang dan bahagia setelah memaafkan.

Amalkanlah saranan Rasulullah SAW sebagaimana perumpamaan berikut: "Jika orang membaling batu ke arah kita, hulurkanlah pisang ke arahnya."

Sumber: Kosmo

1 comments:

Harith Iskandar berkata...

sy cuba walaupun sy ni pendendam org nyer :)