15 Ogos 2013

Teori Lapan Gelas Air Minuman Sehari

Teori 8 gelas air

Ada orang kata, jangan minum air banyak-banyak bimbang perut menjadi kembung. Pesanan orang tua ini sering kali dijadikan pedoman terutama buat ibu bersalin ketika dalam tempoh berpantang kerana dikhuatiri badan naik mendadak ibarat belon selepas tamat tempoh itu.

Sedangkan ada pula pendapat yang menyarankan minum lapan gelas air sehari untuk kesihatan dan kesegaran tubuh.

Hakikatnya, air sangat penting dalam kehidupan manusia dan hampir 75 peratus air berada dalam otak manusia. Minum air yang sudah dimasak dengan kerap baik untuk membuang segala toksin.


Malangnya, masih ramai yang tidak faham istilah minum air sebanyak lapan gelas sehari dengan lebih kerap. Pandangan itu diambil begitu saja tanpa memahami kaedah meminum air dengan tepat.

Jika pengambilan air tidak dilakukan secara berterusan maka badan dan otak menjadi lemah. Ini kerana mereka yang minum air, walau hanya setengah gelas pada setiap jam akan mendapati diri mereka begitu bertenaga.

Baru-baru ini, Jurnal Psikologi Amerika mendedahkan tidak terdapat bukti saintifik yang menyokong teori lapan gelas sehari kerana sepatutnya kuantiti air diambil sekerap mungkin.

Dibimbangi apabila ramai percaya lapan gelas air sudah mencukupi, hanya kuantiti itu diambil pada waktu pagi dengan andaian jumlah lapan gelas itu sudah mencukupi. Jadi, tidak perlu lagi meneruskan minum air pada sebelah petang mahupun malam.

Ia mengundang bahaya jika pengambilan air tidak dilakukan secara berterusan kerana badan dan otak menjadi lemah. Ini kerana mereka yang minum air, walau hanya setengah gelas pada setiap jam akan mendapati diri mereka begitu bertenaga.

Oleh itu, jadikan minum air sebagai hobi. Pastikan minum air sebagai aktiviti harian walaupun diakui ia menyebabkan anda begitu kerap membuang air. Ia hanya beberapa hari kerana tubuh belum biasa dengan keadaan itu dan memerlukan masa untuk penyesuaian.

INFO: Air

1) Jangan minum lapan gelas air sekali gus dan tidak mengulanginya sepanjang hari.
2) Kuantiti minum air bergantung kepada cuaca dan aktiviti anda.

3) Lebih banyak anda kehilangan air sepatutnya lebih banyak yang perlu diminum.
4) Jika minum terlalu banyak tanpa membuang air dibimbangi mengalami keracunan air atau situasi elektrolit tidak seimbang.

5) Air adalah penahan selera secara semula jadi.
6) Ingat, kekurangan air boleh membawa kepada makan berlebihan kerana otak tidak dapat membezakan antara lapar dan dahaga.

Gejala kekurangan air dalam tubuh

* Letih dan kurang tumpuan terutama - bagi tubuh yang mengandungi toksin kerana kekurangan air untuk mengeluarkannya.

* Pening - Salah satu fungsi air adalah membuang toksin dari tubuh manakala otak manusia mengandungi 75 peratus air. Oleh itu, walaupun mengalami kekurangan air sedikit, ia berpotensi menyebabkan pening.

* Sembelit - Air mampu melembutkan sesuatu yang pejal. Oleh itu najis yang keras boleh dilawaskan apabila air diminum secukupnya.

* Air kencing kotor - Hampir 180 liter air dikitar semula oleh buah pinggang setiap hari kerana ia adalah penapis bahan buangan dari darah. Tanpa air, pengeluaran air kencing akan berkurangan menyebabkan bahan buangan menjadi lebih pekat menghasilkan kencing kotor.

* Mulut berbau - Cecair tidak mencukupi di dalam mulut untuk membersihkan sisa makanan berisiko membiarkan bakteria di dalam tekak dan mulut menyebabkan mulut berbau busuk.

* Mulut kering - Situasi ini kerap berlaku apabila kurang minum kerana air liur adalah pelincir mulut. Penyahhidratan hanya mengurangkan jumlah air liur.

Oleh Nor Hatina Shuib
Sumber: BHarian [2013/07/19]

0 comments: