Dua orang anggota polis antirusuhan melepaskan tembakan peluru hidup ke arah penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi dalam operasi ketenteraan di sekitar Universiti Kaherah dan Dataran al-Nahda di Giza. - REUTERS
Pembunuhan beramai-ramai rakyat awam Mesir yang dilakukan pasukan keselamatan negara itu mendapat kecaman serta kutukan banyak pihak.
Seluruh dunia menyifatkannya sebagai jenayah kemanusiaan terkutuk, lebih-lebih lagi ia dilakukan pasukan keselamatan yang sepatutnya menjaga keamanan serta ketenteraman negara.
Sebaliknya, tentera dan polis menggempur dua buah kubu kuat penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi, menembak orang awam tanpa belas kasihan sehingga mengakibatkan beribu-ribu kematian.
Melihatkan kepada angka kematian 2,200 nyawa yang dikeluarkan pergerakan Ikhwanul Muslimin, skala pembunuhan besar-besaran itu merekod jenayah kemanusiaan paling buruk dalam sejarah.
Serangan dari semua penjuru menggunakan helikopter, penembak tepat, peluru hidup, gas pemedih mata dan jentolak, memperlihatkan lagi 'kesungguhan' kerajaan sementara Mesir yang betul-betul mahu menghapuskan penyokong Mursi, dan bukan hanya sekadar mahu mengusir mereka.
Kekejaman itu juga oleh dianggap sebagai insiden paling kejam kerana pembunuhan rakyat Mesir ditaja oleh kerajaannya sendiri.
RAKYAT Mesir menangisi kematian saudara-mara mereka di Masjid Al-Fatah di Kaherah.
Perdana Menteri Britain, David Cameron mengutuk kejadian pembunuhan beramai-ramai tersebut dengan menyatakan negaranya tidak menyokong keganasan seumpama itu.
"Kami mengutuk sepenuhnya kejadian ini, ia tidak akan membantu menyelesaikan sebarang masalah,'' katanya.
Menteri Luar Australia, Bob Carr turut mengutuk keganasan tersebut dan meminta semua pihak terbabit dalam kejadian itu untuk bertenang.
"Pertumpahan darah yang berlaku di Mesir merupakan satu kejadian tragik,'' katanya.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu malah dianggap Perdana Menteri sementara Mesir, Hazem el-Beblawi sebagai satu langkah 'mempertahankan diri' oleh tentera dan polis.
Hazem malah menyatakan, kerajaan akan meneruskan pendekatan ketenteraan menjelang pilihan raya umum yang dijadual pada tahun depan.
Menteri Dalam Negeri Mesir, Mohamed Ibrahim dalam pada itu turut berikrar untuk mengembalikan keselamatan era bekas Presiden Hosni Mubarak di negara ini.
"Saya berjanji setelah situasi di Mesir kembali stabil, keamanan akan dikembalikan seperti sebelum 25 Januari 2011," katanya yang merujuk kepada hari sebelum tercetusnya gelombang kebangkitan rakyat pertama di negara ini yang menumbangkan Mubarak.
Apa yang pasti, tindakan kekerasan pasukan keselamatan itu menunjukkan orang yang paling berkuasa di Mesir kini ialah Ketua Tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi.
Penganalisis membayangkan, pilihan raya umum yang bakal diadakan di negara itu tahun depan tidak akan berjalan dengan adil dengan kerajaan Mesir akan diperintah mengikut kehendak Sisi.
Malah, ada antara penganalisis menyatakan bahawa Sisi kini boleh dianggap sebagai 'Raja Mesir' berikutan kuasa yang diberikan kepada pasukan keselamatan tersebut.
Tragedi berdarah itu turut menimbulkan spekulasi bahawa konflik di Mesir hanya akan bertambah buruk sehingga berkemungkinan menjadi perang saudara, sekali gus menjejaskan usaha perdamaian di antara penyokong Mursi dengan pihak sekular, tentera, serta golongan Kristian.
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI dan ZULKIFLI SAINUDDIN
Sumber: Utusan
KAHERAH 14 Ogos - Tindakan menggempur dua buah kem utama penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi di sini, merupakan satu operasi yang dirancang rapi.
Pasukan keselamatan bersama kereta perisai, jentolak, helikopter beserta penempak tepat dilapor mula menggempur para penyokong Mursi seawal pukul 7 pagi waktu tempatan dengan serangan bertubi-tubi dilakukan dari semua penjuru.
Seorang penyokong bekas Presiden itu, Saleh Abdulaziz, 39, berkata, helikopter yang berlegar-legar menggugurkan gas pemedih mata, sementara jentolak merempuh sekatan jalan raya yang dibina mereka.
"Pasukan keselamatan tetap melepaskan tembakan ke arah orang ramai walaupun ada di antara kami yang merayu," katanya yang mengalami kecederaan.
Keganasan yang berlaku turut merebak ke beberapa lokasi lain termasuk bandar-bandar di Delta Nil iaitu Minya dan Assiut, Iskandariah di utara Mesir, Fayoum di selatan Kaherah serta di Suez.
Operasi tersebut bagaimanapun gagal menggentarkan penyokong Mursi kerana tujuh jam selepas operasi dilancarkan, orang ramai terus berkumpul di jalan- jalan sambil mengibarkan bendera sambil tentera cuba menyuraikan mereka. - AGENSI
Sumber: Utusan
Pembunuhan beramai-ramai
Mayat penyokong Mohammed Mursi yang terbunuh selepas digempur pasukan tentera Mesir.
KAHERAH 14 Ogos - Kira-kira 2,200 maut, sementara lebih 10,000 yang lain cedera selepas pasukan keselamatan Mesir bertindak melancarkan operasi pembersihan di dua buah kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi.
Angka tersebut dikeluarkan pergerakan Ikhwanul Muslimin oleh jurucakapnya, Gehad El-Haddad menerusi akaun Twitter beliau.
Al-Jazeera menyatakan, seramai 94 maut akibat operasi tersebut, sementara Reuters pula meletakkan angka korban sebanyak 95 orang.
Dalam tindakan kekerasan terbaharu hari ini, pasukan keselamatan yang disokong dengan kereta perisai, helikopter, penembak tepat serta jentolak bertindak menggempur kem penyokong Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al- Nahda di Kaherah.
Mereka menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan bunyi tembakan turut kedengaran, lapor televisyen dan pegawai keselamatan.
Seorang koresponden AFP di bilik mayat di kem Rabaa al-Adawiya berkata, kebanyakan mangsa maut akibat terkena tembakan.
KEADAAN masjid Rabaa al-Adawiya yang musnah terbakar selepas pihak tentera mengambil tindakan untuk membersihkan pusat perhimpunan dan menyuraikan penunjuk perasaan yang telah menguasai kawasan tersebut selama berminggu-minggu.- AP
Ikhwanul Muslimin dalam pada itu menggesa rakyat Mesir beramai- ramai turun ke jalan raya bagi mengecam pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Ini bukanlah cubaan untuk menyuraikan penunjuk perasaan, tetapi cubaan berdarah untuk menghapuskan semua suara yang menentang rampasan kuasa oleh tentera," tulis Haddad dalam Twitternya.
Di kem penunjuk perasaan di Rabaa al-Adawiya, tempat beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin berkumpul, pertempuran sengit berlaku dengan bunyi tembakan kedengaran.
Pasukan keselamatan mengelilingi kem tersebut sejak awal pagi tadi sebelum melepaskan gas pemedih mata dan menggempur beribu- ribu penunjuk perasan pro-Mursi.
Ini adalah permulaan kepada operasi untuk menyuraikan penunjuk perasaan," kata seorang pegawai keselamatan sambil mengesahkan langkah sama turut diambil di Dataran al-Nahda. - AFP
Sumber: Utusan
Ikhwanul Muslimin berikrar tumbangkan tentera
Seorang lelaki berjalan melalui serpihan-serpihan kemusnahan di Dataran Rabaa al-Adawiya, sehari selepas pihak berkuasa Mesir menggempur kawasan tersebut. - AFP
KAHERAH 15 Ogos - Pergerakan Ikhwanul Muslimin Mesir berikrar akan 'menumbangkan' rampasan kuasa oleh tentera negara ini.
Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, pergerakan itu akan terus mengadakan bantahan secara aman yang merujuk kepada tunjuk perasaan selepas beribu-ribu pengikutnya maut apabila pasukan keselamatan melancarkan operasi pembersihan ke atas dua kem demonstrasi utama semalam.
"Kami tidak akan mengambil tindakan ganas dan kekal mengadakan demonstrasi secara aman. Kami akan kekal kuat dan terus membantah.
"Kami akan terus mara sehingga kami menumbangkan rampasan kuasa tentera ini,'' kata beliau dalam akaun Twitternya.
Pasukan keselamatan melancarkan operasi tersebut di dua kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi yang menyaksikan beribu-ribu orang maut.
Sementara itu, meskipun perintah berkurung dikuatkuasakan, tunjuk perasaan dan pertempuran dilaporkan berlaku di beberapa tempat di Mesir antara penyokong pro-Mursi dan pasukan keselamatan.
Ikhwanul Muslimin dalam laman webnya mendakwa bahawa tunjuk perasaan diadakan di bandar Iskandariah dan dua lagi di wilayah utara Mesir.
Agensi berita Asia Barat turut melaporkan beribu-ribu penyokong Mursi berkumpul di luar masjid di timur Kaherah.
Perdana Menteri sementara Mesir, Hazem el-Beblawi dalam pada itu sebagai mempertahankan tindakan kekerasan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah 'mempertahankan diri' oleh pasukan keselamatan.
Hazem malah menyatakan, kerajaan akan meneruskan pendekatan ketenteraan menjelang pilihan raya umum yang dijadual pada tahun depan. - AGENSI
Sumber: Utusan
Pembunuhan beramai-ramai boleh dielak - ElBaradei
Seorang wanita duduk meratapi kematian anak perempuannya, ketika jenazah-jenazah yang telah dikapankan disusun di sebuah masjid di Kaherah, Mesir. - AFP
KAHERAH 15 Ogos - Naib Presiden Mesir, Mohammed ElBaradei mengumumkan peletakan jawatannya dalam sepucuk surat kepada Presiden sementara, Adly Mansour selepas operasi pembersihan ke atas dua buah kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi.
Keadaan sudah menjadi terlalu sukar untuk saya terus menanggung tanggungjawab ke atas keputusan yang tidak saya persetujui dan kesannya membimbangkan saya, katanya.
ElBaradei berkata, beliau tidak dapat menerima kehilangan jiwa tersebut kerana tragedi berdarah tersebut boleh dielakkan.
Mereka yang mencapai sebarang faedah ke atas apa yang berlaku hari itu merupakan mereka yang meminta keganasan berlaku iaitu kumpulan pelampau, katanya.
Kementerian Kesihatan Mesir hari ini mengumumkan sekurang-kurangnya 525 orang termasuk 421 orang awam dan 43 anggota polis terbunuh dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun, jurucakap pergerakan Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad semalam berkata, kira-kira 2,200 orang maut dan lebih 10,000 orang lain cedera.
Dalam pada itu, Imam Besar al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb semalam menyatakan beliau hanya tahu mengenai kejadian tersebut melalui laporan media.
Tayeb menegaskan beliau menolak sebarang tindakan keganasan dan pertumpahan berdarah kerana ia bukan alternatif kepada pilihan politik.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kematian sejumlah mangsa.
Saya juga meminta semua pihak tidak melibatkan Universiti al-Azhar dalam kejadian seumpama ini, katanya dalam satu kenyataan. - AFP/AGENSI
Sumber: Utusan
Mesir tutup sempadan Rafah-Genting Gaza
PINTU sempadan di antara Rafah dengan Genting Gaza ini ditutup oleh pihak berkuasa Mesir atas alasan keselamatan.- AFP
KAHERAH, 15 Ogos - Pihak berkuasa Mesir telah menutup sempadan Rafah dengan Genting Gaza 'buat selama-lamanya' atas faktor keselamatan.
Beratus-ratus warga Palestin dibiarkan terkandas di sempadan negara itu yang merupakan satu-satunya pintu masuk ke wilayah yang ditadbir oleh Hamas.
Langkah tersebut diambil berikutan pergolakan yang semakin meruncing di Mesir selepas pasukan keselamatan mengambil tindakan keras terhadap penyokong setia bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang meragut ratusan nyawa.
Pihak berkuasa Mesir sebelum ini pernah menutup laluan sempadan itu selama beberapa hari selepas Morsi digulingkan oleh pihak tentera pada 3 Julai lalu. Bagaimanapun, laluan itu kemudiannya dibuka semula selama empat jam sehari.
Hamas secara lantang mengkritik tindakan kejam yang dilakukan oleh pasukan keselamatan di kem- kem yang didirikan oleh penyokong Morsi.
Kementerian Kesihatan Mesir semalam memberitahu, sekurang-kurangnya 525 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Mesir. - AFP
Sumber: Kosmo
Kaherah bermandikan darah
Ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong Mohamed Mursi berkeliaran menyelamatkan diri daripada peluru getah dan gas pemedih mata yang ditembak oleh polis rusuhan ketika pertempuran di jambatan menuju ke Dataran Rabba el Adwia, Kaherah 14 Ogos 2013 lalu. - REUTERS
Setelah gagal mengehadkan penyokong-penyokong bekas presiden yang digulingkan menerusi campur tangan tentera, Mesir terus menerus menerima tekanan daripada kumpulan penyokong Dr. Mohammed Mursi yang hanya sempat memerintah selama setahun lima hari sejak memenangi pilihan raya demokratik pertama selepas berundurnya bekas presiden selama tiga dekad, Hosni Mubarak pada awal tahun 2011.
Menurut laporan media, lebih dua ribu orang terbunuh dalam usaha pihak polis dan tentera menghapuskan penyokong-penyokong Mursi di beberapa buah bandar sekitar Kaherah setelah mereka mula mendesak kerajaan sementara mengembalikan kuasa selepas dirampas pada 3 Julai lalu.
Para penyokong Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhawanul Muslimin berikrar akan terus mempertahankan kemenangan yang mereka peroleh dalam pilihan raya presiden yang diadakan pertengahan Jun 2012 - hingga ke titisan darah terakhir dan sanggup berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan termasuk penghapusan beramai-ramai.
Dalam kejadian yang berlaku selepas waktu subuh ketika suasana Aidilfitri 1434 masih hangat disambut oleh umat Islam yang memasuki hari kelima (13 Ogos 2013), pihak tentera dan polis telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk keganasan (melakukan tembakan peluru) dan jengkaut untuk merobohkan khemah-khemah yang dihuni oleh penyokong Mursi.
Penyokong presiden yang digulingkan itu menuntut pengembalian kuasa awam sejak rampasan kuasa di Dataran Rabiah al-Adawiyah dan an-Nahda di Kaherah kini menyebabkan krisis di Mesir memasuki fasa baharu, iaitu menghampiri perang saudara dan hampir menyamai dengan apa yang sedang berlaku di Syria.
Jika di Syria kumpulan penentang Bashar al-Assad telah dibunuh menggunakan pelbagai jenis senjata berat termasuk kimia, kemungkinan yang sama akan berlaku di Mesir. Ini kerana penyokong Ikhwanul Muslimin semakin kental semangat juangnya dan pengalaman sedemikian sebenarnya sudah lama mereka alami, iaitu sejak pertubuhan yang diasaskan oleh Hasan al-Banna dilihat sebagai ancaman besar terhadap kepimpinan sekular yang dibayangi oleh kepentingan Barat.
Apabila pihak tentera merampas kuasa setelah beberapa rusuhan yang berlaku sejak bulan Jun lalu oleh kumpulan anak muda yang dikenali sebagai Tamarod gagal ditangani oleh Dr. Mursi, Mesir terus menerima kecaman pemimpin antarabangsa kerana cuba menamatkan semangat revolusi rakyat" yang lahir daripada kegelisahan awam terhadap pemerintah yang mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam kebangkitan semula penyokong Mursi yang berlaku selepas rampasan kuasa tentera, pihak tentera tidak bertindak dengan cara yang sama, sebaliknya menggunakan kekerasan bagi mengekang bantahan penyokong Ikhwanul Muslimin. Berdasarkan situasi itu, ramai pemerhati memberikan reaksi - sepatutnya pihak tentera dan polis tidak melakukan kekerasan, kerana masih banyak cara untuk menyelesaikan bantahan.
Akibat penggunaan kekerasan itu, Dr. Mohamad el-Baradei yang dilantik sebagai Naib Presiden dalam kabinet sementara yang dipengaruhi oleh tentera telah meletakkan jawatan dan mengecam keputusan Jeneral al-Tutsi sebagai orang yang bertanggungjawab membunuh semangat revolusi" menerusi kekerasan.
Keadaan ini, walaupun membawa kepada pengisytiharan darurat dijangka bakal menyukarkan lagi rundingan dengan penyokong Ikhwanul Muslimin meskipun beberapa hari sebelumnya, seorang tokoh al-Azhar bercadang untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik.
Pihak tentera juga dikatakan turut terkorban setelah penyokong-penyokong bangkit membantah kekejaman penggunaan jentera berat ketika meruntuhkan khemah-khemah manakala tiga orang wartawan yang hadir membuat liputan menjadikan angka kematian bertambah ramai. Jangkaan pihak Ikhwanul Muslimin, ia sudah mencapai lebih 2,500 orang sejak Mursi digulingkan manakala puluhan ribu orang lagi cedera terkena tembakan, gas pemedih mati dan dipukul oleh angkatan bersenjata.
Kemungkinan itu memperlihatkan Mesir sedang menuju konflik yang lebih besar dan lama, kerana tekad penyokong Ikhwanul Muslimin tetap mahukan Mursi diberikan semula tampok pemerintahan, kerana ia adalah pilihan rakyat dan mendapat sokongan 51.7 peratus pengundi.
Seharusnya pihak tentera tidak begitu cepat melakukan rampasan kuasa, dan memberikan kerjasama penuh kepada Mursi untuk menentukan masa hadapan Mesir kerana di awal kemenangannya, sudah ada percubaan untuk menafikan pilihan rakyat. Mursi berhadapan dengan kelengahan kerajaan sementara" yang dibentuk oleh tentera manakala ekonomi Mesir sedang berada dalam keadaan parah akibat kelumpuhan setelah kemasukan pelancong belum pulih akibat revolusi, dan sumber kewangan yang ditinggalkan oleh Hosni hampir negatif.
Percubaan kelompok sekular yang masih membayangi Hosni Mubarak inilah sepatutnya ditentang oleh pihak tentera memandangkan Jeneral al-Tutsi yang dilantik oleh Mursi menganggotai kabinet perlu bertindak sebagai pengimbang yang setia kepada prinsip demokrasi. Jeneral al-Tutsi tidak wajar memberikan sokongan kepada kelompok yang ingin menjatuhkan Mursi, kerana kelompok tersebut sebenarnya terlalu rapat hubungannya dengan kehendak Barat, termasuk mereka yang pernah membolot kekayaan ketika Hosni berkuasa.
Puak yang menaja kebangkitan revolusi kedua yang dilancarkan oleh golongan muda itu sebenarnya mempunyai hubungan langsung dengan Israel, kerana mereka sedang dibayangi oleh cerita-cerita buruk mengenai Mursi sejak beliau berusaha mengeluarkan Dikri Presiden pada bulan November 2012, bagi menjamin keputusan Presiden tidak dipertikaikan, dan menentukan Perlembagaan Mesir yang sedang dirangka tidak dicabuli dengan mudah.
Nasib malang yang menimpa Mursi telah melemahkan posisi politik yang menjadikan Islam sebagai ideologi, dan ini telah diakui oleh penganalisis politik Barat, dengan tersungkurnya Mursi, maka politik Islam telah kehilangan ideologi. Kehendak politik sekular walaupun penuh kekurangan, kecaman dan lumpuh tahap keinsanannya akan tetap mendominasi sistem pemerintahan sepanjang sejarah moden, dan itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh protocol yang telah digubal oleh tokoh Yahudi, Theodor Herzyl sejak berjaya mencipta ilusi kekejaman Hitler dalam tragedi Holocaust dan pembersihan etnik pada era pemerintahan Nazi di Jerman.
Bagaimanapun, dalam kekalutan rakyat Mesir meneruskan hidup, sebagai seorang bapa yang mempunyai dua orang anak yang masih berada di Kaherah, Muhammad Qassim dan Abdullah kerana menyambung pelajaran setelah tergendala akibat kemelut politik di Syria, penulis amat mengharapkan ketegangan yang berlaku segera dapat dipulihkan.
Harapan itu bukan merupakan harapan saya seorang, kerana lebih 500 orang pelajar Malaysia masih berada di Kaherah manakala lebih 10,000 orang lagi bakal kembali ke Mesir pada bulan September ini bagi meneruskan pengajian masing-masing setelah pulang di tanah air selepas bercuti selama tiga bulan.
Tentunya, jika memikirkan keselamatan, tidak ada ibu bapa yang tidak resah dan gelisah, kerana anak-anak itulah harapan yang disandarkan untuk masa depan, dan menerusi pendidikanlah bakal mengubah segala-galanya.
Semoga keadaan pelajar Malaysia selamat, begitulah juga dua orang anak penulis. Semoga Allah SWT jauhkan Mesir daripada kancah perang saudara dan segera reda.
Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Sumber Utusan
Perarakan bantah perintah darurat
Penyokong Presiden Mohamed Morsi mengadakan tunjuk perasaan dekat Masjid Ennour di Kaherah semalam. - Foto Reuters
Kaherah: Berpuluh ribu penyokong Ikhwanul Muslimin, berarak di jalan raya di beberapa kejiranan di Kaherah dan bandar lain di seluruh Mesir bagi menentang perintah darurat dikuatkuasakan tentera, menyusul pertempuran yang menyebabkan lebih 638 orang terbunuh.
Penunjuk perasaan membanjiri masjid selepas solat Jumaat, sebagai tanda sokongan kepada gesaan Ikhwanul Muslimin untuk menganjurkan Hari Kemarahan, ketika kenderaan tentera mengepung dataran utama di Kaherah, manakala askar lengkap bersenjatakan mesingan, berkawal di persimpangan jalan utama.
Berarak di jambatan Beribu-ribu orang lagi berarak di salah sebuah jambatan menyeberangi Sungai Nil di Kaherah, sambil melaungkan slogan menyokong Ikhwanul Muslimin menentang rampasan kuasa tentera.
Tunjuk perasaan yang semakin merebak dicetuskan kemarahan memuncak berikutan kematian 628 orang Rabu lalu, apabila polis pencegah rusuhan dibantu kereta perisai, penembak hendap dan jentolak menggempur dua lokasi tunjuk perasaan yang dikuasai penyokong presiden Mohamed Morsi yang digulingkan, sejak enam minggu lalu.
Serbuan menyebabkan pertempuran antara anggota keselamatan dan penyokong Morsi di wilayah lain di Mesir, memaksa Menteri Dalam Negeri membenarkan penggunaan kekerasan ke atas sesiapa yang cuba menyerang polis atau institusi milik kerajaan.
Mesir, negara rantau Arab paling padat penduduk, mengalami perpecahan ketara, selepas Morsi digulingkan 3 Julai lalu selepas tunjuk perasaan besarbesaran menentang beliau dan Ikhwanul Muslimin.
Penyokong Morsi berkeras mendesak pelantikan semula pemimpin itu, ketika masyarakat antarabangsa menggesa kedua-dua belah pihak mencari jalan mengakhiri pertelagahan yang berlaku.
Lebih 40 anggota polis turut terbunuh manakala berpuluh gereja diserang ketika keganasan merebak ke beberapa wilayah.
Ramai penyokong Morsi mengkritik masyarakat minoriti Kristian kerana menyokong tindakan tentera menggulingkan pemimpin itu.
Sayap politik Ikhwanul Muslimin Parti Kebebasan dan Keadilan, dalam satu kenyataan berkata kumpulan itu tidak akan berundur sebaliknya akan terus menaikkan semangat penyokongnya untuk berhimpun di jalan raya tanpa melakukan keganasan atau vandalisme. AP
70 maut keganasan baharu
Ribuan pengikut Ikhwanul Muslimin berkumpul di Dataran Ramses di Kaherah dalam satu perhimpunan besar-besaran membantah tindakan tentera menggempur kem penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi di Kaherah. - AFP
KAHERAH 16 Ogos - Sekurang-kurangnya 70 orang maut dalam pertumpahan darah terbaharu di Mesir hari ini selepas beberapa pertempuran berlaku di antara penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi dan pasukan keselamatan di bandar-bandar utama negara ini.
Menurut Ikhwanul Muslimin, 41 pengikut Mursi maut di di Dataran Ramses, medan utama mereka berhimpun, diikuti lima di Fayoum.
Reuters yang memetik sumber perubatan melaporkan, lapan penunjuk perasaan pro-Mursi terkorban di bandar Damietta, utara Kaherah apabila anggota pasukan keselamatan bertempur dengan kumpulan tersebut.
Kematian akibat pertempuran turut dilaporkan di bandar Ismailiya, Terusan Suez membabitkan lima penyokong bekas Presiden tersebut.
Di ibu negara pula, seorang anggota polis terbunuh, sementara dua yang lain cedera selepas sebuah pos kawalan diserbu kumpulan lelaki bersenjata, kata seorang pegawai keselamatan.
Menurut saksi, bunyi tembakan turut kedengaran di beberapa bandar lokasi pertempuran tercetus termasuk di Iskandariah, Beni Sueif dan Fayoum di selatan Kaherah serta di bandar Hurghada, di Laut Merah.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri hari ini membenarkan penggunaan peluru hidup oleh polis sekiranya pasukan keselamatan itu atau bangunan-bangunan kerajaan diserang.
Insiden terbaharu itu berlaku ketika beribu-ribu pengikut Ikhwanul Muslimin melancarkan perhimpunan besar-besaran selepas solat Jumaat dalam satu demonstrasi yang digelar 'Hari Kemarahan', sebagai membantah tindakan kekerasan pihak berkuasa yang mengakibatkan ribuan rakyat awam Mesir maut dalam operasi pembersihan kelmarin.
Penunjuk perasaan berarak dari masjid-masjid menuju Dataran Ramses bagi menyahut seruan jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad yang menyeru satu perhimpunan diadakan.
"Perhimpunan antirampasan kuasa hari ini yang digelar sebagai 'Hari Kemarahan' bermula di semua masjid-masjid di Kaherah menuju ke Dataran Ramsis selepas solat Jumaat.
"Kami akan terus melancarkan tunjuk perasaan sehinggalah tentera yang merampas kuasa digulingkan," tulis Gehad El-Haddad dalam Twitternya.
Keadaan dijangka bertambah buruk kerana pergerakan Tamarod yang menyokong kerajaan sementara, turut mengadakan perhimpunan di ibu negara. - REUTERS/AFP
Sumber: Utusan
0 comments:
Catat Ulasan