11 September 2013

Kereta Hibrid Menjimatkan?


Honda CR-Z yang menggunakan teknologi hibrid ~ Gambar Hiasan

Secara umumnya, kereta hibrid sangat sesuai untuk orang yang perlu menempuh kesesakan jalan raya ke pusat bandar setiap hari.

Kereta hibrid adalah sebuah kenderaan yang digerakkan menggunakan dua motor iaitu enjin petrol biasa dan motor elektrik yang dicas menerusi bateri khas dipasang dalam kereta.

Menggunakan teknologi pintar diistilahkan 'brek penjanaan semula', ketika kereta hibrid memperlahan, sistem itu menangkap tenaga brek dan menjana semula tenaga untuk mengecas bateri. Pengguna boleh menukar penggunaan enjin petrol dan bateri pada bila-bila masa, selain dinyalakan secara automatik.


Terdapat pelbagai teknologi yang wujud pada kereta-kereta hibrid di pasaran. Honda memiliki penawaran model yang terbesar iaitu Jazz Hybrid CKD, Civic Hybrid, CR-Z dan Insight manakala Toyota ada dua iaitu Prius dan Prius C serta Lexus.

Nissan memiliki enjin hibrid untuk Nissan Serena. Nissan dan Mitsubishi tidak menumpu pada hibrid setakat ini tetapi masih di peringkat pengenalan untuk kereta elektrik iaitu Nissan Leaf dan Mitsubishi i-MiEV. Beberapa jenama kereta Eropah juga menawarkan kereta hibrid tetapi itu kategori mewah.

Hibrid ini akan bernyala secara automatik apabila kereta bergerak sangat perlahan semasa kesesakan. Fungsi hibrid juga boleh dinyalakan secara manual. Secara umumnya, enjin petrol biasa semasa kesesakan menggunakan bahan api yang tinggi, maka hibrid adalah rumusan terbaik kerana menggunakan elektrik dari bateri.

Untuk benar-benar menikmati penjimatan, seseorang pemilik kereta hibrid juga harus menukar gaya pemanduan. Hibrid jimat semasa kesesakan. Tetapi jika dipacu laju di lebuh raya, kos bahan apinya sama juga seperti enjin biasa.

Malah mungkin lebih, disebabkan kereta menanggung berat tambahan bateri dan komponen khas hibrid. Seelok-eloknya pengguna hibrid membiasakan diri memandu di bawah 110 kilometer sejam. Kalau asyik nak memecut lebih, elok guna sahaja kereta biasa atau diesel.

Mengapa begitu?

Pertama, kos memiliki dan menyenggara hibrid sedikit mahal berbanding kereta biasa. Pada masa ini, kereta hibrid dijual pada harga wajar hasil insentif yang diberi kerajaan untuk kereta mesra alam sekitar.

Oleh kerana secara relatifnya teknologi hibrid masih baharu di dunia, bilangan yang dibina, dijual dan dimiliki masih di paras yang rendah, sekali gus tidak memungkinkan pengeluar kereta menurunkan harga.

Kereta hibrid lebih mahal daripada varian biasa kerana pelaburan modal yang tinggi untuk membangunkan teknologi hibrid. Terdapat syarikat yang mengeluarkan kereta hibrid murah bagi menggalakkan orang ramai memilikinya. Contoh mudah ialah Honda Jazz Hybrid CKD berharga RM89,900 dan Toyota Prius C berharga RM97,000.

Terdapat juga kebimbangan mengenai jangka hayat bateri. Difahamkan jaminan (waranti) yang diberi oleh syarikat di Malaysia lebih singkat berbanding di Eropah iaitu selama 10 tahun. Jurutera dari Jepun menyakinkan jangka hayat Prius generasi pertama misalnya, masih berfungsi dengan baik hari ini malah diguna sebagai teksi di Tokyo.

Insentif pengecualian duti import dan eksais ke atas kenderaan hibrid bersaiz 2.0 liter ke bawah akan tamat 31 Disember ini. Melainkan kerajaan bersedia melanjutkannya, kereta hibrid akan kembali lebih mahal pada 1 Januari 2014.

Dalam konteks ini, semoga kerajaan akan meneruskan dasar tersebut kerana suasana harga petrol mahal sekarang, pasti akan mendorong lebih ramai membeli kereta hibrid. Secara tidak langsung, matlamat kerajaan menggalakkan kereta mesra alam sekitar akan melangkah setapak lagi.

Satu lagi faktor positif daripada langkah itu ialah secara langsung menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan hibrid. Jualan kereta hibrid sebenarnya masih kecil iaitu sekitar 2.4 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) 627,753 unit tahun lepas.

Namun, insentif kerajaan telah membantu menambahkan jualan dari hanya 332 unit pada tahun 2010 kepada 8,334 unit pada 2011, sebelum meningkat sebanyak 84 peratus kepada 15,355 unit pada tahun lalu.

Terdapat penganalisis industri beranggapan bahawa kenderaan hibrid menjadi pilihan lebih disebabkan harganya (kesan pengecualian cukai) berbanding penjimatan kos teknologi itu sendiri, serta reka bentuk model itu sendiri yang menawan. Lihat Honda CR-Z.

Bagi yang memiliki kereta berenjin bawah 1.5 liter termasuk Perodua Kelisa 1.0 liter, Viva, Kancil atau Proton Tiara dan Savvy, adalah disarankan agar ianya dibaik pulih dengan sewajarnya dan gunakannya.

Tangki penuh Kelisa contohnya ialah 40 liter. Diisi penuh RON95 RM2.10 seliter ialah RM84 dan boleh mencapai jarak 400 kilometer dalam tempoh enam hari. Jarak tersebut tidak mungkin dicapai menerusi SUV yang tangki penuhnya 65 liter.

Seorang pemandu yang bijak ialah biar berkereta mini, asal jimat bahan api. Bagaimanapun andai anda rasa tidak bergaya memandu Kancil, belilah kenderaan hibrid.

Oleh JOHARDY IBRAHIM
Sumber: Utusan

0 comments: