12 September 2013

Sindrom Penglihatan Komputer (CVS)


Diancam CVS kerana terlalu lama duduk di depan komputer

Sakit belakang, sakit kepala, leher, bahu, penglihatan kabur, bebola mata kemerahan, kekeringan mata selepas berjam-jam berada di hadapan komputer adalah gejala biasa.

Mungkin ada yang tidak kisah dengan keadaan itu. Tetapi jika dibiarkan berterusan tanpa mengambil sebarang rawatan ia mungkin mendatangkan mudarat lebih parah.

Jangan terkejut, selepas membuat pemeriksaan doktor, anda didapati mengalami Sindrom Penglihatan Komputer (CVS). CVS (computer vision syndrome) adalah sindrom masalah mata dan penglihatan disebabkan oleh penggunaan komputer terlalu lama serta dialami oleh individu yang berasa tidak selesa pada mata dan kurang jelas ketika melihat skrin komputer.


Dalam dunia tanpa sempadan ini, penggunaan komputer dan gajet adalah satu gaya hidup tidak kira dalam kalangan pekerja, pelajar atau kanak-kanak seawal usia menggunakannya untuk pelbagai aktiviti.

Bagaimanapun, ketekunan menghadap komputer ini akan membuatkan kesihatan mata terjejas dan emosi terganggu apabila gejala CVS melanda. Walaupun ada yang menyedari berada terlalu lama di hadapan komputer akan merosakkan dan menjejaskan kesihatan mata, tanggungjawab sebagai pekerja atau pelajar membuatkan komputer ibarat sahabat baik dan sukar dipisahkan.

Agak membimbangkan, kesan sindrom yang mengancam jutaan pengguna komputer itu turut menjadi antara sebab masalah rabun awal dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, ia perlu ditangani sebaik mungkin.
Masalah generasi digital

Saranan seperti cuba mengelakkan duduk terlalu lama di hadapan komputer dan kerdipkan mata sekerap mungkin di hadapan komputer, dilihat membantu meringankan gejala CVS.

Realitinya, apabila mata berkerdip ia sebenarnya membantu melembapkan mata yang kering akibat terlalu fokus pada skrin komputer atau tumpuan terhadap gajet lain.

Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO), Murphy Chan, berkata kira-kira 60 peratus penduduk dunia mengalami satu daripada gejala CVS atau lebih atau pada bila-bila masa saja hanya dalam sehari.

Katanya, peratusan 60 peratus itu diperoleh bagi pengguna komputer yang menggunakan komputer melebihi tiga jam sehari tanpa rehat.

“Gejala ini semakin biasa dialami oleh generasi muda, termasuk kanak-kanak disebabkan mereka sentiasa terdedah kepada pelbagai gajet termasuk komputer, tablet dan telefon pintar. Mereka disifatkan sebagai generasi digital.

“Saya juga boleh katakan, sesiapa saja pernah dan terus mengalami gejala CVS seperti sakit belakang dan bahu atau mengalami kemerahan dan kekeringan pada mata. CVS berlaku dalam kehidupan seharian manusia.

“Ketika di tempat kerja, kita terlalu dekat dengan skrin komputer tanpa rehat mencukupi. Selain itu, sebagai pekerja, kita terlalu berterusan fokus dengan kerja yang menghadap komputer. Masa yang diambil pula panjang.

“Di rumah pula, jika tidak menggunakan komputer sama ada remaja atau kanak-kanak, tumpuan mata diteruskan pula dengan gajet dan telefon pintar tanpa rehat. Ibu bapa mungkin beranggapan dan fikir mudah, dengan memberikan anak bermain gajet mereka tidak bising dan mengganggu mereka. Sebab itulah anak kecil pun ada mengalami masalah rabun,” katanya.

Mata Jarang Berkelip

"Kajian menunjukkan apabila seseorang itu terlalu tertumpu kepada skrin komputer, mata akan jarang berkelip.

"Ini akan menyebabkan mata menjadi kering,'' tambah beliau.

Chan berkata, kanak-kanak hari ini menghabiskan banyak masa di depan komputer menyebabkan otot-otot berhampiran mata menjadi penat.

Ibu bapa pula ujarnya, kebiasaannya memberikan anak-anak i-pad sebagai bahan mainan bagi mempastikan anak-anak tidak meragam dan mengganggu mereka.

Sebab itu tidak hairanlah ramai mengalami masalah rabun jauh pada usia muda, malah sesetengahnya seawal enam tahun.

Di Asia ,kata Chan, satu daripada tiga orang kanak-kanak mengalami rabun jauh. Jika tidak dirawat dan dibiarkan akan menyebabkan masalah yang lebih rumit.

Menurut beliau, bagi kanak-kanak yang memakai cermin mata, kuasa cermin mata mereka semakin meningkat dan membimbangkan. Lebih-lebih lagi jika kanak-kanak itu dibiarkan menghadap komputer dan gajet terlalu lama.

Jelas beliau, selagi mata boleh dibuka, orang akan terus menghadap komputer. Mereka hanya akan berehat jika mata terlalu letih dan tidak boleh dibuka lagi. [Utusan]

Selain dua faktor itu, Murphy berkata, alam sekeliling juga mengaitkan CVS dengan pengguna. Bekalan cahaya yang tidak mencukupi di pejabat antara sebab kepada gejala CVS apabila mata perlu fokus akibat kekurangan cahaya.

“Keadaan komputer yang mengalami kontras rendah menyebabkan mereka yang bekerja dalam waktu panjang, mengalami CVS, selain berada dalam keadaan tidak selesa sepanjang masa,” katanya turut berharap penggunaan komputer diaplikasi dengan cara betul.


CVS, Penyakit Generasi Gajet Digital

INFO:

Panduan penjagaan mata ketika berhadapan komputer:

* Berkelip selama 20 saat selepas 20 minit berhadapan dengan komputer.
* Jangan terlalu fokus kepada skrin terlalu lama. Pastikan berhenti seketika.

* Gunakan lampu bilik yang baik dan terang.
* Sesuaikan pencahayaan dan kontras komputer.

* Lakukan penambahbaikan kepada skrin komputer.
* Berkerdip sekerap mungkin bagi melembapkan mata.

* Pastikan berehat selepas menggunakan komputer.
* Jangan menggunakan komputer melebihi empat jam tanpa henti.

* Lakukan senaman mata.
* Jarakkan diri anda dengan komputer.

* Bayi berusia enam bulan, kanak-kanak dan pelajar pra sekolah sudah sepatutnya perlu menjalankan pemeriksaan mata.

Oleh Nor Hatina Shuib
Sumber: BHarian [2013/09/05]

0 comments: