Nuff Atas

29 Oktober 2013

Aplikasi Satelit Pencerapan Bumi


Peta Suhu Permukaan Laut (SST) yang menunjukkan suhu laut bagi tujuan penangkapan ikan.

MENURUT kajian, perkataan remote sensing (penderiaan jauh) telah digunakan pertama kali oleh seorang ahli geografi pada tahun 1960an untuk penyelidikan tentera laut di Amerika Syarikat.

Ketika itu, teknologi tersebut digunakan untuk tujuan ketenteraan dan skopnya telah berubah kini yang telah digunakan secara meluas kepada masyarakat.

Teknologi remote sensing dikaitkan dengan penggunaan satelit. Namun aktivitinya telah lama dijalankan iaitu pada tahun 1859 dengan mengambil gambar permukaan bumi pada suatu jarak tertentu menggunakan belon udara panas di lokasi berdekatan Paris.


Terdapat juga gambar-gambar dari udara yang diambil sebagai kesan sampingan daripada Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Titik permulaan dalam merancakkan lagi penggunaan remote sensing apabila sistem radar dan sistem terma infra dicipta.

Apabila satelit LanSAT-1 telah dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1972, bumi dapat dilihat sebagai sebuah bentuk muka bumi yang luas pada satu-satu masa.

Penambahbaikan terus dilakukan dari masa ke semasa seiring dengan pembangunan arus teknologi terkini untuk memperolehi maklumat atau data yang tepat untuk kegunaan bidang yang berkaitan.

Maksud remote sensing

Penulisan oleh Charles Elachi dan Jacob J van Zyl (2006) mentafsirkannya sebagai satu kaedah pengukuran bagi mendapatkan maklumat tentang permukaan bumi tanpa benar-benar berhubungan dengannya.

Geospatial pula lebih merangkumi keseluruhan aspek bermakna data atau maklumat yang menentukan lokasi dan ciri-ciri alam semulajadi atau buatan manusia di bumi termasuklah remote sensing, sistem maklumat geografi (GIS) dan sistem kedudukan global (GPS).

Ini bermakna remote sensing adalah antara cabang geospatial. Kaedah pengukuran remote sensing dijalankan dengan menerima dan merekod tenaga sama ada yang dipancarkan (emitted) atau dipantulkan (reflected) oleh permukaan bumi.

Komponen asas kaedah pengukuran remote sensing memerlukan sumber tenaga elektromagnetik, permukaan yang dicerap, dan sensor. Sumber tenaga elektromagnetik itu adalah sama ada daripada matahari atau satelit itu sendiri. Ini bergantung kepada jenis tenaga yang dipantau.

Permukaan yang dicerap oleh sistem remote sensing yang berguna bagi bidang perikanan dan nelayan, adalah permukaan laut. Sensor biasanya dipasang pada satelit. Ia juga boleh dipasang pada kapal terbang.

Tenaga elektromagnetik yang melalui atmosfera dari matahari atau satelit akan berinteraksi dengan atmosfera. Interaksi dengan atmosfera yang berlaku adalah serakan dan serapan. Ini boleh berlaku dua kali jika tenaga bergerak dari sumber matahari ke permukaan dan kemudian kepada sensor satelit.

Tenaga elektromagnetik tersebut boleh juga dipengaruhi oleh sasaran. Ia boleh diserap, digambarkan, atau boleh melepasi sasaran. Semua ini seperti kesan penyerakan, penyerapan dan pantulan yang boleh memberikan kesan dan menjejaskan kualiti data remote sensing.

Selepas sensor menerima tenaga elektromagnetik, ia dihantar ke stesen penerimaan dan pemprosesan di mana ia ditukarkan kepada data digital yang kemudiannya ditukar menjadi imej (carta) dengan menggunakan model komputer.

Akhirnya, imej ditafsirkan untuk mendapatkan maklumat mengenai sasaran.

Tenaga elektromagnetik dalam bentuk gelombang cahaya dan gelombang mikro (microwave) adalah jenis tenaga yang sering di ukur oleh sistem remote sensing bagi tujuan oseanografi.

Terdapat tiga jenis cahaya di dalam spektrum electromagnet iaitu ; ultraviolet, sinar nampak (visible) dan inframerah (infrared).

Cahaya sinar nampak (visible) adalah sering digunakan bagi mencerap Warna Permukaan Laut (Sea Surface Colour), manakala sinar infra merah pula digunakan untuk mencerap Suhu Permukaan Laut (Sea Surface Temperature, SST) dan gelombang mikro digunakan bagi mencerap Ketinggian Permukaan Laut (Sea Surface Height, SSH).

Semua maklumat ini boleh digunakan oseanografer dan nelayan bagi menentukan kawasan yang berpotensi tinggi mempunyai ikan dan produktiviti tinggi. Warna Permukaan Laut/Sea Surface Color (SSC).

Peta atau carta warna permukaan laut boleh dihasilkan daripada teknologi remote sensing. Warna permukaan laut memberikan petunjuk dan mendedahkan kandungan klorofil-a atau pigmen biru-hijau yang menunjukkan kehadiran fitoplankton di sesuatu lokasi lautan.

Fitoplankton adalah pengeluar utama di lautan. Plankton di lautan menggunakan cahaya matahari dan nutrien, bersama-sama dengan klorofil-a, untuk proses fotosintesis bagi pengeluaran makanan untuk pertumbuhan serta pembiakan.

Organisma hidup yang lain di laut bergantung kepada pertumbuhan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk pertumbuhan dan pembesaran serta pembiakan.

Ikan pemangsa yang besar seperti tuna, bagaimanapun, tidak memakan plankton alga. Ikan yang besar akan memakan ikan-ikan kecil dan invertebrate, yang memakan haiwan plankton, manakala haiwan plankton pula memakan plankton alga. Ini adalah rantaian makanan di laut luas.

Kehadiran klorofil juga boleh menjadi penunjuk kehadiran cyanobacteria seperti Trichodesmium yang tidak termasuk ke dalam rantai makanan di laut.

Oleh itu, data remote sensing warna permukaan laut yang menunjukkan kawasan-kawasan yang tinggi produktiviti utama mungkin berguna kepada nelayan mensasarkan spesies pelagik yang kecil tetapi hanya sedikit penggunaan untuk longline nelayan mensasarkan ikan-ikan yang besar.

Suhu Permukaan Laut (SST) di cerap oleh satelit remote sensing secara berkala di keseluruhan lautan di dunia dan carta SST global dihasilkan bagi digunakan oleh oceanographers dan penyelidik biologi perikanan.

SST adalah salah satu parameter alam sekitar yang paling penting digunakan oleh nelayan untuk mencari kawasan penangkapan ikan yang baik.

Ikan pelagik seperti albacore tuna (Thunnus alulunga), bigeye tuna (Thunnus obesus), cakalang tuna (Katsuwonus pelamis), berjalur marlin (Tetrapturus Audax), ikan todak (Xiphias gladius) dan Yellowfin (albacores Thunnus) mempunyai keutamaan untuk air dengan suhu tertentu seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah. SST boleh ditunjukkan pada carta SST.

Oleh ABDUL MALIK YACOB
Jurutera Kanan Remote Sensing, ATSB.
Sumber: Utusan

1 comments:

ch000tz axoera ヅ berkata...

aduuuuhhh nak pemahaman yang lebih ringan.....sebab kepala agak sengalan sikit today encik :D