15 Oktober 2013

Ibadah Korban Hapus Sifat Sombong


Ibadah diluar Makkah dapat ganjaran 100,000 kali ganda

Umat Islam di seluruh dunia akan menyambut salah satu hari yang paling besar keberkatannya iaitu Hari Raya Aidiladha yang disambut meriah pada 10 Zulhijjah 1434 bersamaan dengan 15 Oktober 2013.

Pada hari yang mulia itu, umat Islam di seluruh dunia mengucapkan takbir memuji kebesaran-Nya, di samping mensyukuri segala nikmat dan kesempatan yang diberikan untuk turut sama menyambut Aidiladha.

Dari kisah Habil dan Qabil yang merupakan manusia pertama melakukan penyembelihan atau pengorbanan binatang dan begitu juga pengorbanan manusia di muka bumi ini sehingga kisah Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as melakukan pengorbanan diteladani setiap umat Islam demi menghayati 'ruh pengorbanan' yang ada pada hari tersebut. [Utusan]


Aidiladha, memahami erti pengorbanan hakiki

Berkorban apa saja adalah ungkapan biasa didengar dan diucapkan. Namun realitinya, belum ramai yang sanggup berbuat demikian. Ramai yang lokek dan berasa kehilangan apabila menginfakkan sebahagian harta kurniaan Ilahi fisabilillah seperti yang dianjurkan oleh agama.

Lihat saja ibadah korban yang disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim. Setiap tahun ramai yang lebih seronok menyaksikan aktiviti menyembelih binatang korban berbanding mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk menjadi penyumbang kepada daging yang dikorbankan.

Ada yang lebih rela menghabiskan wang untuk menghias kereta, membeli pakaian dan aksesori berjenama berbanding mengorbankan sedikit wang kerana Allah SWT.

Satu bahagian lembu untuk ibadah korban antara RM450 hingga RM550 untuk satu bahagian. Jika berkorban di luar negara seperti Vietnam, Kemboja, Indonesia dan India, harganya jauh lebih murah.

Tak ambil endah ibadah korban

Adalah membimbangkan apabila terdapat segelintir dalam kalangan umat Islam yang langsung tidak mengambil endah mengenai ibadah korban, malah tidak pernah membantu dalam program gotong-royong yang dianjurkan surau, masjid atau persatuan penduduk.

Perlu difahami, walaupun hukum menyembelih binatang ternakan seperti kambing, lembu dan unta yang bermula daripada terbit matahari tanggal 10 Zulhijah hingga sebelum terbenam matahari hari ke 13 Zulhijah adalah sunat muakkad, ia tidak patut dipandang remeh.

Ini kerana dalam tempoh empat hari setahun itu, Allah SWT berkenan untuk memberi ganjaran berlipat kali ganda yang tiada pada hari-hari lain.

Diriwayatkan, Nabi SAW bersabda: “Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (hari Aidiladha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan.” (Riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Ganjaran tidak ternilai

Allah SWT dengan sifat-Nya Yang Maha Adil berkenan untuk memberi ganjaran tidak ternilai buat mereka yang tidak berpeluang untuk menjejaki kaki ke Makkah dan meraih ganjaran amal ibadah sehingga 100,000 kali ganda seperti dijanjikan dengan melakukan ibadah korban.

Dalam pada itu, buat pertama kalinya individu yang ikhlas melaksanakan ibadah ini sebenarnya telah menyahut seruan dan perintah Allah SWT untuk berkorban, menunjukkan tanda benar-benar bersyukur atas segala nikmat yang diberikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu, dirikanlah solat kerana Tuhanmu (pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)

Kedua, mereka yang sanggup merealisasikan ibadah ini sebenarnya berbuat sesuatu untuk kepentingan dan manfaat diri sendiri bukan untuk orang lain. Bagi mereka dijanjikan oleh Allah SWT ganjaran kebajikan sebanyak bulu yang tumbuh pada binatang itu.

Dijanjikan keampunan daripada dosa-dosa. Tanduk dan kulitnya bakal menjadi saksi atas pengorbanan yang telah dilakukan dan setiap titisan darah yang mengalir dinilai sebagai amal kebajikan yang berpanjangan di sisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW: “Tiap helai bulu (daripada binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Hai Fatimah, berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu.” (Riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

Tidak penting diri

Daging binatang korban yang diagih-agihkan akan dapat dimanfaatkan oleh saudara Islam yang memerlukan. Islam mendidik umatnya supaya tidak mementingkan diri sebaliknya bersedia bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

Mudah-mudahan dengan cara itu hubungan ukhuwah dan persaudaraan tanpa mengira darjat serta status kehidupan akan terus bertaut selama-lamanya. Ia juga mampu mengikis penyakit mazmumah seperti sombong.

Justeru, berusaha dan berniatlah untuk menunaikan ibadah korban supaya dapat menghayati makna pengorbanan yang sebenar. Jangan bertangguh khususnya jika kita memang berkemampuan kerana dikhuatiri tidak sempat melakukannya apabila ajal tiba.

Kepada yang menunaikan ibadah korban, diingatkan tidak memotong rambut dan kuku sehingga hari raya korban demi beramal dengan hadis: “Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” (Riwayat Muslim)

Walaupun ulama berbeza pendapat mengenai hukum memotong kuku dan rambut ini, umat Islam boleh berbuat demikian sebelum menjelang tanggal satu Zulhijah demi beramal dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang mulia.

Oelh: Mohd Ali Muhamad
Sumber: BHarian [2013/10/09]

1 comments:

Jahirah berkata...

salam aidiladha....:)